top of page

PERANG KASTILA 1578


PERANG KASTILA 1578 - BRUNEI VS SEPANYOL

Bila kita mengungkai sejarah peperangan antara kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara sudah tentu ramai yang begitu memahami bagaimana kalahnya Kerajaan Kesultanan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Perang Barito 1858 juga menyaksikan kekalahan penduduk tempatan iaitu yang diungguli oleh masyarakat Dayak Borneo bersama-sama dengan orang Banjar menentang penjajahan Koloni Belanda. Dan satu lagi sejarah perang yang maha hebat adalah Perang Kastila 1578 iaitu satu peperangan yang melibatkan Brunei dengan Sepanyol. Untuk lebih memahami tentang sejarah Perang Kastila 1578 ini sebenarnya harus dimulai dengan 3 penyumbang yang berbeza iaitu:


i. Brunei sebagai Pusat Syiar Islam Pulau Borneo

ii. Pengaruh Sepanyol di Filipina

iii. Perang Kastila 1578



1. Brunei Sebagai Pusat Syiar Islam Pulau Borneo


Suatu waktu dahulu, Kerajaan Brunei sebenarnya bukanlah satu kerajaan Islam sebaliknya ianya dikenali dengan nama Kerajaan Brunei Tua.Pada ketika itu ianya adalah satu kerajaan yang mempunyai pengaruh hindu.Dan ianya dapat disahihkan sehingga ke hari ini apabila replika stupa masih lagi dipamerkan di Pusat Sejarah Brunei bagi menunjukkan bahasa agama Hindu juga merupakan salah satu daripada anutan penduduk di Pulau Borneo.


Di dalam sejarah juga menyatakan bahawa Brunei hanya menjadi sebuah kerajaan Islam sewaktu Awang Alak Betatar memeluk Islam dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah pada tahun 1368.Hanya pada ketika inilah munculnya Kerajaan Kesultanan Brunei iaitu sebuah kerajaan Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Negara.


Walau bagaimanapun sebenarnya perkembangan pesat syiar Islam di Brunei adalah ketika pemerintahan Sultan yang ke-3 iaitu Sultan Sharif Ali juga dikenali dengan nama “Sultan Berkat”.Baginda dikatakan berasal dari Taif yang pada mulanya adalah seorang pendakwah Islam yang akhirnya berkahwin dengan keluarga diraja Brunei lalu ditabalkan menjadi Sultan ke-3 Brunei dari tahun 1425 hingga 1432.


Ketika pemerintahan baginda Sultan Sharif Ali inilah perkataan “Darussalam” diletakkan sebaris dengan nama Kerajaan Brunei yang membawa maksud “Negeri Yang Aman, Sentosa dan Sejahtera” di dalam bahasa Arab.Di ketika pemerintahannya, sudah menjadi kebiasaan untuk baginda sendiri membaca khutbah di setiap solat Jumaat.Malah baginda juga yang mula-mula membina Kota Batu sebagai pusat pemerintahan Brunei yang juga mengamalkan lunas-lunas bercirikan ajaran Islam di dalam sistem pentadbirannya.


Dan kerana luasnya empayar Kerajaan Brunei Darussalam itulah menjadikan satu-persatu kerajaan-kerajaan kecil di Pulau Borneo menjadi jajahannya dan akhirnya kerajaan kecil yang rata-ratanya dipengaruhi hindu mahupun Buddha ini telah menjadi sebuah kerajaan Islam.Lama-kelamaan, Kerajaan Brunei lebih-lebih lagi dibawah pemerintahan Sultan Bolkiah ini semakin membesar dan kekal sebagai penyebar syiar Islam dari Pulau Borneo sehinggalah ke selatan Filipina seperti Kerajaan Sulu yang banyak dipengaruhi oleh Kerajaan Brunei itu sendiri.



2. Pengaruh Sepanyol Di Filipina


Memang kita ketahui bahawa tujuan asal kedatangan bangsa Eropah ke wilayah Nusantara adalah mengenai kekayaan rempah ratus serta laluan pedagangan.Pada ketika itu memang ada persaingan antara kuasa-kuasa di Eropah yang menuju ke arah itu seperti Inggeris, Belanda dan seterusnya Sepanyol.


Disini kita akan melihat bagaimana Perjanjian Inggeris Belanda 1824 telah mengukuhkan pengaruh Inggeris mahupun Belanda di wilayah masing-masing.Dan Sepanyol pula terpaksa mengambil pendekatan untuk menyebarkan pengaruhnya di Filipina jauh daripada kawasan Inggeris dan Belanda.Dan dikatakan dari sinilah Sepanyol telah cuba memasuki Filipina dengan menggunakan pendekatan menjajah dan juga memperkembangkan syiar kristianiti mereka di bumi Filipina.


Sekitar tahun 1564, angkatan tentera Sepanyol dibawah pimpinan Miguel Lopez De Legazpi telah memulakan kempen penjajahan mereka di Filipina.Melalui Lautan Pasifik mereka tiba di Cebu pada tanggal 13 Februari 1565.Ketika itulah angkatan Sepanyol ini ditentang habis-habisan oleh orang-orang Islam Cebu.


Kerana tidak begitu mengetahui selok belok dunia peperangan Cebu pada masa itu, dikatakan angkatan tentera Sepanyol telah beralih arah dan seterusnya ke Mindanao.Kemudian pada 27 April 1956, mereka menyerang semula Cebu dan akhirnya berjaya memperolehi Cebu sebelum terus memerangi Luzon dan memenangi wilayah tersebut.


Pada tahun 1570, angkatan Sepanyol ini telah berperang dengan Kerajaan Manila yang juga disebut Kota Seludong.Ianya merupakan satu kerajaan yang dibawah perlindungan Kerajaan Brunei, Kerajaan Sulu dan Kerajaan Ternate.Sewaktu Sepanyol tiba di Manila, Kerajaan Manila ini dibawah pemerintahan raja nya yang bernama Sulayman.


Pada serangan yang pertama, Manila tidak dapat ditawan dan usaha De Legazpi hanya berjaya pada tahun 1571. Raja Sulayman bersama-sama dengan tentera Manila telah ditewaskan malah pemimpin Kerajaan Manila ini juga turut terkorban paa pertempuran yang berlaku pada 3hb Jun 1571 itu. Atas kemenangan inilah juga akhirnya Sepanyol mengistiharkan Manila sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di Timur pada masa itu.



3. Perang Kastila 1578


Di dalam sejarah Perang Kastila ini sebenarnya jika kita amati sepenuhnya adalah berpunca daripada Sepanyol yang cuba untuk menyekat pengaruh Kerajaan Brunei Darussalam sebagai sebuah kerajaan di Nusantara dan juga pusat penyebaran Islam di Borneo dan sekitarnya.Mungkin merasakan mereka mempunyai armada yang kuat dan berbangsa Eropah maka armada Sepanyol ini berani untuk mengertak Kerajaan Brunei dengan mengutus surat kepada Brunei selesai sahaja mereka memenangi Manila pada tahun 1571.


Di dalam surat itu dikatakan bahawa Sepanyol telah menawarkan “perlindungan” kepada Brunei daripada diperangi oleh mana-mana kuasa Eropah.Dan sebagai galang gantinya, Brunei hendaklah mengakui kedaulatan Sepanyol yang bermarkas di Manila pada waktu itu.Namun Sultan Saiful Rijal iaitu Sultan ke-8 Brunei yang memerintah dari tahun 1533 hingga 1581 telah menolak usul daripada Sepanyol.


Atas rasa ingin memastikan bahawa pengaruh Sepanyol di Manila utuh serta boleh menyekat pengaruh perkembangan Islam yang dibawa oleh Kerajaan Brunei tidak terus kuat di bumi Filipina pada masa itu maka pada tahun 1578, Sepanyol telah menyerang Brunei.Tanggal 13 April 1578 menyaksikan armada laut Sepanyol dibawah pimpinan Dr. Fansisco de Sande dengan kekuatan 40 buah kapal perang telah bertembung dengan armada laut Brunei dengan kekuatan 50 buah kapal perang.


Pertempuran kali pertama ini telah menyaksikan satu perang yang hebat namun nasib tidak menyebelahi angkatan tentera Brunei.Dikatakan angkatan Brunei menghadapi kekalahan kali pertama yang teruk.Mereka berundur ke daratan Brunei kembali dan ini menjadikan moral anggota tentera Sepanyol di tahap yang paling tinggi.Mereka mengatur strategi untuk memulakan peperangan darat.


Pada tanggal 16, 20, 24 April 1578, Brunei diserang bertubi-tubi dengan serangan darat dan juga bantuan meriam dari armada laut Sepanyol.Askar-askar Sepanyol berjaya akhirnya merempuh istana serta kota Brunei pada masa itu.Askar-askar Brunei berusaha sebaik mungkin mempertahankan tanahair mereka.Dan dikatakan pada masa inilah, anggota tentera Sepanyol telah menjarah istana Kesultanan Brunei dan merampas apa sahaja barangan berharga kepunyaan keluarga Diraja dan dibawa pulang ke kapal perang mereka.


Dan mungkin ramai yang terleka dengan sejarah yang direkodkan di pihak Sepanyol mengenai Perang Kastila ini kerana sejarah yang ditulis oleh mereka bahawa mereka meninggalkan bumi Brunei pada sekitar Jun 1578 adalah kerana anggota Sepanyol diserang wabak sakit taun.Dan ini berlainan sekali dengan pensejarahan daripada Kerajaan Brunei yang sudah tentu mempunyai dokumen-dokumen yang disahihkan.


Menurut pensejarahan Brunei, Sepanyol sebenarnya telah dihalau keluar daripada Brunei oleh pahlawan-pahlawan Brunei sendiri.Pada masa itu dikatakan anggota tentera Sepanyol tidak mampu mempertahankan diri daripada amukan dan jiwa kental pahlawan Brunei dibawah pimpinan Pengiran Bendahara Sakam ibnu Sultan Abdul Kahar.


Pengiran Bendahara Sakam telah menggempur habis-habisan Sepanyol sehingga memaksa tentera Sepanyol melarikan diri sehingga ke wilayah Nausung (Sabah) pada tanggal 26 Jun 1578.Namun dikatakan 3 hari sebelum Sepanyol diusir keluar daripada Brunei di dalam kacau bilau itu, pada tanggal 23 Jun 1578 pula Dr. Fransisco De Sande bersama-sama dengan anak buahnya telah berjaya membakar Masjid Jamek Brunei sehingga musnah segalanya.


Dan atas jasa Pengiran Bendahara Sakam yang memimpin tentera Brunei dan berjaya menghalau orang Sepanyol daripada bumi Brunei inilah, beliau telah dikurniakan dengan anugerah “Raja Bendahara” oleh Sultan Saiful Rijal.Selepas kekalahan itu, Sepanyol tidak pernah lagi menyerang Brunei dan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam tetap utuh sebagai antara kerajaan terpenting di nusantara.



Inilah satu sejarah panjang di dalam kita cuba untuk memahami konteks Perang Kastila 1578 dari 3 rencana yang mempunyai perkaitannya tersendiri. Satu perang yang menyaksikan orang Brunei berjaya mengusir keluar bangsa Eropah di Negara mereka.



-HB-



Rujukan:


1. Kesultanan Brunei Darussalam

http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah

2. Islam Di Brunei Bermula Kurun Ke 7 Masihi

http://ww1.utusan.com.my/utusan/

3. Sepanyol Menggunakan Pendekatan Budaya Di Dalam Usaha Untuk Menjajah Filipina oleh Nabillazul

http://dokumen.tips/documents/sepanyol-menggunakan-pendekatan-budaya-dalam-usaha-untuk-menjajah-filipina.html

4. Perang Kastilan: Melayu vs Sepanyol

http://lokalgenius.blogspot.my/2012/12/perang-kastilan-melayu-vs-sepanyol.html


Comentarios


bottom of page