PANAS, BARJASA, BUMIPUTERA & PESAKA
PANAS, BARJASA, BUMIPUTERA DAN PESAKA
Realitinya di dalam lipatan sejarah dunia politik tempatan Sarawak sekarang, keempat-empat nama singkatan parti politik ini iaitu PANAS, BARJASA, BUMIPUTERA DAN PESAKA sudah tiada lagi. Tetapi secara relatifnya, keempat-empat parti politik ini juga mempunyai signifikasi bersejarah yang mewarnai dunia parti politik tempatan Sarawak sekarang.
Dan sebagai parti politik “lama” sudah tentu sejarahnya tidak begitu diketahui umum namun visi dan misi mereka ditubuhkan juga mempunyai induk yang sama iaitu untuk melindungi, memelihara dan memajukan kepentingan politik, pendidikan, agama, ekonomi dan sosio-budaya rakyat Sarawak.
Empat parti politik yang dimaksudkan adalah:
i. Parti Negara Sarawak (PANAS)
ii. Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA)
iii. Parti Bumiputera (BUMIPUTERA)
iv. Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA)
1. Parti Negara Sarawak
Singkatan namanya adalah PANAS atau National Party of Sarawak merupakan parti politik tempatan yang ditubuhkan pada tanggal 9hb April 1960. Pengasasnya adalah salah seorang Negarawan Sarawak iaitu Dato Bandar Abang Haji Mustapha bin Datu Hakim Abang Moasili.
Penubuhannya bagi menghadapi pilihanraya majlis berkuasa tempatan dan daerah yang mana pada masa itu Sarawak masih lagi menjadi salah satu tanah jajahan Koloni British Borneo. Ketika di kemuncak kecemerlangannya, PANAS mempunyai lebih kurang 63 ribu ahli berdaftar dengan 65 buah cawangan di seluruh Sarawak pada masa itu. Ahlinya pula terdiri daripada pelbagai bilang bangsa dari etnik bumiputera Sarawak sehinggalah ke kaum Cina Sarawak.
Pada tanggal 28 Mac 1968 akhirnya PANAS dibubarkan bagi membentuk satu parti gabungan yang bernama Parti Bumiputera.
2. Barisan Rakyat Jati Sarawak
Nama singkatannya BARJASA atau Sarawak Native People’s Front juga merupakan parti politik tempatan yang ditubuhkan pada Disember 1961. Diketuai oleh salah seorang mantan Gabenor Ke-2 Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Tan Sri Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman
Di awal penubuhannya, BARJASA mendapat sokongan padu daripada kaum Melayu dan Melanau yang berpendidikan tinggi pada waktu itu. Dan ianya merupakan parti alternatif yang mendapat sokongan padu daripada mereka yang beragama Islam lebih-lebih lagi di kawasan pilihanraya Simanggang dan Sibu.
Dibubarkan pada tanggal 28 Mac 1968 bagi membentuk satu parti gabungan yang dinamakan Parti Bumiputera.
3. Parti Bumiputera
Bumiputera merupakan parti politik tempatan yang dibentuk hasil pergabungan 2 entiti parti politik iaitu Barisan Parti Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan juga Parti Negara Sarawak (PANAS). Setelah kedua-dua parti tersebut dibubarkan pada 28 Mac 1968 dan pada hari itu juga lahirnya Parti Bumiputera.
Sebagai satu entiti parti politik tempatan pada masa itu misi dan visinya tetap sama iaitu segalanya demi rakyat Sarawak dan Sarawak itu sendiri pada masa itu. Antara nama besar yang menjadi tulang belakang parti ini adalah Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud.
Pada tanggal 30 April 1973 ianya telah dibubarkan.
4. Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA)
Dengan nama singkatannya PAPAS atau yang lebih popular PESAKA adalah merujuk kepada satu lagi parti tempatan Sarawak yang dikenali dengan nama Parti Pesaka Anak Sarawak atau Sarawak Native’s Heritage Party. Ianya merupakan parti politik kedua untuk etnik Dayak Sarawak selepas Parti Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Party (SNAP).
Idea penubuhan untuk Pesaka yang didaftarkan pada Julai 1962 adalah hasil cetusan idea seorang pembantu perubatan yang bekerja di Brunei iaitu Thomas Kana. Menjelang Ogos 1962, ternyata Pesaka mendapat tempat di hati masyarakat Dayak di Sibu, Batang Rajang, Saribas dan banyak lagi.
Bertindak daripada itu, maka ramailah pemimpin Dayak yang turut menyahut seruan anak buahnya untuk bergabung dibawah Pesaka dan antaranya adalah Temenggung Tun Jugah dan Oyong Lawai Jau yang meninggalkan PANAS. Pesaka juga turut mendapat sokongan daripada Penghulu Tawi Sli dari Simanggang dan Penghulu Abok Anak Jalin dari Bintulu.
Apabila ramai kaum Dayak bergabung di dalam PESAKA akhirnya parti ini juga antara parti politik tempatan yang disegani. Setelah beberapa ketika di dalam politik Sarawak pada 30 April 1973, ianya telah dibubarkan bagi memberi ruang kepada parti yang lebih dominan dibentuk.
Menyelusuri sejarah 4 parti politik tempatan ini mungkin kita merasakan bahawa parti ini hanya tinggal sejarah. Tetapi hakikatnya misi dan visi serta perjuangan parti politik ini MASIH ADA apabila pada 30 April 1973 itu juga merupakan terbitnya satu parti politik yang dominan di Sarawak sehingga sekarang.
Ini kerana pembubaran dua parti iaitu Bumiputera dan Pesaka adalah untuk membentuk satu parti yang dikenali ramai iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak atau dikenali dengan singkatannya PBB.
Inilah sekelumit sumber informasi di dalam kita cuba menjejaki di sebalik nama-nama parti politik yang suatu waktu dahulu mewarnai lanskap politik Sarawak. Sudah tentu artikel ini bukan untuk kita jadikan landasan politik sebaliknya untuk kita mengetahui sejarahnya.