top of page

ETNIK MELAYU COCOS, SABAH, BORNEO


“Tiada Melayu Di Sabah”… itulah antara fakta yang cuba diserap oleh segelintir masyarakat yang cuba untuk menidakkan kewujudan sesuatu bangsa. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebenarnya kerana di Sabah itu ada mereka yang dari rumpun Melayu. Mereka sudah menetap lama dan diberikan pengiktirafan bumiputera Sabah atau anak negeri.


Yang dimaksudkan itu adalah Melayu Cocos yang juga dikenali sebagai Orang Kokos atau Orang Kukus. Menariknya mengenai Melayu Cocos ini adalah dari segi bahasanya iaitu jika dilihat dari lidah penuturnya di alam Melayu dikatakan dikategorikan di bawah bahasa “Melayu Pasar” atau “Melayu Rojak”.


Manakan tidak kerana jika di dalam bahasa Melayu pasar penggunaan “gua”, “lu” malahan dicampur dengan bahasa Inggeris adalah bahasa pertuturan biasa bagi Melayu Cocos.


Secara ilmiahnya bahasa Melayu Cocos menurut laporan ethnologi dikategorikan di dalam kod COA. Dan sekiranya diklasifikasikan menurut linguistik bahasa pula adalah di bawah rumpun bahasa Creole, Malay based. Dan jika di Malaysia iaitu mengkhusus di Sabah sebenarnya untuk orang Sabah pula menggelar kategori bahasa Melayu Cocos dipanggil Suang Lotud.


Di Malaysia, populasi Melayu Cocos sebenarnya lebih mengkhusus di sebuah negeri di dalam Gagasan Malaysia yang terletak nun jauh di Pulau Borneo iaitu Sabah, Malaysia. Untuk lebih spesifik, populasi Melayu Cocos ramai terdapat di Tawau, Kunak, Lahad Datu serta di Beluran, Sandakan.


Disini sahaja dikatakan terdapat lebih kurang 5,000 orang Melayu Cocos dan mereka dikategorikan sebagai etnik minoriti Sabah yang mempunyai keistimewaan sebagai anak negeri Sabah jauh sebelum Sabah membentuk Malaysia bersama-sama Malaya, Sarawak dan Singapura (menarik diri pada tahun 1965) pada tahun 1963.


Mengimbau asal usul keturunan Melayu Cocos ini sebenarnya agak unik kerana mereka bukan berasal dari mana-mana wilayah yang berdekatan dengan Pulau Borneo baik dari Kalimantan, Sarawak mahupun Negara Filipina itu sendiri.


Bumi asal kepada Melayu Cocos ini adalah dari Australia atau lebih mengkhusus satu pulau yang dikenali sebagai Pulau Cocos dan Pulau Keeling. Suatu waktu dahulu di bumi asal ini, merekalah tulang belakang kepada penjajah British yang menjajah wilayah mereka untuk mengusahakan kebun kelapa dan sebagainya.

Dan menurut sejarah juga mengatakan bahawa setelah berkurun lamanya dijajah oleh British akhirnya pada tahun 1951, British telah menyerahkan kedua-dua pulau ini kepada Australia. Walau bagaimanapun hanya sekitar tahun 1955 ianya benar-benar mengikut undang-undang antarabangsa.


Namun begitu pengaruh pemerintahan Australia di Keeling Island hanya bermula pada tahun 1984 apabila adanya satu soal selidik yang dipantau oleh United Nation dan menyaksikan bahawa rakyat di kedua-dua pulau ini lebih memihak untuk berada di wilayah Australia.

Itu cerita sejarah bumi asal Melayu Cocos dan yang menariknya sejarah penghijrahan Melayu Cocos itu berada di Sabah lebih menarik perhatian. Ini kerana Melayu Cocos itu bukannya ada di Sabah baru-baru ini sebaliknya lebih lama dari itu.


Seperti kata bidalan, bangsa Melayu itu bangsa pengembara. Membelah lautan itu biasa dan ianya terbukti di dalam sejarah. Dan begitu juga halnya dengan Melayu Cocos. Keberadaan mereka di Sabah sebenarnya sama seperti bangsa yang lain iaitu berhijrah untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik.

Ditambahlagi suatu waktu dahulu ketika Sabah yang lebih dikenali sebagai North Borneo adalah dibawah pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang memerintah dari tahun 1882 sehingga 1942. Pada ketika ini kerana Keeling dan Cocos Island merupakan tanah jajahan British maka kedatangan mereka dialu-alukan ke North Borneo untuk bersama-sama mempergiatkan pertanian di Sabah khususnya penanaman kelapa dan sebagainya yang menjadi komoditi penting pada masa itu.

Apabila mereka sudah bermastautin tetap dan akhirnya juga melestarikan perkahwinan antara etnik di North Borneo maka lahirlah satu etnik minoriti yang kita kenali iaitu Melayu Cocos. Selain daripada itu, Melayu Cocos tidak pernah “miskin” dengan adat budaya Melayu mereka serta tradisi mereka seperti keunikan tarian tradisi mereka yang mempunyai pengaruh Scottish -Malay. Tarian tradisi mereka atau dikenali dengan “Dansa” ini seringkali ditarikan ketika majlis keramaian dan juga acara-acara besar bagi masyarakat Melayu Cocos di Sabah.

Jika dilihat dari segi agama yang dianuti pula, rata-rata Melayu Cocos di Sabah adalah beragama Islam dan mereka juga mengamalkan budaya rumpun Melayu walaupun ada yang berbeza sedikit berbanding bangsa Melayu Malaysia itu sendiri tetapi di dalam skala yang minimal.


Mereka juga “Tall, Dark and Handsome” dan merekalah Melayu Cocos dari rumpun Melayu Australia Barat.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta



Rujukan:


1. Orang Cocos Of Sabah - http://www.etawau.com/People/OrangCocos.htm

2. Author: Wan Hashim bin Wan Teh & A. Halim Ali; Rumpun Melayu Australia Barat

3. Author: Nicholas Herriman ; Caring and Family Compatibility in Marriage Migration To The Cocos Island & Asia

bottom of page