top of page

ORANG JAWA, SARAWAK, BORNEO


ORANG JAWA, SARAWAK, BORNEO

Jika berkata tentang masyarakat Jawa di bumi Semenanjung Malaysia sudah tentu ramai yang tahu asal-usul mereka. Ini kerana perkaitan rapat mereka dengan Tanah Melayu. Namun janganlah janggal sekiranya mendapati bahawa di bumi Sarawak juga mempunyai masyarakat Jawa atau dikenali dengan panggilan Orang Jawa bagi penduduk di Sarawak.


Orang Jawa di Sarawak pula penempatannya tidaklah mengkhusus di suatu tempat sebaliknya bertaburan di seluruh Sarawak. Dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas mesti ada sahaja orang Jawa yang mendiami sesuatu wilayah walaupun bukan di dalam kelompok yang besar. Namun sekiranya di Kuching dan Serian sememangnya sudah ada perkampungan Orang Jawa yang mengkhusus seperti di Kampung Haji Baki, Kampung Segedup, Kampung Matang (dikenali dengan panggilan Kolong-kolong) serta banyak lagi.

Di dalam menyatakan tentang asal-usul keturunan Orang Jawa di Sarawak ini sebenar juga mempunyai keunikannya tersendiri. Namanya saja “Orang Jawa” dan sudah tentu tanah asal mereka adalah Pulau Jawa. Dan penghijrahan mereka ke Sarawak juga mempunyai banyak perkaitan dengan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu.

Ada 4 teori mengenai bagaimana keberadaan Orang Jawa di Sarawak. Ianya adalah seperti berikut:


i. Pengaruh Kerajaan Kuno Di Borneo

ii. Dasar Pemerintahan Brooke

iii. Dasar Kolonial Belanda

iv. "Romusha" Tentera Jepun


1. Pengaruh Kerajaan Kuno Di Borneo

Pulau Borneo sejak abad ke 7 hingga 10 masihi juga sebenarnya dibawah pengaruh pemerintahan Kerajaan Majapahit dan banyak kerajaan-kerajaan kuno pada masa itu menghantar ufti kepada kerajaan besar ini. Jadi dengan adanya pertalian ini mana mungkin tiada seorang pun masyarakat Jawa yang tidak bermastautin di Borneo dan akhirnya mengasimilasikan diri menjadi masyarakat tempatan Borneo pada masa itu.

Menurut sejarah kerajaan kuno juga kita mengetahui bagaimana hubungan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam dengan sejarah tanah Jawa itu sendiri. Di ketika Sultan Bolkiah ke tanah Jawa bagi menjemput bakal permaisurinya iaitu Puteri Lela Menchanai dikatakan baginda telah membawa sekali Orang Jawa dari Tanah Jawa. Ini kerana baginda begitu berminat dengan kepakaran Orang Jawa bercucuk tanam.

Dan cerita mengenai Raden Angsuka Dewa iaitu pengiring kepada Puteri Lela Menchanai juga sewaktu meraikan perkahwinan Sultan Bolkiah dengan seorang puteri dari Tanah Jawa juga mempunyai perkaitan sejarahnya sendiri. Dikatakan Raden Angsuka Dewa membawa bersamanya 42 orang pahlawan Jawa bersamanya dan beliau kalah sewaktu pertandingan bersabung ayam dengan si Awang Senuai.

Akibat kekalahan itu dikatakan beliau tidak boleh pulang ke tanah Jawa dan akhirnya mereka telah berkahwin campur dengan masyarakat tempatan Brunei lalu membentuk satu masyarakat Jawa di Borneo pada waktu itu.


2. Dasar Pemerintahan Brooke


Dasar pemerintahan Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom juga sebenarnya merupakan salah satu daripada perkaitan kedatangan Orang Jawa ke Sarawak suatu waktu dahulu. Di ketika pemerintahan rajah kedua iaitu Rajah Charles Brooke dan kemudian dilegasikan kepada anaknya Rajah Charles Vyner Brooke, kedatangan Orang Jawa sentiasa dialu-alukan ke Sarawak Kingdom.


Pada masa itu dengan pesat membangunnya Sarawak Kingdom maka sumber tenaga pekerja amatlah dituntut. Oleh kerana itulah melalui usahasama dan hubungan yang baik dengan Kerajaan Koloni Belanda, Brooke telah membawa masuk tenaga buruh Orang Jawa menerusi agensi pekerjaan selian Belanda. Dikatakan agensi pekerjaan ini mengambil tenaga buruh Orang Jawa dari pelbagai kabupaten-kabupaten di seluruh tanah jajahan Koloni Belanda.


Ini disahihkan melalui satu laporan bancian penduduk Kuching pada tahun 1930an iaitu terdapat lebih kurang 2400 orang masyarakat Jawa yang bermastautin di Kuching pada masa itu. Dikatakan ada antara tenaga buruh Orang Jawa ini yang pulang ke tanah asal mereka setelah tamat kontrak namun begitu ramai juga lebih memilih untuk bermastautin di Sarawak yang akhirnya membentuk Orang Jawa, Sarawak sekarang.


3. Dasar Kolonial Belanda


Setelah memeterai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, menyaksikan 2 kuasa Eropah telah mula membahagikan wilayah kekuasaan mereka. Di ketika inilah Melaka dan tanah Melayu menjadi hak Inggeris manakala Belanda pula melebarkan kekuasaannya di Kepulauan Riau-Lingga serta wilayah yang lain.


Penjajahan selama lebih ratusan tahun ini iaitu dari abad ke-17 sehingga ke pertengahan 20 Masihi menyaksikan pelbagai sejarah pahit bagi rakyat di wilayah yang dijajah oleh Koloni Belanda. Seperti juga sejarah penghijrahan Orang Jawa ke bumi Semenanjung Malaysia juga turut sama terpalit untuk teori penghijrahan Orang Jawa di Sarawak.


Oleh kerana Orang Jawa juga adalah satu komuniti masyarakat yang gemar mengembara sambil mencari kekayaan maka sudah tentu ada segolongan Orang Jawa dari Tanah Jawa yang memilih Borneo untuk menjadi destinasi mereka selain daripada Tanah Melayu, Singapura dan banyak lagi wilayah Kepulauan Melayu itu sendiri.


4. "Romusha" Tentera Jepun

Dan ada satu lagi teori bagaimana adanya Orang Jawa di Sarawak namun yang terlibat bukanlah ramai iaitu Buruk Paksa atau "Romusha" iaitu di ketika pendudukan Jepun dari tahun 1941 sehingga 1945. Tidak kurang rakyat di Tanah Jawa yang dijadikan "romusha".

Mereka ditangkap dan kemudian dihantar ke negeri-negeri di bawah pendudukan Jepun. Di negeri-negeri inilah mereka menjadi buruh di dalam mana-mana industri yang dikehendaki. Jika Orang Jawa di Pontian, Johor ada kira-kira 1,600 orang telah disahkan suatu waktu dahulu merupakan bekas "Romusha", tidak kurang juga Orang Jawa di Sarawak yang mana jumlahnya tidak dapat dikenalpasti secara tepat.


Namun begitu ada sesetengah pensejarahan mereka ini hanya disahihkan melalui cerita oral iaitu daripada Orang Jawa yang berjaya melepaskan diri dari seksaan menjadi "Romusha" yang akhirnya menyembunyikan diri di kampung-kampung pendalaman Sarawak.



Usai mengulam ceritera penghijrahan Orang Jawa di Sarawak, kita mendalami pula bahasa Jawa itu sendiri. Ini kerana Orang Jawa, Sarawak masih lagi utuh melestarikan bahasa Jawa mereka yang diwarisi sejak zaman berzaman. Secara kolektifnya rumpun bahasa bagi Orang Jawa, Sarawak dikelaskan sebagai rumpun bahasa Austroneisan, Malayo-Polynesian, Javanese. Dan dikatakan Orang Jawa, Sarawak juga mempunyai dialek-dialek Jawanya tersendiri berdasarkan dari mana asal keturunan mereka di Pulau Jawa.


Dari segi agama pula 100% Orang Jawa, Sarawak adalah beragama Islam seperti juga etnik Melayu Sarawak yang lain. Mereka sehingga sekarang masih lagi menjunjung kekayaan adat resam dan tradisi Orang Jawa baik di dalam perkahwinan dan sebagainya asalkan ianya tidak bercanggah ajaran agama Islam yang mereka anuti.


Inilah sekelumit informasi mengenai Orang Jawa di Sarawak yang sudah tentu antara pembentuk masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di Sarawak. Mereka juga mempunyai keunikan yang tersendiri baik dari segi sejarahnya, adat resam dan bahasa mereka.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


Rujukan:

1. Javanese, Orang Jawa di Malaysia; Joshua Project

2. World Ethnologue – Javanese http://www.ethnologue.com/language/jav

3. Tarsilah Brunei - early history of Brunei up to 1432 AD Vol 1 : Mohd Jamil Al Sufri.

4. Kesan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 http://mysejarahcoursenotes.blogspot.my/…/kesan-perjanjian-…

5. Romusha Pada Masa Jepang - Kumpulan Masa Sejarah http://kumpulanbiografiindonesia.blogspot.my/…/romusha-pada…

Kommentarer


bottom of page