top of page

FORT LEONORA

FORT LEONORA, ENGKILILI, SARAWAK Mana mungkin pekan kecil seperti Engkilili ada kubu peninggalan Brooke? Mesti ramai yang tidak percaya kenyataan ini kerana bukti fizikalnya tidak pernah diketahui oleh rakyat Sarawak. Sebenarnya Engkilili juga pernah mempunyai kubu peninggalan Brooke iaitu yang didirikan pada tahun 1924 oleh Rajah ketiga iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang memerintah dari tahun 1917 hingga 1946 inilah kubu ini dibina.

Menurut pensejarahannya, kubu ini dibina hanya untuk memusatkan sistem pentadbiran Sarawak Kingdom di Engkilili. Setakat ini tiada lagi dokumen yang membenarkan bahawa kubu ini dibina bagi mengawal penentangan yang biasa dilakukan oleh penduduk tempatan ke atas pentadbiran Brooke.

Kubu di Engkilili ini dinamakan bersempena dengan nama puteri sulung kepada Rajah CV Brooke iaitu yang bernama Dayang Leonora Margaret Brooke. Menurut sejarahnya, Fort Leonora tidaklah se gah kubu-kubu Brooke yang bertaburan di bumi Sarawak pada masa itu melainkan ianya hanya sebuah binaan berbentuk rumah yang ringkas.

Fort Leonora menurut sejarahnya dijadikan pusat pentadbiran untuk pegawai Sarawak Kingdom di Engkilili. Selepas tahun 1946 pula, kubu ini menjadi pejabat daerah kecil untuk penjawat Koloni British Borneo malah ketika pendudukan Jepun dari tahun 1941-1945 juga turut menjadi pejabat kempetai Jepun di Engkilili pada waktu itu.

Dan ketika Sarawak juga turut terbabit di dalam Konfrantasi Indonesia-Malaysia dari tahun 1961-1966, Fort Leonora ini pula dijadikan markas kem untuk tentera Komanwel yang turut sama mempertahankan wilayah Sarawak daripada serangan tentera Indonesia. Dan gambar yang menjadi bukti kewujudan Fort Leonora di Engkilili inilah satu-satunya bukti fizikal yang ada.

Bagi memberi ruang pembangunan di Engkilili, Fort Leonora telah dirobohkan dan dikatakan bahawa bangunan Pejabat Daerah Kecil Engkilili sekarang didirikan diatas tapak sebenar Fort Leonora suatu waktu dahulu. Inilah sekelumit sejarah mengenai satu lagi kubu peninggalan Brooke yang jarang-jarang rakyat Sarawak sendiri mengetahuinya. Hanya gambar lama yang menjadi saksi bahawa dahulu ianya pernah wujud di bumi Sarawak.


Comments


bottom of page