top of page

ORANG BUGIS, SARAWAK, BORNEO


ORANG BUGIS, SARAWAK, BORNEO

Jika ada Orang Jawa mesti ada Orang Bugis kerana mereka sering tinggal dekat-dekat di dalam satu komuniti. Itulah yang sering diperkatakan apabila membuat carian tentang satu lagi masyarakat minoriti dari alam Melayu di Sarawak iaitu Orang Bugis Sarawak. Sudah tentu ramai yang tidak mengetahui bahawa Orang Bugis sebenarnya adalah sebahagian daripada pembentuk masyarakat orang Sarawak yang berbilang bangsa di Sarawak Bumi Kenyalang.

Sesuai dengan pensejarahan mereka suatu waktu dahulu, Orang Bugis di Sarawak ramai mendiami kawasan pesisir pantai iaitu di mana jumlah populasi Melayu Sarawak tinggal seperti di muara Batang Sadong, Samarahan seperti di Kampung Jemukan, Batang Lupar di Sri Aman serta Rajang. Oleh kerana mereka tinggal di dalam komuniti Melayu Sarawak maka mereka juga sehingga sekarang lebih mengasimilasi adat budaya Melayu Sarawak mahupun bahasanya. Oleh kerana itulah agak sukar membezakan Orang Bugis dengan Melayu Sarawak itu sendiri.

Dari segi bahasa pula, jika Bugis Johor masih lagi mempertahankan bahasa mengikut bahasa di tanah asal mereka iaitu dari Kepulauan Sulawesi namun begitu untuk Orang Bugis di Sarawak pula dikatakan bahasa bugis atau basa Ugi sudah tidak dipraktikkan lagi. Setakat ini tidaklah diketahui samada masih atau tidak basa ugi menjadi bahasa komunikasi Orang Bugis Sarawak kerana ramai yang mengatakan bahawa mereka lebih selesa untuk berbahasa Melayu Sarawak di dalam penghidupan mereka seharian.

Apabila kita berbicara asal keturunan Orang Bugis sudah semestinya ramai yang melabelkan mereka sebagai lanun dan sebagainya yang mana ianya adalah satu hal yang telah diwarnai oleh cerita-cerita bangsa Eropah dahulukala. Hakikatnya Orang Bugis juga terkenal sebagai bangsa yang mengembara, berdagang dan merantau. Malah belayar atau tradisi “sompe” merupakan salah satu tradisi mereka yang mana membelah lautan luas merupakan satu amalan untuk mencari kesejahteraan dan kekayaan telah lama diamalkan berkurun lamanya.

Untuk konteks Orang Bugis Sarawak juga tidak terkecuali kerana di dalam konteks mengembara inilah menyebabkan mereka bertebaran di Sarawak. Suatu waktu dahulu sejak berdirinya kerajaan-kerajaan Melayu kuno di Sarawak seperti Kerajaan Negeri Samarahan, Kerajaan Negeri Kalaka, Kerajaan Negeri Sadong dan Kerajaan Negeri Saribas, orang Bugis sudahpun ada samada datang untuk berdagang dan merantau di negeri-negeri Melayu bebas yang terletak di persisiran pantai ini. Dan tidaklah menghairankan mengapa sehingga sekarang ramai Orang Bugis masih lagi mendiami wilayah-wilayah perkampungan Melayu yang sebenarnya merupakan wilayah-wilayah di mana kerajaan Melayu kuno yang hilang ini pernah gah suatu waktu dahulu.

Selain daripada itu ada juga teori penghijrahan Orang Bugis ke Sarawak juga berlaku ketika Sarawak di bawah pemerintahan 100 tahun Dinasti keluarga Brooke. Pada ketika Sarawak Kingdom sedang berkembang dengan banyak industri dikatakan Rajah Charles Brooke juga turut meminta Belanda untuk membekalkan tenaga kerja dari kalangan tanah jajahannya untuk menjadi tenaga buruh di Sarawak pada masa itu. Dan agensi pekerjaan Belanda turut sama membawa masuk buruh Bugis bersama-sama dengan buruh Orang Jawa. Namun begitu tenaga buruh Orang Bugis adalah sedikit jumlahnya jika dibandingkan dengan tenaga Orang Jawa yang datang ke Sarawak.

Walaupun dikatakan Orang Bugis Sarawak sudah hilang banyak jatidiri Bugisnya namun begitu sesuatu yang masih dipraktikkan yang juga “trademark” Bugis itu sendiri adalah melalui pemakanan serta beberapa adat yang masih dilestarikan. Contohnya orang Bugis Sarawak masih lagi sentiasa menyediakan “Buras” atau “Burasak” iaitu sejenis makanan mengkhusus yang dikenali di kalangan masyarakat Bugis seantero alam Melayu. Masakan bugis yang berasaskan beras dan santan yang kemudiannya dibungkus di dalam daun pisang lalu diikat dan direbus selama lebih kurang 6-8 jam merupakan antara masakan yang tradisi ketika waktu perayaan seperti Hariraya Aidilfitri mahupun Hariraya Haji.

Selain daripada itu walaupun penghidupan sudah diasimilasikan mengikut budaya dan adat resam Melayu Sarawak, ada sesetengah tradisi busana masih dipraktikkan iaitu busana baju Bodo iaitu salah satu busana tradisi masyarakat Bugis dari Sulawesi masih utuh digunapakai. Cuma yang membezakan adalah pemakaian busana Baju Bodo ini diperagakan oleh setiap wanita Bugis ketika adanya majlis perkahwinan bagi melambangkan status keluarga di Sulawesi tetapi di Sarawak, hanya pengantin Orang Bugis yang menggunakannya untuk acara adat Melayu Sarawak seperti adat Belulut mahupun Berinai.

Inilah sekelumit pencerahan mengenai keberadaan Orang Bugis di Sarawak yang sudah tentu menjadi satu tanda tanya kepada ramai rakyat Malaysia. Orang Bugis ada di Sarawak tetapi di dalam jumlah yang sedikit. Asal keturunan mereka juga dari Sulawesi suatu waktu dahulu namun sekarang sudah menjadi salah satu pembentuk masyarakat Melayu Sarawak.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.



Rujukan:


1. Sejarah Kedatangan Masyarakat Bugis Ke Alam Melayu

http://journalarticle.ukm.my/359/1/1.pdf

2. Bugis Bukan Lanun – Sinar Harian 29 Oktober 2013

3. Burasak Makanan Warisan Bugis

http://thesarawakpost.blogspot.my/2014/10/burasak-makanan-warisan-bugis.html

4. Pengantin Sarawak Mengamalkan Tradisi Perkahwinan Bugis

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Komuniti_Kita&pg=kk_03.htm

bottom of page