top of page

BORNEON BAY CAT

BORNEON BAY CAT (KUCING MERAH BORNEO)


Sebagai orang Borneo, kita sinonim dengan Burung Kenyalang yang juga ikon bagi kita kerana di pulau inilah ianya mempunyai jenis-jenis yang berbeza. Malah tiada siapa dapat menidakkan bagaimana burung kenyalang itu begitu mistik di dalam setiap ceritera etnik-etnik di Borneo. Itu cerita tentang spesis burung dan sudah tentu tanpa kita sedari, kita juga mempunyai beberapa spesis kucing yang kewujudannya hanya ada di Pulau Borneo. Spesis kucing “rare” yang dimaksudkan adalah “Borneon Bay Cat” (Kucing Merah Borneo).


Borneon Bay Cat atau di dalam bahasa veterinar dikenali dengan spesis Pardofelis Badia merupakan spesis kucing yang hanya boleh didapati di Pulau Borneo. Untuk secara spesifik, spesis kucing ini hanya ada di wilayah Sarawak, Sabah dan Kalimantan TETAPI TIDAK di Negara Brunei Darussalam. Ianya juga mempunyai pelbagai nama tempatan seperti kucing Kalimantan, kucing merah borneo dan kucing batu Kalimantan.


Menariknya mengenai kucing ini adalah ianya sering disalahtafsirkan sebagai Kucing Emas Asia (Asia Golden Cats) namun hakikatnya jika diperincikan ianya langsung tidak mempunyai persamaan. Secara terperinci kucing ini jauh lebih kecil saiznya dari Asia Golden Cats. Bulunya berwarna cokelat terang dan agak pudar warna buluknya apabila di bahagian perut. Ras warna bulu di bahagian kaki dan ekor mempunyai warna pucat kemerah-merahan. Ekornya pula jenis panjang dan meruncing di bahagian hujungnya dengan mempunyai garis-garis putih. Telinganya pula berbentuk bulat.


Perlulah diketahui bahawa Borneon Bay Cats ini adalah spesis yang terlindung dan juga diramalkan bahawa ianya hampir pupus di Pulau Borneo. Dan dikatakan kucing ini adalah salah satu spesis kucing asli yang tidak mempunyai apa-apa campuran dengan mana-mana baka kucing yang lain kerana ianya dikatakan tidak boleh bercampur dengan jenis kucing hutan yang lain. Habitatnya adalah di kawasan yang berbatu kapur tetapi lembab seperti di kawasan sungai yang mempunyai air terjun yang rata-ratanya berada di dalam hutan tropika Borneo yang tebal.


Dari segi pemakanan pula setakat ini tiada satu pun pengkajian yang dapat meramalkan apakah pemakanan untuk spesis Borneon Bay Cats ini. Malahan pengkajian tentang spesis kucing ini juga sering menemui masalah kerana hampir sedekad hanya sekali sahaja ianya berjaya dirakam melalui kajian lensa kamera yang diletakkan di dalam hutan iaitu pada kali pertama sekitar tahun 1998, penampakannya dijumpai di Sungai Kapuas, Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2003 di Lachau, Sri Aman, Sarawak. Inilah antara bukti bahawa spesis kucing ini masih ada tetapi di dalam jumlah yang paling sedikit di Pulau Borneo.


Dari segi sejarah pengkajian pula, rekod mengenai detail veterinary mengenai kucing ini hanya berdasarkan kepada pertemuan Alfred Russel Wallace seorang pengkaji botani yang pernah tinggal di Borneo. Sekitar tahun 1855, beliau telah menghantar kulit dan tengkorak Borneon Bay Cats yang ditemui penduduk di pedalaman Sarawak ke British Museum of Natural History. Dari sinilah barulah dunia mengetahui kewujudan spesis kucing ini.


Sekitar tahun 1992 pula secara tidak sengaja seekor kucing betina Borneo Bay Cats telah termasuk di dalam perangkap seorang penduduk tempatan di Sarawak dan dari sinilah specimen darahnya telah dapat diambil. Daripada penemuan inilah iaitu melalui analisa morfologi dan genetika, dunia baru mengetahui bahawa Borneo Bay Cats ini mempunyai hubungan yang sangat erat Kucing Emas Asia.


Dan penemuan ini menunjukkan bahawa Borneo Bay Cats adalah induk utama kepada Asia Golden Cats yang telahpun menglalui proses percampuran dengan spesis-spesis kucing yang lain di dunia. Segalanya terjadi berjuta-juta tahun dahulu iaitu ketika Pentas Sunda yang tenggelam telah memisahkan Pulau Borneo dengan lain-lain dataran yang wujud di Asia Tenggara sekarang. Manakala Borneon Bay Cats kekal asli tanpa melalui proses evolusi persis sejarah kucing purba.


Inilah sekelumit informasi mengenai satu spesis kucing “rare” yang kewujudannya hanya ada di Pulau Borneo dan sehingga sekarang kelibatnya sering dinanti-nantikan oleh pengkaji veterinar di seluruh dunia. Ianya masih ada tetapi di dalam jumlah yang amat sedikit dan pada sesiapa yang menemuinya ketahuilah tanggungjawab anda kerana spesis ini adalah spesis yang amat berharga dan dilindungi dibawah Akta Perhilitan Malaysia.


Comments


bottom of page