top of page

PLANETARIUM SULTAN ISKANDAR, KUCHING, SARAWAK


Planetarium Pertama Yang Dibina Di Malaysia


“Houston, we have a problem”..itu merupakan antara dialog sinonim yang sering dikaitkan ketika melancarkan roket untuk penjelajahan ke bulan atau planet-planet yang lain di ruang angkasa. Apa yang mengisi ruang artikel Borneo Oracle pada kali ini adalah satu tempat yang sememangnya mempunyai perkaitan dengan dunia penerokaan angkasaraya iaitu Planetarium Sultan Iskandar, Kuching Sarawak.


Beberapa tahun yang lepas, seluruh rakyat Malaysia berbangga apabila ada seorang rakyat Malaysia yang berjaya menjadi angkasawan dan berpeluang untuk menjejakkan kakinya di International Space Station pada tahun 2007. Angkasawan pertama Malaysia itu adalah Datuk Sheikh Muszaphar Shukur Al-Masrie bin Sheikh Mustapha iaitu anak Malaysia bertuah yang mendapat tempat dibawah Program Angkasawan dengan Rusia.


Namun itu cerita yang baru-baru ini kerana boleh dikatakan setelah adanya anak Malaysia yang berjaya menjadi angkasawan barulah bercambah minat generasi muda untuk mengikuti jejak langkah angkasawan kita ini. Apa yang kita semua tidak ketahui sebenar jika diikut dari segi pencapaian sejarah sains angkasa sebenarnya Sarawak merupakan negeri yang lebih ke hadapan di dalam cuba memupuk minat rakyatnya untuk lebih mencintai sains angkasa.


Tanpa kita mengetahui bahawa di Sarawaklah wujudnya planetarium pertama yang dibina di Negara Malaysia iaitu Planetarium Sultan Iskandar iaitu mengambil bersempena dengan nama Yang Dipertuan Agung Malaysia (1984-1989) iaitu Baginda Al-Mutawakkil Alallah Brigedier Jeneral Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Kolonel Sultan Sir Ismail Al-Khalid. Planetarium yang dirasmikan pada 19hb Januari 1989 ini merupakan planetarium yang pertama dibina di Malaysia.


Dengan fungsinya sejak dari dahulu iaitu untuk mempromosi, mendidik, menggalakkan dan menjadi inspirasi kepada rakyat akan kepentingan sains astronomi dan sains angkasa merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kita suatu waktu dahulu. Tetapi dengan adanya kemudahan yang serba moden di PSI seperti dilengkapi dengan projector buatan Jerman iaitu Zeiss M1015 yang mampu memaparkan keupayaan asas planetarium iaitu 5000 bintang tetap bulan dan bintang serta beberapa efek khas yang diaturkan sudah semestinya mampu menjadikan setiap ekplorasi dari bumi ke bulan itu akan lebih mengujakan.


Inilah Planetarium Sultan Iskandar di Kuching, Sarawak yang sebenarnya menjadikan Sarawak itu sendiri lebih ke hadapan bila berbicara tentang sains angkasa ataupun ilmu astronomi jauh sebelum ada mana-mana negeri di dalam Malaysia yang mampu berbuat demikian suatu waktu dahulu.


Bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke planetarium ini, silalah meluangkan masa untuk merasai sendiri keterujaan membongkar sains angkasa bolehlah singgah ke lokasinya iaitu bersebelahan dengan Dewan Suarah Kuching. Lan Berambeh Ke PSI!



Comentários


bottom of page