top of page

“DAYAK MERDEKA” DE BOVEN KAPOEAS


“DAYAK MERDEKA” DE BOVEN KAPOEAS

Sesuatu yang mungkin ramai tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu di ketika Sarawak di bawah pemerintahan keluarga Brooke dan Kalimantan pula didominasi oleh Koloni Belanda ada satu kawasan yang bergelar De Boven Kapoeas mengikut bahasa Belanda. Apa yang dirujuk sebagai De Boven Kapoeas ini adalah wilayah yang sekarang dinamakan Taman Nasional Betung Kerihun. Topografinya pula adalah kawasan yang bergunung ganang membentang dari Pergununggan Muller bersambung dengan Gunung Betung dan Gunung Kerihun yang akhirnya memisahkan sempadan 2 negara iaitu Sarawak, Malaysia di sebelah utara dan Kalimantan Barat, Republik Indonesia di sebelah selatannya.

Umum mengetahui bahawa etnik Iban adalah antara etnik yang memulakan penghijrahannya daripada kawasan Kapuas Hulu beratus-ratus tahun dahulu kemudian menyusuri wilayah Sarawak seperti Batang Lupar, Saribas dan banyak lagi (Sandin, 1967). Dan signifikasinya De Boven-Kapoes adalah bagaimana perkaitan sejarahnya dengan aktiviti etnik Iban suatu waktu yang telah membuat keributan pentadbiran Brooke dan juga Koloni Belanda sehingga mereka terpaksa bersatu untuk memastikan kedua-dua Negara aman dari segala perang saudara dan sebagainya.

Dan sejarah juga membuktikan bahawa suatu waktu dahulu, wilayah Sarawak merupakan tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Dan bila berbicara di dalam konteks ini bukan semua masyarakat yang menghuni wilayah kuripan ini “setia” dan “menerima” pembesar-pembesar yang dilantik oleh Kerajaan Brunei dan salah satu yang lantang menidakkan mereka diperintah oleh Kerajaan Brunei adalah dari etnik Iban. Dan pada yang menentang pemerintahan itu, mereka menggelar diri mereka sebagai “Dayak Merdeka” dan pada yang menerima dikenali sebagai “Serah Dayak”.

Aktiviti “Dayak Merdeka” ini sebenarnya paling amat digeruni sehinggalah Sarawak dibawah pemerintahan Brooke kerana walau banyak ekspedisi-ekspedisi yang digunakan oleh Brooke untuk memerangi barangsiapa “Dayak Merdeka” yang tidak menerima pemerintahannya sudah tentu De Boven Kapoeas ini menjadi satu wilayah untuk tempat mereka melarikan diri dan menyusun strategi semula. Dengan berada di wilayah ini, Dayak Merdeka mampu mengumpul kekuatan kerana adanya perkaitan dengan “Dayak Merdeka” di sebelah wilayah yang dinaungi oleh Belanda yang juga turut sama tidak mahu menerima pengaruh Belanda di wilayah mereka.

Hal ini menjadi seperti “api di dalam sekam” antara hubungan Brooke dan Belanda apabila pada tahun 1886 satu ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Kedang 1886 telah dijalankan oleh Brooke dengan kekuatan sekitar 10,000 hingga 12,000 tentera Sarawak Kingdom menuju ke wilayah De Boven Kapoeas. Disini sahaja Brooke turut menggunakan kekuatan tentera “Serah Dayak” yang menjadi musuh di dalam selimut untuk kekuatan Dayak Merdeka pada waktu itu.

Pada masa Ekspedisi Kedang 1886 ini dijalankan hampir 80 buah rumah panjang Iban dibakar oleh Brooke bagi menghalang kegiatan penentangnya. Dengan kekuatan sebanyak itu juga diceritakan bahawa Ekspedisi Kedang ini telah menyaksikan bagaimana masyarakat Iban di De Boven Kapoeas tidak sedikitpun gentar dengan tentera Brooke. Di dalam catatan Charles Brooke melalui jurnal pengembaraannya ada mencatatkan bahawa peperangan di De Boven Kapoeas itu juga dikenali sebagai “Serang Rata” yang bermaksud tentera Brooke menerima serangan dari kesemua arah oleh etnik Iban yang mendominasi wilayah itu berkurun lamanya.

Dan apabila Brooke bertindak memerangi orang Iban ini dia turut telah bertindak di luar perbatasan sempadan kerana diceritakan 41 buah daripada rumah panjang Iban yang diperangi dan dibakar itu terletak di kawasan sempadan dibawah takluk Koloni Belanda. Atas hal ini pemerintah Koloni Belanda sama sekali membantah “perbuatan” Brooke kerana walaupun hakikatnya mereka sendiri tidak mampu mengawal masyarakat Iban di wilayah mereka sendiri. Kejadian ini juga menyebabkan kedua-dua kerajaan Eropah ini bermasam muka buat seketika.

Sebenarnya jauh sebelum Brooke memerangi Iban di De Boven Kapoeas, Koloni Belanda juga turut berbuat demikian iaitu pada tahun 1870an hingga 1880an. Beberapa ekspedisi Belanda juga turut memerangi masyarakat Iban di wilayah ini dan yang paling maha hebat pertempurannya adalah yang berlaku di Batu Bangkai (Niclou 1887, 50). Pertempuran etnik Iban di sebelah wilayah Koloni Belanda ini dikatakan turut disertai oleh etnik Iban di sebelah sempadan Sarawak yang membuatkan Koloni Belanda terpaksa berundur bagi mencari formula yang terbaik untuk memerangi masyarakat Iban di wilayah ini.

Menurut catatan Sarawak Gazette 1895 yang dikeluarkan oleh Sarawak Kingdom ada menyatakan bagaimana dilemma yang dihadapi oleh kedua-dua kerajaan ini di dalam menghentikan kegiatan penentangan yang ditunjang oleh “Dayak Merdeka” di De Boven Kapoeas ini. Dan ini ada kena mengena dengan penentangan Bantin salah seorang pahlawan Iban yang sememangnya tidak menerima apa sahaja bentuk pentadbiran Brooke pada masa itu. Beliau dikatakan telah mempergiatkan aktivitinya di wilayah De Boven Kapoes. Pada tahun 1902, tidak tertahan dengan Bantin, Brooke juga turut memerangi sekali lagi iban di wilayah ini tetapi terpaksa berundur kerana wabak taun menyerang anggota tentera Sarawak Kingdom yang dikatakan hampir 10,000 orang kekuatannya.

Akhirnya pada tahun 1917, setelah beberapa kali mencari titik perdamaian antara Brooke dan Belanda dengan masyarakat Iban di De Boven Kapoeas telah ada sinar untuk menjadikan wilayah ini sebagai salah satu wilayah yang aman damai dan bukannya satu wilayah untuk menjadi pusat untuk memerangi kedua-dua pemerintah Eropah di Borneo pada waktu itu. Malah Bantin sendiri turut sama-sama memainkan peranan bagi meredakan penentangan “Dayak Merdeka” di wilayah sempadan ini. Menurut perjanjian itu juga masyarakat Iban di wilayah sempadan De Boven Kapoeas adalah pengawal kepada wilayah ini daripada sebarang bentuk pencerobohan. Mereka dikatakan merupakan “tentera sempadan” yang dihormati dan mempunyai sistem pemerintahan sendiri atau di dalam maksud moden sekarang “kuasa autonomi”.

Sejarah mengenai “Dayak Merdeka” De Boven Kapoeas ini menyaksikan hampir 17 ekspedisi perang dijalankan oleh Brooke dan Belanda untuk memerangi mereka. Ramai nyawa-nyawa pahlawan Iban yang tinggal di sempadan ini gugur di medan perang bagi menyatakan hak mereka untuk memastikan wilayah mereka merdeka daripada sebarang bentuk pemerintahan bangsa Eropah pada masa itu. Malah di ketika era Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1962-1965 juga menyaksikan wilayah ini turut dijadikan antara tempat yang berlaku banyak pertempuran namun begitu Sarawak Ranger mahupun “Penjejak Iban” antara mereka yang menjadi barisan harapan untuk memastikan kedaulatan Sarawak, Malaysia terjaga.

Inilah sekelumit informasi sejarah mengenai satu wilayah yang dikenali sebagai De Boven Kapoeas yang pada asalnya satu wilayah yang menghimpunkan “Dayak Merdeka” iaitu Iban yang tidak mahu menerima pemerintahan mana-mana pihak baik Brunei mahupun Brooke serta Belanda. Akhirnya mereka mempunyai kuasa autonomi kecil wilayah kecil ini bagi memastikan Sarawak dibawah Brooke dan Kalimantan dibawah Belanda aman damai suatu waktu dahulu.

Agi Idup Agi Ngelaban.


-HB-



Rujukan:


1. Author: Baring-Gould, S. (Sabine), 1834-1924; Bampfylde, Charles Agar, 1856-A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908

2. Author: Benedict Sandin,; - The Sea Dayaks of Borneo: Before White Rajah Rule

3. Author: Michael Eilenberg; - Evading Colonial Authority. Rebels and Outlaws in the Borderlands of Dutch West Borneo 1850s–1920s

4. Author: Read L. Wadley & Michael Eilenberg; - Vigilantes and Gangsters in the Borderland of West Kalimantan, Indonesia



bottom of page