top of page

FROM PETRA JAYA WITH LOVE

  • Jan 2, 2016
  • 3 min read

Seringkali ramai yang baru memijak bandaraya Kuching akan tersalah memanggilnya Putra Jaya sedangkan hakikatnya Putra Jaya itu terletak nun jauh di bumi Semenanjung Malaysia. Petra Jaya itulah nama yang betul di dalam kita cuba menyingkap satu sejarah panjang satu lokasi yang terkenal dengan penempatan dan tradisi kaum Melayu Sarawak di Kuching.

Kawasan yang dimaksudkan ini sebenarnya terletak di seberang Sungai Sarawak dan disinilah berhimpunnya perkampungan tradisional kaum Melayu Sarawak yang bermula di seberang Sungai Sarawak seperti Kampung Gita, Kampung Sinjan, Kampung Lintang, Kampung Astana, Kampung Tupong, Kampung Gersik, Kampung Pulo, Kampung Surabaya, Kampung Panglima Seman, Kampung Semarang, Kampung Bintawa serta banyak lagi.

Mengikut cerita sejarahnya, kawasan bernama Petra Jaya sekarang ini dahulunya dikenali sebagai nama “Seberang sungai” atau di dalam bahasa Melayu Sarawak “seberang sungei”. Lokasi ini dirujuk sebagai seberang sungei kerana kawasannya yang terletak di seberang Sungai Sarawak dari Bandar Kuching. Dan kewujudan perkampungan-perkampungan Melayu di seberang sungai ini dikatakan sudahpun ada sejak di zaman Sarawak menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei lagi.

Dan tiada siapa boleh menidakkan bagaimana “seberang sungei” ini memain peranan yang penting di dalam sejarah Sarawak itu sendiri kerana di lokasi inilah Rajah James Brooke pernah tinggal sejak beliau mendiami bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Di kawasan inilah berdirinya Astana Negeri Sarawak yang dibina oleh Brooke dan sehingga kini menjadi kediaman rasmi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Itu sejarah lama dengan namanya “seberang sungei” namun sejak di tahun 1970 lagi ianya lebih dikenali dengan nama Petra Jaya. Nama “Petra Jaya” itu diambil bersempena dengan nama Tuan Yang Dipertuan Agung Malaysia yang ke-6 iaitu Tuanku Yahya Petra, Sultan Kelantan yang menjadi Yang Dipertuan Agung Malaysia dari tahun 1975 sehingga 1979. Dan pada ketika itu Sarawak dipimpin oleh Ketua Menterinya yang ke-3 iaitu Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman bin Yaakub yang memimpin Sarawak dari tahun 1970 hingga 1981.

Suatu waktu dahulu, kawasan Petra Jaya ini hanya boleh dihubungi dengan menggunakan perkhidmatan “Pak Penambang” yang berulang alik dengan perahunya dari pangkalan-pangkalan menyelusuri perkampungan Melayu di tebing Sungai Sarawak. Dan kemudian sekitar tahun 1926, pihak pentadbiran Sarawak Kingdom telah membina satu jambatan gantung yang dikenali sebagai Jambatan Gantung Satok.

Dikatakan pada masa itu tujuan utama pembinaannya adalah untuk memudahkan jaluran paip air bersih dari Tangki Air Matang dengan kawasan seberang sungainya iaitu Bandar Kuching pada masa itu. Dan apabila ianya siap sepenuhnya, jambatan gantung itu juga dijadikan salah satu jambatan penghubung antara penduduk di Petra Jaya ke Bandar Kuching. Namun sayangnya mercu tanda jambatan gantung Satok ini hanya menjadi sejarah apabila ianya roboh sekitar tahun 2004 tanpa ada usaha untuk membinanya kembali buat kita mengimbau sejarah lepas kita.

Sekitar tahun 1975, atas usaha Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub dibina pula satu jambatan konkrit yang lebih moden yang dikenali sebagai Jambatan Datuk Patinggi Tun Abdul Rahman Yaakub atau Jambatan Satok. Dan jambatan konkrit ini merupakan antara jambatan paling sibuk saban hari di Kuching kerana ianya masih antara penghubung kawasan Petra Jaya dengan Bandar Kuching itu sendiri sehingga sekarang. Buat masa sekarang selain daripada Jambatan Satok, Petra Jaya juga boleh dihubungi dengan mudah melalui jalinan jambatan yang lain seperti Jambatan Tun Salahuddin dan Kuching Barrage.

Dan Petra Jaya sekarang bukanlah seperti “seberang sungei” yang kita kenali dahulu kerana sejajar dengan waktu Petra Jaya juga sudah membangun dengan begitu gah sekali. Pembangunan yang mampan di kawasan Petra Jaya dengan kemudahan infrastrukturnya serta berdirinya kawasan perumahan-perumahan yang teratur telah menggantikan beberapa kawasan penempatan tradisional Melayu seperti kawasan-kawasan Demak, Semariang, Matang dan banyak lagi. Malah kawasan Petra Jaya sekarang bukan hanya didiami oleh kaum Melayu sahaja seperti dulu-dulu sebaliknya ianya juga dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat Sarawak yang majmuk.

Selain daripada itu, dengan jalinan jalanraya yang bertali arus dan moden juga menjadi kawasan Petra Jaya boleh dihubungi secara terus dengan kawasan-kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian Demak Laut dan sebagainya. Di Petra Jaya inilah ditempatkan beberapa mercu tanda kebanggaan orang Sarawak seperti Dewan Undangan Negeri Sarawak baik yang lama mahupun baru.

Malah di Petra Jaya juga terletaknya majlis berkuasa tempatan yang menguruskan semua hal-ehwal wilayah persempadanan Kuching Utara yang dikenali sebagai Dewan Bandaraya Kuching Utara yang tersergam indah di atas Bukit Siol, Semariang. Dan melalui Petra Jaya inilah mana-mana pelancong boleh dihubungkan dengan pusat-pusat peranginan seperti Santubong, Pasir Pandak, Telaga Air, Kampung Budaya Sarawak dan banyak lagi.

Dan sesuatu yang harus kita ambilkira apabila berbicara tentang Petra Jaya, walau se gah mana kesan modennya dengan pembinaan infrastruktur yang lebih moden, orang “seberang sungei” masih lagi memilih untuk menggunakan perkhidmatan “pak penambang” yang masih mengungguli Sungai Sarawak untuk setiap urusan ke Bandar Kuching kerana ianya hanya memakan masa yang singkat tanpa perlu untuk melayan kerenah mencari tempat meletak kenderaan dan sebagainya.

Inilah ceritera From Petra Jaya With Love buat informasi daripada Borneo Oracle untuk semua. Setiap daerah mempunyai nilai kasih sayang dan setiap daerah mempunyai nilai sejarahnya.

 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page