LEGENDA SI KODOK
LEGENDA SI KODOK
- Cerita legenda di dalam masyarakat Punan
Setiap etnik mempunyai cerita legendanya tersendiri dan tidak kurang juga komuniti Punan yang menjadi sebahagian pembentuk masyarakat di Sarawak. Legenda si kodok yang ditampilkan kali ini sudah tentu tiada perkaitan dengan cerita versi Eropah iaitu dari seorang putera raja yang disumpah menjadi kodok. Dan yang ditampilkan adalah perkaitannya dengan masyarakat Punan bertebaran di Pulau Borneo sekarang.
Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun dahulu, masyarakat Punan yang mendiami hutan Marut di Kalimantan Timur sekarang ditimpa satu musibah. Apa sahaja yang ditanam tidak pernah menjadi. Malah memburu dan menjala tidak pernah berhasil sehingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpindah. Maka bersiap sedialah kesemua warga Punan di hutan Marut untuk meninggalkan tempat kediaman mereka mencari tempat yang lebih mendatangkan rezeki.
Diceritakan di dalam kelompok masyarakat Punan ini ada satu keluarga yang mana neneknya yang bernama Nenek Renta merupakan seorang nenek yang tua dan tidak mampu untuk berjalan. Kerana kasihnya keluarga kepada beliau biar payah dan susah sekalipun maka diangkatnya nenek mereka di dalam perjalanan. Perjalanan masih jauh tetapi tidak seorang pun ahli keluarganya yang mengeluh kerana kesulitan itu.
Tiba di satu kawasan berdekatan dengan sungai, Nenek Renta telah bermati-matian meminta keluarganya meninggalkannya disitu. Walau dipujuk dengan apa cara sekalipun, Nenek Renta tetap dengan keputusannya dan sehingga saatnya keluarganya mengalah. Lalu disiapkan mereka pondok kecil untuk Nenek Renta berteduh dari hujan panas. Malah ditinggalkan juga makanan untuk mengelakkan Nenek Renta ini kelaparan.
Bila tiba masa untuk memulakan perjalanan ke kawasan yang baru, seluruh keluarga Nenek Renta berjanji mereka akan datang menjenguk Nenek Renta di pondok tersebut. Dan apabila sudah selesai segala persiapan untuk penempatan baru, mereka berjanji akan membawa Nenek Renta pulang untuk tinggal dengan mereka.
Hendak dijadikan cerita, 2 minggu kemudian keluarga Nenek Renta menjenguk nenek mereka yang tinggal di satu pondok di tepi sungai. Kedatangan mereka amat menggembirakan Nenek Renta. Tetapi ada sesuatu yang mereka rasa berlainan, kerana Nenek Renta yang mereka kenal semakin kuat berbanding dahulu. Walaupun gerakannya terbatas tetapi keceriaan terpancar di raut wajah nenek mereka. Dan yang lebih pelik di sebelah pinggang neneknya terdapat satu bakul rotan yang dibawa ke mana-mana sahaja oleh Nenek Renta.
Apabila menjelang malam, keluarganya mula merasa curiga dan akhirnya mereka membuka bakul rotan tersebut ketika Nenek Renta sedang tidur nyenyak. Alangkah terkejutnya kerana yang berada di dalam bakul tersebut adalah seekor kodok yang besar dan berwarna keemasan-emasan serta tidak pernah dilihat sebelum ini.
Keesokan harinya, keluarga Nenek Renta memujuk lagi beliau untuk kembali ke perkampungan Punan yang baru. Namun ajakan itu tetap tidak diendahkan oleh Nenek Renta dengan sekali sekala menyatakan beliau lebih bahagia tinggal di pondok tersebut ditemani kawan-kawan barunya. Oleh kerana tidak mahu bertelagah, keluarga Nenek Renta mengikut sahaja kemahuan nenek mereka dan menyiapkan segala keperluan nenek mereka.
Sepurnama selepas itu, keluarga Nenek Renta melawat lagi nenek mereka di sebuah pondok di tepi sungai. Namun kali ini mereka tidak melihat langsung kelibat Nenek Renta. Maka kecohlah keluarganya mencari nenek mereka masuk ke dalam hutan yang berdekatan. Akhirnya mereka terlihat satu tikar dihamparkan di atas batuan besar di tepi Sungai Magong. Dan mereka cukup pasti bahawa tikar itu milik nenek mereka kerana itulah tikar yang ditinggalkan untuk nenek mereka tidur di pondok.
Di dalam kekecohan mereka melaungkan nama Nenek Renta mereka tiba-tiba melompatlah seekor kodok yang amat besar serta mempunyai garis-garis keemasan yang terlalu mengasyikkan bila dipandang. Di saat itulah kodok tersebut berkata-kata di dalam bahasa Punan bahawa beliau merupakan Nenek Renta, nenek kepada mereka ini semua.
Menurut Nenek Renta, beliau lebih senang menjadi kodok kerana lebih dekat dengan alam maya serta boleh berinteraksi dengan lebih ramai binatang di dalam hutan daripada menjadi manusia. Beliau juga meminta janganlah keadaannya dipersalahkan kerana ada gunanya menjadi kodok kerana boleh membantu manusia. Beliau juga meminta jangan pernah ada masyarakat Punan yang tinggal di Sungai Magong hendak membunuh mana-mana kodok kerana berkemungkinan akan membunuh dirinya.
Akur dengan perintah nenek mereka, keseluruhan keluarga masyarakat Punan terutama yang tinggal di Sungai Magong, Bulungan sehingga ke hari ini tidak pernah membunuh mahupun menjadikan mana-mana kodok itu sebagai santapan mereka. Ini kerana mereka percaya bahawa berkemungkinan besar kodok tersebut adalah daripada ahli keluarga mereka iaitu Nenek Renta.
Inilah cerita legenda yang menjadi salah satu sastera rakyat di Borneo yang ternyata mempunyai keunikannya yang tersendiri. Sesungguhnya kita ini sebenarnya mempunyai banyak cerita legenda yang wajar untuk diwar-warkan buat bacaan dan pengetahuan semua.
Comments