AIR TERJUN JANGKAR, LUNDU, KUCHING
AIR TERJUN JANGKAR, LUNDU, KUCHING
Daerah kecil Lundu merupakan salah satu daerah di dalam Bahagian Kuching, Sarawak yang mempunyai banyak keindahan alam semulajadi yang terkenal seantero Malaysia. Di Lundu seperti pantai Sematan sememangnya antara kawasan tarikan pelancong yang sentiasa mengamit warga tempatan sekitar Kuching untuk menghabiskan hujung minggu bersama keluarga.
Air Terjun Jangkar itulah nama satu kawasan air terjun yang sebenarnya tidak begitu dikenali oleh rakyat Sarawak. Lokasinya terletak berdekatan dengan Kampung Jantan tidak jauh dari kawasan Sematan. Untuk ke kawasan ini sahaja begitu mudah kerana adanya jalinan jalanraya yang boleh terus sampai ke kawasan air terjun ini untuk melakukan rekreasi mandi manda dan sebagainya.
Selain keindahan panorama dan juga kekayaan flora dan fauna di kawasan sekitar air terjun ini yang dikatakan terdapat beberapa spesis bunga-bungaan hutan yang jarang didapati di kawasan lain, disini juga menyaksikan keunikan batuan air terjunnya. Air terjun Jangkar ini sendiri dikatakan ketinggiannya sama seperti bangunan 3 tingkat. Dan oleh kerana itulah di setiap aras air terjunnya mempunyai pembentukan kolam air mandi semulajadi tersendiri yang menjadi tarikan untuk sesiapa sahaja yang mengemari mandi air sejuk yang menyegarkan.
Namun begitu didalam keseronokan bermandi-mandi di air terjun ini adalah tidak digalakkan untuk mandi di kawasan yang mempunyai kedalaman yang tinggi memandangkan ianya agak merbahaya. Ini kerana umum mengetahui walau dimana sahaja adanya lokasi air terjun di dunia sudah tentu di lokasi inilah sering berlaku arus dalaman air yang terlalu deras sehingga boleh membahayakan sesiapa yang berenang.
Walaupun kawasan air terjun Jangkar ini tidaklah sepopular air terjun yang terdapat di Kuching namun begitu untuk kawasan air terjun Jangkar ini sentiasa dijaga tahap kebersihannya serta keunikannya. Ini kerana sejak diawal eksplorasi penemuannya sudah menjadi tanggungjawab kepada penduduk di Kampung Jantan untuk mengekalkan ianya sentiasa dipulihara. Dan kerana itulah penduduk kampung telah menubuhkan Koperasi Jangkar Jantan Lundu Berhad untuk mengurus setia kawasan air terjun ini.
Dan sekiranya mana-mana yang berminat untuk mandi manda serta membuat rekreasi hiking di kawasan ini adalah diminta untuk membuat pendaftaran di koperasi di Kampung Jantan. Malah jika ingin menggunakan khidmat “local tour” juga disediakan dengan sedikit upah yang berpatutan. Semuanya dilakukan agar tahap keselamatan di kawasan air terjun ini sentiasa diutamakan bagi mengelak hal yang tidak diingini.
Jadi pada mana-mana pelancong tempatan mahupun luar Negara yang ingin merasai dan mencari kedamaian jauh dari hiruk pikuk kota bolehlah mula mencongak percutian membawa keluarga ke kawasan ini. Inilah antara produk pelancongan setempat yang sudah semestinya tidak begitu diketahui umum kewujudannya.
Lan Berambeh Ke Sarawak!