top of page

HIKAYAT PANGLIMA NIKOSA


Novel Melayu Pertama Di Dunia?

Berapa ramai yang mengetahui bahawa Sarawak suatu waktu dahulu adalah yang pertama mempunyai novel ala moden yang ditulis di dalam tulisan jawi berbahasa Melayu. Dan sudah tentu pensejarahan mengenai novel ini tidak diwar-warkan kepada umum sedangkan ianya merupakan novel pertama ditulis di dalam sejarah Sarawak iaitu pada tahun 1876 lagi.


Menyelusuri sejarah sastera di Sarawak ini sebenarnya telahpun wujud lama kerana apabila berbicara tentang maksud novel itu sendiri Hikayat Panglima Nikosa adalah menepati ciri-cirinya. Walaupun hakikatnya penggunaan judul “Hikayat” itu sendiri tidak bermaksud ianya cerita legenda sebalik itulah cara penulisan novel-novel awal sejak di tahun 1920an. Dan Hikayat Panglima Nikosa ini yang ditulis di dalam tulisan jawi dengan 29 halaman juga sebenarnya sudahpun ditulis menjangkau batas waktu.

Secara sinopsisnya, Hikayat Panglima Nikosa adalah bercerita tentang peranan Nikosa, seorang pemuda yang berusia 18 tahun. Negeri yang dimana Nikosa ini tinggal lokasinya di sebelah Timur. Pada suatu hari, negerinya di dalam musibah kerana kedatangan lanun yang semakin hari semakin kurang ajar saban tahun.

Dan disetiap kali lanun bermaharajalela maka ramailah yang menderita seperti wanita dan anak-anak kecil yang sering menjadi mangsa lanun ini. Malah rakyat juga menjadi semakin derita kerana segala hasil tanaman habis dirompak mahupun dimusnahkan kerana lanun ini hendak menunjukkan kekuatan mereka.


Atas sifat patriotismanya, Nikosa pada ketika itu telah mampu bersatu hati dengan 300 orang pemuda untuk memerangi lanun-lanun dan mempertahankan tanahair mereka. Bersama-sama dengan 300 orang pemuda inilah Nikosa berjuang selama lebih 10 tahun. Selepas itu barulah aman negeri Nikosa ini sehingga beliau dikenali sebagai Panglima Nikosa.


Di ketika usianya 30 tahun, Panglima Nikosa telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis bernama Jalila dan dikurniakan 2 orang cahayamata. Di ketika itulah Panglima Nikosa telah membuka sebuah lagi negeri bernama Jalanan Baharu. Kerana negeri ini juga makmur maka ramailah yang datang tinggal di negeri baru ini termasuklah seorang pemuda dari Sungai Tuku bernama Pilina.


Dengan bantuan nasihat daripada Panglima Nikosa inilah Pilina belajar segala selok-belok dunia pertanian. Atas usaha itulah akhirnya, 12 tahun kemudian Pilina pula menjadi orang terkenal dan kaya raya di negeri Jalanan Baharu. Keseluruhan novel Hikayat Panglima Nikosa ini adalah realistik dan bukannya berbentuk saduran.


Daripada 29 halaman di dalam Hikayat Panglima Nikosa ini sebenarnya, 14 halaman adalah untuk penceritaan mengenai selok belok ilmu pertanian manakala 11 halaman lagi adalah gambaran perjuangan dan 2 lagi halaman adalah untuk gambaran kemakmuran negerinya.


Tidak dinafikan bahawa berdasarkan kepada garis masa sudah tentu Hikayat Panglima Nikosa ini merupakan novel melayu pertama di Sarawak kerana tiada lagi yang pernah menulis novel sebelum tarikh tersebut. Namun begitu tanpa kita ketahui sebenarnya Hikayat Panglima Nikosa ini mempunyai nilai yang lebih dari itu.


Ini kerana buat masa sekarang, Malaysia mengiktiraf satu novel yang bernama “Hikayat Setia Asyik Dengan Masyuknya” atau lebih dikenali sebagai Hikayat Faridah Hanum yang ditulis pada tahun 1925 oleh Syed Syeikh Al-Hadi dari Melaka pula yang diangkat menjadi Novel Melayu Pertama Di Malaysia mahupun di Dunia.

Agak pelik kerana garis masa sahaja sudah menunjukkan perbezaan telahan lagi keaslian kerana ada juga sesetengah yang pakar mempersoalkan pula keasliannya Hikayat Faridah Hanum kerana dikatakan merupakan saduran seperti latar cerita “Timur Tengah” dan nama watak yang asing seperti Faridah Hanum, Shafik Afendi. Manakala untuk Hikayat Panglima Nikosa telah terbukti keasliannya oleh beberapa pakar sastera dunia.


Memang agak “malang” bagi sastera Sarawak dan juga bagi seluruh rakyat Sarawak kerana sastera berbentuk novel iaitu Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kuching yang ditulis oleh seorang penulis peribadi kepada James Brooke iaitu Ahmad Syawal Abdul Hamid, anak Minangkabau dari Bangkahulu, Sumatera ini sebenarnya telah DITIDAKKAN HAKNYA untuk menjadi NOVEL MELAYU TERULUNG DI DUNIA!




Rujukan:


1. Hashim Ismail, Jurnal Pengajian Melayu Jilid 18, 2007; Sejarah Penulisan Novel Di Malaysia

2. Awang Azman bin Awang Pawi, Jurnal Alam Melayu Dan Tamadun Melayu 2010; Transformasi Sosial Dalam Magnum Opus Borneo; Teks Dan Konteks

3. Mohd Khair Ngadiron; Tajuk: Sastera Teras Negara Bangsa “Mengangkat Martabat Penulis Dan Penulisan Di Malaysia”

4. Utusan Malaysia bertarikh 1/12/2001; Tajuk: Novel Malaysia – Sejarah Catatan Awal


Comments


bottom of page