PISANG MERAH @ RED BANANA
PISANG MERAH @ RED BANANA
Melihat teaser artikel sahaja boleh menyebabkan kita kehairanan kerana amat jarang kita melihat adanya buah pisang yang berwarna kemerah-merahan seperti yang ditunjukkan. Bukan gambar edit tapi itulah sejenis pisang yang banyak terdapat di seluruh Asia Tenggara. Dan yang lebih membuatkan ianya istimewa di Pulau Borneo, ianya dikatakan hidup tumbuh meliar di dalam hutannya.
Dengan nama botaninya Musa Acuminata merupakan sejenis pisang yang kulitnya berwarna kemerah-merahan tetapi isinya tetap putih atau sekali sekala akan didapati berwarna merah jambu. Ada banyak nama di dalam memperkatakan jenis pisang ini, di Semenanjung Malaysia ada yang memanggilnya Pisang Raja Udang dan di Sabah dikenali dengan nama Pisang Tembaga manakala di Sarawak pula dinamakan Pisang Merah.
Di wilayah Republik Indonesia pula dikenali dengan nama Pisang Merah Susu atau Pisang Geriwolo. Jika di Negara-negara Asia Tenggara juga tidak kurang hebatnya kemasyuran pisang ini seperti di Thailand “Kluay Nak”, Burma “Shwe Nget Pyaw” dan Filipina “Morado”. Walau apa jua nama gelarannya sesuatu yang pasti, pisang merah ini seperti juga pisang yang biasa kita makan juga turut didambakan dengan jantung pisangnya yang mempunyai beberapa khasiat tertentu selain isinya oleh kebanyakan masyarakat di seluruh Asia Tenggara.
Di sebalik warnanya yang unik ini, hakikatnya jenis pisang merah sebenarnya mempunyai cerita mitos dan legendanya yang tersendiri. Dikatakan ramai masyarakat Melayu di bumi Semenanjung Malaysia sehingga ke hari ini masih lagi dibuai dengan mitosnya sehingga ada sesetengahnya yang melarang sama sekali generasi mereka untuk memakan pisang merah ini sebagai salah satu menu santapan. Mitos dan legenda ini dikatakan termaktub untuk keturunan “Rawa” iaitu merujuk kepada golongan Melayu yang mempunyai darah bangsawan.
Diceritakan suatu waktu dahulu ketika gah dengan kerajaan-kerajaan kesultanan Melayu di Tanah Melayu pernah ada seorang putera raja yang tercedera di medan peperangan. Ianya merupakan satu perang untuk merebut kuasa pemerintahan dan juga memperluaskan tanah jajahan. Apabila ada peperangan sudah tentu ramai yang tercedera dan tidak terkecuali kepada putera raja tersebut yang cedera parah akibat bertingkah dengan musuhnya.
Hendak dijadikan cerita, putera raja itu berjaya melepaskan diri dari kepungan musuhnya dan di dalam keadaaan cedera parah telah berjaya berundur agak jauh dari lokasi mereka bertempur. Putera raja ini dikatakan sempat berteduh di bawah sepohon pisang sebelum dia jatuh pengsan. Di dalam antara dunia realiti dan khayalan inilah dikatakan bahawa putera raja itu didatangi oleh seorang puteri yang cantik rupa parasnya dan puteri inilah yang merawat putera raja dengan menggunakan daun pisang tersebut.
Apabila sedar putera raja mendapati bahawa dirinya hampir pulih dari kecederaan dan dikala itulah dirinya melihat bagaimana pohon pisang tempat dia berehat itu telah bertukar menjadi warna merah setandan pisangnya. Di kala itu seperti ada satu gemersikan di telinganya yang mengatakan bahawa puteri jelmaan pisang merah telah membantunya sewaktu cedera parah. Kerana terhutang budi, putera raja telah bersumpah agar seluruh keturunannya tidak ada sesiapapun dibenarkan untuk memakan mahupun menebang pokok pisang raja udang atau pisang merah ini.
Itulah mitos dan legenda “Pisang Raja Udang” di kalangan golongan “Rawa” di Semenanjung Malaysia sehingga ramai yang tidak memakannya kerana dikatakan jelmaan puteri bunian. Namun untuk di Borneo misalnya pisang merah ini sentiasa mempunyai nilai-nilai yang tertentu kerana keunikan dan juga khasiatnya. Pisang merah sebenarnya kaya dengan bahan Beta Carotene dan juga Vitamin C berbanding dengan pisang kuning yang biasa. Ini tidak terkecuali dengan zat besi dan potassium yang mana semakin merah warnanya semakin tinggi zatnya.
Kekayaan vitamin dan zat-zat ini menurut ilmu perubatan telah disahkan boleh mencegah penebalan arteri serta melindungi tubuh badan manusia daripada penyakit jantung. Ianya juga amat bermanafaat untuk sistem imunisasi tubuh manusia. Dengan memakan isinya sahaja juga dipercayai boleh mempertingkatkan tenaga dalaman manusia bagi mengelak kita cepat letih dan tidak bersemangat untuk membuat sesuatu kerja.
Inilah pisang merah atau pisang raja udang yang mempunyai ceritanya tersendiri sehingga diwarnai dengan mitos dan legenda. Ternyata disebalik warna yang mungkin menggerunkan sesiapa yang melihatnya tersimpan seribu khasiat untuk kesihatan manusia.