top of page

FROM BEKENU WITH LOVE


FROM BEKENU WITH LOVE


Bekenu atau ada yang memanggilnya Bakenu merupakan satu pekan kecil yang terletak tidak jauh dari Miri, Sarawak. Satu pekan kecil yang sebenarnya menyimpan seribu rahsia sejarah yang jarang-jarang kita dengar buat pengetahuan umum. Pekan Bekenu rata-ratanya didiami oleh etnik Badami (Bakong/Dalek/Miriek), etnik Kedayan dan juga masyarakat Cina Sarawak.


Mungkin ramai generasi muda Bekenu tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu iaitu diperkira pada tahun 1962 pernah satu ketika Bekenu hampir menjadi seperti lautan kerana ditimpa bencana banjir yang paling teruk di dalam sejarahnya. Pada ketika itu juga dikatakan rumah-rumah kedai di Bekenu Bazaar yang wujud sejak di tahun 1930an lagi telah dinaiki air sehingga ke tingkat 1 yang membuatkan bot-bot nelayan Bekenu menghulurkan bantuan memindahkan mereka yang terperangkap untuk ke tempat yang lebih tinggi.


Terdapat 2 versi cerita bagaimana Bekenu mendapat nama dan kedua-duanya adalah berdasarkan kepada cerita lisan orang-orang tua di Bekenu. Tiada sumber yang berbentuk dokumen bagi membenarkan kesahihan ceritanya setakat ini.


Versi Pertama: Menurut cerita oral ini nama Bekenu sebenarnya diambil dari bahasa orang Badami iaitu “Kenu” yang bermaksud “di tengah-tengah”. Makna perkataan di tengah-tengah itu merujuk kepada satu lokasi anak sungai cabang kepada Sungai Sibuti dan di lokasi inilah Bekenu itu wujud sekarang.


Versi Kedua: Ianya pula merujuk kepada nama seorang penduduk terawal yang mendiami Bekenu suatu masa dahulu yang bernama “Anu”. Anu diceritakan sebagai seorang pemuda tempatan yang sangat rajin dan pakar di dalam ilmu menangkap ikan menggunakan bubu dan juga menangkap ikan di lautan dengan menggunakan perahu kecilnya.


Amat jarang si Anu ini pulang dengan tangan kosong dan kerana itulah masyarakat tempatan seringkali berkata “Bakayuh Anu” bermaksud Anu sudah turun berkayuh sampannya untuk menangkap ikan dan lama kelamaan Bakayuh Anu menjadi singkatan kepada Bakanu mengikut pelat penduduk tempatan apabila merujuk kepada satu tempat yang tidak bernama pada waktu itu.


Masyarakat terawal yang menerokai bumi Bekenu menurut penceritaan sejarahnya adalah dari kalangan orang Badami iaitu campuran kepada 3 sub-etnik Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu Bakong, Dalek dan Miriek yang telah menerokai wilayah Bekenu sejak di kurun ke-17 Masihi lagi.


Ianya tidak boleh dinafikan sama sekali kerana wilayah sekitar Marudi, Baram, Bekenu, Sibuti merupakan tanah awal penerokaan Orang Ulu sejak berabad lamanya. Mereka yang pada mulanya melakukan penghijrahan dari Apau Kayan telah memasuki wilayah ini demi untuk survival etnik dari perang memburu kepala serta mencari tanah pamah yang subur untuk bercucuk tanam.


Selain daripada itu, satu perkuburan lama pernah dijumpai bersebelahan dengan Sungai Uban yang menyaksikan artifak tempayan, tembikar serta kerangka manusia dan juga batu nisan lama merujuk kepada kekayaan etnik Badami suatu waktu dahulu yang masih beragama pagan atau animisme.


Dan di dalam sejarah juga menyaksikan bagaimana pemimpin Badami iaitu Orang Kaya Jalong pada tahun 1876 telah berpihak kepada “King of the upriver” Raja Aban Jau dari Tinjar untuk memerangi masyarakat Kedayan dibawah pimpinan Orang Kaya Ladong dan juga Pengiran Sulaiman Damit di Sibuti. Namun perang itu dapat diatasi dengan pendamaian apabila adanya campurtangan daripada James Brooke pada masa itu.


Untuk masyarakat Kedayan Bekenu pula dikatakan mula melakukan penghijrahan di Bekenu sekitar tahun 1800an. Pada ketika itu dikatakan orang Kedayan yang pertama membuka sawah untuk menanam padi di Kampung Bungai iaitu satu perkampungan Kedayan tertua di Bekenu adalah Haji Abdul Ghafar bin Nayan. Dari Brunei dan melalui Sibuti beliau berdayung sampan sehingga ke Bekenu dan akhirnya membuat penempatan etnik Kedayan di situ.


Kedatangan etnik Kedayan yang sudah beragama Islam telah mewarnai corak penghidupan di Bekenu sehingga membawa kepada ramainya etnik-etnik Badami itu yang beragama pagan pada asalnya akhirnya memeluk Islam. Selain daripada itu perkuburan lama di Kampung Bungai yang mana batu-batu nisannya di dalam tulisan jawi membenarkan bahawa etnik Kedayan sudahpun ada di Bekenu sejak diawal kurun 18 Masihi lagi.

Untuk masyarakat Cina di Bekenu pula dikaitkan dengan polisi Brooke suatu waktu dahulu iaitu mengalu-alukan kedatangan masyarakat Cina dari Tembok Besar China untuk melabur di Sarawak Kingdom. Dan ianya dipertingkatkan ketika pemerintahan Rajah Charles Brooke. Untuk di Bekenu ini rata-rata masyarakat China adalah dibawah pimpinan Kapitan Sim Yaw Khung yang dilantik oleh Brooke untuk mengetuai masyarakat Cina di Sibuti dan Bekenu pada tahun 1892.


Dan tidaklah lengkap membuat penceritaan Bekenu jika tidak menyelitkan sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan dari etnik Kedayan yang bangun menentang Koloni British ketika ura-ura pembentukan Gagasan Malaysia 1962. Pada tanggal 14hb Disember 1962, tercalit sejarah di bumi Bekenu apabila seramai lebih kurang 600 orang pejuang dari etnik Kedayan telah menentang penjajahan Koloni British Borneo.


Mereka bangun menentang dengan menggunakan apa sahaja senjata yang ada dengan semangat ingin membebaskan diri dari belenggu penjajah. Namun kekuatan senjata mereka tidak dapat menandingi kekuatan British sehinggalah ramai yang tertangkap dan dipenjarakan. Bahkan ada 5 orang pejuang etnik Kedayan iaitu Tani Ibrahim, Sail Suai, Tudin Naim, Ali Jumat dan Tamin Amin gugur sebagai pejuang Sarawak dan mereka disemadikan di satu liang lahad di Makam Pejuang Kemerdekaan, Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Satap, Bekenu.


Inilah sekelumit perkongsian sejarah di dalam kita cuba mengwar-warkan pautan Bekenu sebagai salah satu wilayah kecil yang berada di Sarawak. Satu daerah kecil yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri baik dari segi masyarakatnya, budayanya, adat resamnya dan juga sejarahnya.


Selain itu, Bekenu juga mempunyai banyak potensi untuk dijadikan antara produk pelancongan di Sarawak kerana mempunyai keindahan alam yang cantik contohnya Pantai Bungai.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


bottom of page