top of page

BUAH EMBANG


BUAH EMBANG

Dengan nama botaninya iaitu mangnifera pajang merupakan salah satu buah-buahan tempatan yang hanya ada di Pulau Borneo. Oleh kerana ianya merupakan antara salah satu buah-buahan yang popular di kalangan masyarakat Borneo maka ianya juga dipanggil dengan pelbagai nama.

Jika di Sarawak, di kalangan etnik Iban ianya dikenali dengan nama Mawang manakala bagi komuniti Melayu Sarawak pula memanggilnya buah embang atau buah pangin. Di Sabah pula rata-rata masyarakat Sabah memanggilnya bambangan atau embanwang manakala untuk di Negara Brunei bagi masyarakat Kedayan memanggil dengan nama Membangan dan juga Bambangan.

Di Kalimantan pula, buah embang juga mempunyai pelbagai nama mengikut wilayah dan etniknya. Limun atau Asem Panjang atau Hambawang, Lampayang atau Pangaeng merupakan nama-nama yang mewakili buah embang ini mengikut wilayah kabupatennya. Manakala di kalangan Dayak Kenyah di Kalimantan pula menggelarnya Alim manakala bagi Dayak Kenyah Uma’ Lung memanggilnya Alieng.

Ada yang berkata bahawa buah embang ini mempunyai banyak persamaam dengan buah mangga namun begitu tekstur untuk buah embang ini lebih kasar berbanding buah mangga. Jika buah mangga sewaktu masaknya mempunyai rasa yang manis tetapi tidak pada buah embang kerana sewaktu masaknya ianya mempunyai rasa yang masam.

Dari segi kulit pula warnanya agak coklat serta agak tebal. Tebal kulitnya lebih mirip kepada satu lagi buah tempatan iaitu buah bacang. Dan saiznya pula ada yang berbentuk bujur dan bulat. Tidak dinafikan adakala buah embang boleh mencapai berat sehinga 3-4 kilo sebiji bergantung kepada jenis buahnya.

Bagi menikmati buah embang ini haruslah mengupas kulitnya dahulu. Dan isinya yang berwarna coklat keemasan itulah yang sebenarnya akan dijadikan menu sajian untuk keluarga. Pelbagai resipi tradisional yang dilahirkan daripada buah embang ini seperti kerabu embang, sambal belacan embang dan banyak lagi.

Perlulah kita mengetahui bahawa di dalam kita ghairah dengan rakusnya menebang hasil hutan atas nama pembangunan, kita mungkin alpa bahawa Pokok Embang ini merupakan antara tumbuhan hutan yang tersenarai sebagai tumbuhan terancam di dalam senari IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources) dengan klasifikasi VU. Ini bermakna jika kita tidak memelihara tumbuhan ini tidak mustahil kita hanya mampu melihatnya di dalam gambar-gambar sahaja.

Comments


bottom of page