top of page

ADAT MEMBAKAR MERCUN DAN BUNGA API


ADAT MEMBAKAR MERCUN DAN BUNGA API DI DALAM MASYARAKAT CINA


Bila kedengaran bunyi mercun serta bunga api sudah tentu ianya menjadi tanda kepada kita semua bahawa sesuatu perayaan kaum akan menjengah di dalam sedikit masa lagi. Dan tiada yang lebih sinonim dengan mercun dan bunga api melainkan masyarakat Cina. Di dalam penghidupan mereka banyak makna simbolik daripada pembakaran mercun dan bunga api ini.


Bila berbicara mengenai membakar mercun dan bunga api ini sebenarnya untuk masyarakat Cina ianya tidak terhad ketika menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Ini kerana ianya juga turut dilakukan ketika pembukaan rasmi sebuah kilang, sekolah atau apa sahaja yang membawa kepada kemakmuran dan rezeki.


Jika mengimbau sejarah asal-usul membakar mercun dan bunga api bagi masyarakat Cina ini terdapat dua versi cerita yang mana ianya menjadi rujukan seluruh dunia di dalam memperkatakan sejarah adat ini.



Versi Pertama:


Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.


Mereka mencari ikhtiar unutk menewaskan makhluk tersebut. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.


Tahun Baru Cina mempunyai sejarah yang lama, itu berasal daripada kegiatan memuja dewa dan nenek moyang sempena hujung tahun dan permulaan tahun baru di negara Cina pada zaman kuno. Tahun Cina dipanggil ‘Yuanri’, ‘Yuandan’ atau ‘Tahun Baru’ pada zaman kuno. Selepas revolusi 1911, kerajaan pada waktu itu secara rasmi menetapkan hari pertama bulan satu Imlek sebagai Tahun Baru Cina.


Tahun Baru Cina juga secara umumnya dipanggil ‘Guonian’. Apa itu ‘Nian’? menurut riwayat asal usul Tahun Baru Cina, ‘Nian’ adalah sejenis binatang bayangan yang membawa nasib buruk. Semasa ‘Nian’ tiba, semua tumbuhan mati; semasa ‘Nian’ pergi, tumbuhan hidup lagi dan bunga berkembang.


Jadi orang Cina akan membakar mercun dan bunga api untuk menakutkan juga untuk mengusir ‘Nian’.



Versi Kedua:


Kononnya pada zaman dahulu yakni ribuan tahun yang lalu, di negara China terdapat sejenis binatang galak yang bernama ‘Nian’. Pada malam terakhir setiap tahun, ia pergi ke setiap kampung dan keluarga, untuk memakan manusia.


Pada suatu malam, ‘Nian’ pergi ke sebuah kampung untuk memakan manusia lagi, tetapi kebetulan terdapat dua orang kanak-kanak yang sedang bermain cambuk, dan mengeluarkan bunyi yang menakjubkan.


Setelah terdengar bunyi itu, ‘Nian’ sangat terkejut lalu melarikan diri. Ia pergi ke sebuah kampung lagi, dan melihat sehelai baju merah yang digantung di hadapan pintu sebuah rumah. Ia berasa pelik dan takut dengan baju merah tersebut, dan secara kelam-kabut melarikan diri.


Kemudian ia pergi ke sebuah kampung lagi dan melihat ke dalam sebuah rumah, dan dalam rumah itu sangat terang, lalu ‘Nian’ terus melarikan diri lagi.


Sejak waktu itu, orang sudah tahu bahawa ‘Nian’ takut kepada bunyi, warna merah dan cahaya yang terang, dan telah mendapat banyak cara untuk menangkisnya, misalnya membakar mercun, menampal kuplet dan memasang lampu, dan ini secara beransur-ansur menjadi adat resam pada Tahun Baru Cina.



Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘Chap Goh Mei‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.


Pada penghujung malam ini Chap Goh Mei ini juga, masyarakat Cina akan menghabiskan kesemua stok mercun dan bunga api mereka bagi menandakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina sudah selesai.


Inilah sedikit pencerakahan di dalam kita cuba memahami sinonimnya adat membakar mercun dan bunga api di dalam masyarakat Cina di seluruh dunia. Walaupun ianya akan membingitkan telinga dan menimbulkan kurang selesa bagi sesetengah individu tetapi janganlah ada diantara kita mula meluahkan kata-kata kurang enak sehingga menghina tradisi kaum yang lain.


Ingatlah kita hidup di dalam satu masyarakat majmuk dan perlu untuk kita menghormati adat istiadat kaum yang lain serta memahaminya supaya perpaduan antara kita tetap utuh dijaga.


Comentarios


bottom of page