KOLAM AIR PANAS MERARAP, SG TRUSAN, LAWAS
KOLAM AIR PANAS MERARAP, SG TRUSAN, LAWAS
Jika di Kampung Meritam, Limbang adanya kewujudan “Lumpur Bebuak” yang juga sebenarnya mempunyai kaitan dengan gunung berapi dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada satu lagi “hidden paradise” di Limbang iaitu Kolam Air Panas Merarap, Sg Trusan, Lawas. Kolam air panas ini terletak kira-kira 70 km dari Bandar Lawas dan kira-kira setengah perjalanan untuk ke Ba Kelalan.
Seperti Lumpur Bebuak Sungai Meritam yang mempunyai istilah sainsnya tersendiri maka begitulah juga dengan pembentukan kolam air panas atau mata air panas. Menurut istilah sainsnya dikatakan bahawa ianya merupakan satu fenomena alam yang terbentuk apabila air di permukaan bumi menyerap masuk ke bawah tanah. Kemudian air ini dipanaskan (boleh sehingga ke takat didih) oleh batuan-batuan panas (magma) yang kemudian mengalirkannya semula ke permukaan bumi.
Melihat kepada pengistilahan dari terma sainsnya sahaja sudah menunjukkan betapa istimewanya setiap kolam air panas yang terbentuk di Sarawak. Kolam air panas Merarap di Sungai Trusan misalnya sudah tentu menyimpan pelbagai keistimewaan yang tersendiri kerana ramai telah mengetahui betapa baiknya untuk sentiasa mengamalkan mandi spa di kolam air panas yang sebenarnya antara rawatan kuno sejak dahulu lagi.
Mengimbau sejarah penemuan kolam air panas Merarap ini dikatakan telah ditemui oleh seorang anak Lun Bawang bernama Alfred Padan. Beliau juga merupakan seorang pekerja kepada syarikat pembalakan di Lawas dan menjelajah hutan mencari kayu-kayu yang sesuai itu biasa bagi beliau.
Melihat kepada potensi kolam air panas ini, Alfred Padan telah mengambil inisiatif sendiri untuk memajukan kolam air panas Merarap memandangkan ianya terletak di tanah miliknya sendiri. Beliau telah melaburkan modalnya sendiri dengan memajukan kolam air panas umpama resort atau enap desa tersendiri. Beliau juga telah membina jalan raya nya sendiri bagi memudahkan pelancong-pelancong untuk singgah di kolam air panasnya.
Dibuka secara rasminya pada April 2006, Kolam Air Panas Merarap ini semakin maju dan menjadi antara destinasi pelancongan yang unik memandangkan ianya juga mendapat sentuhan layanan mesra cara etnik Lun Bawang iaitu salah satu etnik yang ramai mendiami bumi Lawas sejak dari dahulu lagi.
Lan Berambeh Ke Sarawak. #KamekSayangSarawakBah!
Opmerkingen