top of page

BALAI RINGIN INTERNATIONAL AIRPORT


BALAI RINGIN INTERNATIONAL AIRPORT

Melihat teaser artikel mungkin kita sendiri sebagai anak Sarawak agak janggal tentang pensejarahannya memandangkan setakat ini amat jarang diwar-warkan bahawa suatu waktu dahulu, Balai Ringin iaitu sebuah daerah kecil di Bahagian Serian ini mempunyai sebuah lapangan terbang. Lagi memilukan yang tertulis bukan lapangan terbang biasa sebaliknya lapangan terbang antarabangsa.

Menyelusuri sejarah “rare” lapangan terbang ini sahaja bukannya satu hal yang mudah kerana pencarian sejarahnya juga terlalu “rare” sekali. Mana tidaknya kerana rujukannya hanya terdapat pada mana-mana jurnal yang ditulis oleh pesara-pesara anggota tentera Komanwel yang pernah berkhidmat di bumi Borneo suatu waktu dahulu.

Untuk secara mengkhusus, perlulah diketahui bahawa Balai Ringin International Airport ini bukannya satu lapangan terbang yang dikhaskan untuk orang awam sebaliknya ianya adalah lebih kepada kegunaan untuk tentera. Iaitu ketika bumi Sarawak pada masa itu di dalam kemelut peperangan yang dikenali sebagai Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlangsung dari tahun 1962 hingga 1966.

Jika kita mengimbau kembali satu sejarah perang yang juga dikenali sebagai “Perang Yang Tidak Perlu” ini sememangnya sesuatu yang tidak kita sukai langsung. Ini kerana terjadinya perang ini adalah atas ketidakpuasan Presiden Sukarno, Presiden Republik Indonesia yang menentang pembentukan Gagasan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963. Pembentukan yang menyaksikan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sarawak dan North Borneo (Sabah) menjadi satu federasi yang bebas merdeka.

Daripada hanya pemulauan peringkat mesyuarat oleh Presiden Sukarno akhirnya ketidakpuasan itu melarat sehingga menyebabkan adanya kegiatan ketenteraan yang dilakukan. Pada 18 September 1963, para perusuh warga Indonesia telah membakar kedutaan Britain di Jakarta. Beratus-ratus perusuh menyerbu kedutaan Singapura di Jakarta dan juga kediaman rasmi diplomat Singapura. Di Malaysia, ejen Indonesia ditangkap dan wartawan media massa menyerang kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Pada 12 April 1963, sukarelawan perang dan para gerila Indonesia mula bertindak menyelinap masuk ke dalam sempadan Malaysia. Ketika ini, penyelinapan dan pencerobohan masuk mula dengan menyerang Balai Polis Tebedu di Sarawak, yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada sempadan Indonesia. Tugas peyelusupan diletakkan di bawah bahu Mejar Benny Moerdani. Namun begitu serangan berjaya dipatahkan oleh Sarawak Rangers, Askar Melayu dan Askar Gurkha.

Pada 29 Disember 1963, gerila perang Indonesia telah melancarkan serangan mengejut ke Pos tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah. Serangan mengejut ini dilakukan ketika anggota tentera Gagasan Malaysia sedang bersiap sedia untuk solat Isyak. Walaupun diserang hendap namun berpantang berundur, serangan tersebut ditentang habis-habisan dan menyebabkan sukarelawan perang Indonesia berundur ke sempadan mereka.

Pada 1964, gerila Indonesia mulai menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia. Pada bulan Ogos, enam belas ejen bersenjata Indonesia ditangkap di Johor. Aktiviti tentera Indonesia di sempadan semakin meningkat. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia telah mengerahkan Angkatan Tentera Malaysia termasuk Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Askar Wataniah dan juga Sarawak Rangers bersiap sedia untuk menangani ancaman ganas Indonesia.

Di dalam corat coret menghadapi peperangan ini, Negara-negara Komanwel iaitu satu grup Negara-negara yang pernah dinaungi oleh British telah menghulurkan bantuan kepada Malaysia untuk menangani masalah ini. Pada ketika inilah telah dikerahkan “Joint Army” iaitu satu pembentukan anggota tentera yang terdiri daripada Negara-negara seperti New Zealand, Australia malah British sendiri telah kembali berkhidmat di Sarawak mahupun Sabah serta Malaya pada masa itu.

Sebenarnya “Joint Army” untuk menghadapi Konfrantasi Indonesia-Malaysia ini menurut sejarahnya mempunyai 3 kedatangan yang berbeza. Pada mulanya “Joint Army” dihantar ke Malaysia usai sahaja pembentukan Malaysia itu sendiri iaitu pada tahun 1963. Kemudian keadaan dikatakan agak tenang sebelum bermula semula sekitar tahun 1964 dan akhirnya berterusan sehingga tamatnya iaitu pada tahun 1966.

Atas keperluan logistik memandangkan pada ketika itu di Sarawak melalui ibukotanya Kuching hanya mempunyai satu lapangan terbang antarabangsa yang juga turut berkongsi lapangan terbang yang sama dengan Tentera Diraja Malaysia maka adalah perlu untuk mempunyai lapangan terbang yang mengkhusus untuk keperluan “joint army” ini. Dan kerana itulah Balai Ringin International Airport ini wujud di Sarawak.

Sekitar tahun 1965, setelah segala perancangan dan keperluan dikenalpasti, maka pihak Kerajaan Malaysia melalui 3rd Skuadron Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia telah diarahkan untuk membuat segala kerja-kerja pembinaan di satu kawasan yang bernama Balai Ringin. Lokasinya dipilih pada masa itu kerana ianya juga dekat dengan perbatasan yang mana pada ketika itu “joint army” akan ditempatkan.

Menurut sumber dikatakan pembinaan lapangan terbang ini hanya mengambil masa yang singkat tetapi tetap dikawal mutu kerjanya memandangkan kapalterbang yang akan mendarat adalah di kalangan pesawat-pesawat tentera. Selain daripada mempunyai landasan kapalterbang di kawasan ini juga didirikan beberapa blok berek-berek kediaman tentera bagi mereka mempelajari segala strategi sebelum mula menyusupi hutan belantara sempadan Malaysia/Indonesia.

Dari sinilah suatu waktu dahulu Operasi Claret iaitu satu operasi ketenteraan yang dibuat dari Julai 1964 sehingga Julai 1966 bermula. Untuk tujuan ini British bersama-sama Malaysia telah sebulat suara untuk melantik seorang anggota tentera British yang berpengalaman iaitu Jeneral Sir Walter Colyear Walker untuk menjadi Director of Borneo Operations (DOBOPS). Beliaulah yang banyak memainkan peranan yang utama bagi memastikan Operasi Claret di Borneo seperti yang dirancangkan iaitu bagi menghalau anggota tentera Indonesia tidak menyusup masuk ke Malaysia melalui sempadan Indonesia/Sarawak pada masa itu.

Keupayaan anggota “Joint Army” ini jangan dipandang ringan kerana segala kelengkapan ketenteraan serta anggota tentera yang dipilih menganggotainya bukanlah calang-calang anggota tentera. Keupayaan ketenteraan pula daripada “special forces” sehingga ke unit infantri jadi adalah perlu pada ketika itu satu lapangan terbang yang mengkhusus disediakan.

Operasi Claret yang pada mulanya hanya rondaan bersama “joint army” dengan anggota tentera Malaysia lebih-lebih lagi Sarawak Rangers pada masa itu yang juga telah diserapkan menjadi battalion di dalam anggota tentera Malaysia setelah pembentukan Malaysia telah menjadikan ianya satu pasukan yang amat kuat.

Dari rondaan akhirnya ada pertempuran di perbatasan apabila konflik bersenjata turut melibatkan berbalas tembakan dengan komando Indonesia (Kopassus). Menurut rekod sepanjang konflik ini berlaku di perbatasan Indonesia/Malaysia dikatakan seramai 2,000 orang Komando Indonesia terbunuh. Korban juga turut melibatkan 200 orang anggota “joint army” iaitu dari unit Special Air Service (SAS) British, Australia dan New Zealand dan Malaysia sendiri.

Dengan asakan demi asakan di perbatasan Indonesia/Malaysia malah juga di bumi Malaya itu sendiri akhirnya sekitar 28hb Mei 1966, satu rundingan berlangsung di Bangkok, Thailand antara Malaysia dengan Indonesia. Pada ketika itu, Presiden Suharto menghantar Adam Malik sebagai wakil Indonesia untuk merencana perundingan damai dengan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.

Kesemua konflik bersenjata berakhir pada bulan Jun 1966 dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos 1966 dan sejak itu keamanan dikecapi di seluruh bumi Malaysia secara berperingkat-peringkat sehinggalah ianya tiada lagi sekitar tahun 1967.

Inilah sejarah Balai Ringin International Airport yang merupakan antara “saksi bisu” penerimaan pelbagai “joint army” di Borneo bagi mendapat pendamaian untuk seluruh Gagasan Malaysia daripada tindakan kurang berpuas hati jiran terdekatnya iaitu Republik Indonesia. Mungkin lapangan terbang ini sudah tiada lagi di Sarawak namun begitu ianya tidak bermakna kita boleh melupakan sejarahnya dengan keamanan yang kita kecapi sekarang.


Reference:


1. Army Borneo http://www.nmbva.co.uk/army%20Borneo.htm

2. Joint Service Unit http://www.nmbva.co.uk/joint_services_units.htm

3. Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1962-1966 – Borneo Oracle

4. Confrontation In Borneo http://www.nzhistory.net.nz/war/confrontation-in-borneo

5. Australian Involvement in Southest Asia Conflicts; The Malayan Emergency (1948-1960) and The Indonesian-Malaysian Confrontation (1963-1966)

http://se-asia.commemoration.gov.au/background-to-indonesian-confrontation/causes-and-description.php

6. Malaya Veterans : History of New Zealand’s Involvement In Malaysia http://www.malayavets.co.nz/index.php?pag=cms&id=82&p=history-of-defence.html



Comments


bottom of page