top of page

TOTOK BAKAKA


TOTOK BAKAKA

- Kod-kod Rahsia Masyarakat Dayak Borneo

Zaman moden yang serba canggih dan sumber maklumat hanya dihujung jari sahaja sudah tentu memberi impak yang berkesan untuk mendapatkan bantuan ataupun mem”viral”kan sesuatu penemuan. Hanya dengan satu panggilan mahupun sms, whassap dan fb, di dalam beberapa saat dunia telah mengetahui apa yang terjadi. Itulah dunia sekarang yang mempunyai teknologi yang canggih-canggih.

Namun begitu mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu hampir setiap masyarakat di dunia mempunyai kod-kod rahsia yang berupa sesuatu yang simbolik di dalam menerangkan perihal suatu perkara. Dan takrifan mengenai setiap kod-kod rahsia ini hanya boleh difahami oleh individu-individu di dalam komuniti masyarakat itu sendiri.

Di dalam sejarah kita menyaksikan bagaimana masyarakat Cina suatu waktu dahulu mempunyai pelbagai kod-kod rahsia di dalam membuat takrifan tentang sesuatu perkara. Dan usahlah merasa ganjil sekiranya di Borneo itu sendiri melalui masyarakat Dayaknya juga mempunyai kod-kod rahsia yang diamalkan oleh masyarakatnya sejak ratusan tahun dahulu.

Mengimbau sejarah kod-kod rahsia atau di dalam bahasa tempatannya dikenali sebagai “Totok Bakaka” sebenarnya banyak bertitik tolak kepada soal-soal keselamatan mahupun pertolongan kecemasan serta pantang larang. Dan apa yang dicatitkan melalui artikel ini hanyalah secara sepintas lalu bagi kita cuba memahami apakah “Totok Bakaka” yang dihantar kepada individu atau pemimpin masyarakat Dayak di Borneo suatu waktu dahulu. Dan kita akan cuba mengungkai apakah maksud yang tersurat di sebalik yang tersirat berdasarkan takrifan buat pemahaman kita semua.



1. Sebatang tombak yang diikat dengan damar berwarna merah.


Kebiasaannya kod rahsia seperti ini hanya dikhaskan untuk pemimpin masyarakat Dayak mahupun panglima-panglima mereka yang gagah perkasa.Ini kerana ianya membawa maksud bahawa Perang akan berlangsung.Usai menerima kod rahsia ini, pengutus kod akan dibenarkan pulang dan maka bermulalah pemimpin mahupun panglimanya membuat persiapan yang tertentu.



2. Sebatang tombak bunu’.


Tombak bunu adalah tombak yang mana dibahagian mata tombak yang runcing telah ditandakan dengan kapur.Apabila menerima jenis tombak ini maka ianya bermaksud bahawa satu perkampungan mahupun keluarga masyarakat Dayak itu akan menerima ancaman yang cukup besar.


Usai menerima si penghantar utusan akan dibenarkan pulang dan kebiasaannya individu atau ketua masyarakat Dayak akan cuba membuat usulan pertemuan dengan yang menghantar kod rahsia itu bagi mengetahui apakah ancaman yang akan mendatang supaya mereka boleh membuat sebarang persiapan bagi menghadapinya.



3. Abu yang diletakkan di dalam bekas seramik.


Menerima abu yang diletakkan di dalam bekas seramik bermaksud satu rumah panjang sudahpun terbakar. Sudah tentu apabila ditimpa musibah ini kebiasaannya hasil tanaman, binatang peliharaan lebih-lebih lagi tiada tempat perlindungan akan membuatkan seluruh penghuni rumah panjang yang terlibat akan menghadapi penghidupan yang sulit.


Dana dan sumbangan daripada saudara mara untuk mereka bangun semula adalah dialu-alukan.Inilah tanda musyawarah di dalam masyarakat Dayak yang sudah dipegang sejak dahulu lagi.



4. Sebatang buluh yang berisi air.


Apabila menerima sebatang buluh yang berisi air di dalamnya menandakan ianya satu pemberitahuan kepada individu mahupun pemimpin masyarakat Dayak bahawa ada saudara mahupun anak buahnya yang mati lemas di sungai.Kebiasaannya tiada nama yang dimaklumkan melainkan mereka bertanya dengan si penghantar utusan.



5. Sehelai cawat yang hujungnya telah dibakar.


Cawat ataupun kain panjang adalah sesuatu yang mempunyai nilai estitika bagi masyarakat Dayak di Borneo.Dan sekiranya menerima sehelai cawat yang hujungnya telah dibakar sudah tentu membawa kepada petanda buruk.


Bagi yang menerima totok bakaka seperti ini bermaksud ada di kalangan keluarganya yang lebih tua atau berusia sudahpun meninggalkan mereka di dunia ini.Segala persiapan hendaklah dilakukan bagi menguruskan apa yang perlu.



6. Sebiji telur yang diletakkan di dalam raga atau bakul.


Bunyi agak kelakar tetapi sebenarnya barangsiapa yang menerima totok bakaka berupa seperti ini kebiasaannya adalah daripada mereka yang mempunyai kelas tersendiri di dalam hirarki strata sosial masyarakat Dayak di Borneo.Ini kerana ianya ada kena mengena dengan pemberitahuan bahawa ada penjual tajau berada di dalam kampung.


Ingatlah bahawa tajau sebenarnya mempunyai nilai yang mahal di dalam masyarakat Dayak di Borneo. Sejak daripada dahulu bukan sembarangan orang yang boleh membeli tajau kerana harganya yang mahal serta hak mereka di dalam strata sosial komuniti dayak itu sendiri.



7. Sebuah mangkuk seramik yang berisi darah dan bulu ayam


Ini merupakan satu kod rahsia yang berkaitan dengan “Ngayau Anak”.Ianya bermaksud memohon bantuan daripada sahabat handai atau sanak-saudara yang tinggal di rumah panjang yang lain bagi membantu individu untuk membalas dendam ke atas musuh mereka yang telah menyerang rumah panjang mereka atau membunuh saudara mereka dengan bantuan seberapa segera.


Apabila ianya dipersembahkan kepada keluarga dan rumah panjang yang lain maka sudah tentu mereka akan memahami kesulitan yang sedang dialami itu. Di ketika inilah mereka yang mendapat hantaran mangkuk seramik itu akan segera ke rumah panjang tersebut untuk mendapat penjelasan secara panjang lebar.



8. Daun sawang diikat tali di hadapan pintu rumah


Ini merupakan satu totok bakaka yang berkaintan dengan pantang larang adat.Jadi sekiranya mana-mana tetamu yang hendak berkunjung ke satu rumah panjang itu dan melihat kepada tanda seperti ini bermaksud hendaklah melupakan niat mereka.Ini kerana seluruh penghuni rumah panjang itu sebenarnya di dalam tempoh pantang larang dan tidak dibenarkan menerima tetamu.



9. Tiang Salugi


Tiang salugi ini merupakan buluh runcing yang dijadikan tiang. Ianya mempunyai 3 maksud yang berbeza iaitu sebagai pemberitahuan dan juga kecemasan.


Jika melihat adanya buluh runcing yang dipasang di kebun sebenarnya menunjukkan bahawa adalah tidak selamat untuk melalui kebun tersebut.Ini kerana berkemungkinan besar tuan punya kebun sudah memasang perangkap untuk menangkap haiwan liar yang boleh memusnahkan kebunnya.


Selain itu, buluh runcing ini juga bermaksud bahawa tuan punya sama sekali tidak membenarkan mana-mana individu untuk memetik mahupun mengambil walau sebiji hasil kebunnya kerana tuan punya kebun hanya menginginkannya untuk dirinya sendiri.


Dan akhir sekali, penggunaan buluh runcing sebagai totok bakaka juga digunakan untuk dihantar kepada individu yang dikenali kebiasaannya saudara terdekat.Ianya menunjukkan bahawa yang mengirimkan buluh runcing itu sebenar di dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan



10. Sireh pinang


Dan simbolik kepada sireh pinang ini juga jika dipersembahkan kepada individu atau ketua keluarga masyarakat Dayak juga membawa maksud hendak memetik bunga di taman keluarga tersebut.Nama “bunga” yang hendak dipetik itu akan diperjelaskan oleh rombongan itu kelak.



Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali kod rahsia ataupun Totok Bakaka di dalam masyarakat Dayak di Borneo. Sudah tentu banyak lagi yang tidak diceritakan secara khusus kerana masyarakat Dayak di Borneo mempunyai banyak etnik yang mempunyai bahasa, adat resam, tradisi yang pelbagai.


Totok Bakaka mungkin sudah tidak dilestarikan tetapi itu tidak bermakna kita harus membiarkan kita “buta” mengenai kewujudannya suatu waktu dahulu.



Opmerkingen


bottom of page