top of page

PENGAKAP SEMPADAN SARAWAK, 1964


PENGAKAP SEMPADAN SARAWAK, 1964


Sarawak Rangers penubuhannya adalah di era Sarawak dibawah pemerintahan keluarga Brooke dan kemudiannya Iban Trackers yang ditubuhkan ketika Sarawak dibawah Koloni British Borneo lagi. Dan perkhidmatan mereka dituntut sehingga ke bumi Malaya walaupun pada ketika itu, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Malaya belum lagi membentuk Malaysia. Namun atas dasar diperintah oleh Koloni British pada masa itu maka kesemua “bujang berani” kita ini telah mencurahkan kudrat untuk keamanan di bumi Malaya pada ketika itu.


Itu sejarah Sarawak Rangers mahupun Iban Trackers yang sudah terkenal seantero dunia yang berkait rapat dengan rakyat Sarawak yang kemudiannya diserapkan menjadi rejimen Tentera Darat Diraja Malaysia apabila Malaysia terbentuk. Namun begitu mungkin pensejarahan satu lagi pasukan keselamatan yang dikenali sebagai Pengakap Sempadan Sarawak atau di dalam bahasa Inggeris The Sarawak Border Scouts ini tidak begitu diketahui oleh masyarakat Sarawak sendiri.


Pengakap Sempadan Sarawak merupakan salah satu daripada pasukan yang telah ditubuhkan melalui persefahaman di antara Kerajaan Negara Komanwel yang didokongi oleh British serta Kerajaan Malaysia yang baru sahaja dibentuk. Pengakap Sempadan Sarawak ini merupakan antara yang paling banyak memainkan peranan menjadi agen penghubung antara pasukan keselamatan Malaysia dan juga tentera Negara Komanwel bagi menghadapi Konfrantasi Malaysia-Indonesia yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga 1966.


Walaupun pada masa itu terdapat ramai Sarawak Rangers dan Iban Trackers yang sudah diserapkan menjadi anggota tentera Malaysia namun begitu ianya masih tidak cukup lebih-lebih lagi di kawasan sempadan baik Sabah dan Sarawak yang mudah dibolosi oleh gerila-gerila dari Kalimantan. Maka sekitar tahun 1964 bagi memperkuatkan satu operasi sulit di Borneo yang tidak diwar-warkan iaitu Operasi Claret maka seramai 1,500 orang daripada etnik Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit serta banyak lagi etnik di Sarawak diambil untuk menganggotai Pengakap Sempadan. Bagi etnik-etnik di Sarawak mereka digelar Pasukan Pengakap Sempadan Sarawak. Dan untuk etnik di Sabah pula dikenali sebagai Pasukan Pengakap Sempadan Sabah.


Sekitar Jun 1964, kesemua yang terpilih dari Bahagian Pertama (Kuching) dan Bahagian Kedua (Simanggang) telah mula menjalani latihan separa ketenteraan dibawah kawal selia Special Air Service Regiment (SAS) dan Gurkha Independent Parachute Company. Di bawah latihan separa ketenteraan ini anggota Pengakap Sempadan Sarawak telah diberikan pendedahan tentang tugas-tugas ketenteraan serta penggunaan senjata api yang betul.


Setelah hampir 3 bulan menjalani latihan separa ketenteraan barulah anggota Pengakap Sempadan ini mengikuti segala operasi-operasi sulit di sempadan Sarawak/Indonesia yang dikenali sebagai Operasi Claret. Oleh kerana kebanyakan daripada mereka diambil dari kawasan yang terlibat dengan konfrantasi maka merekalah pakar di dalam segala selok-belok kawasan mereka yang banyak membantu segala pertempuran di dalam hutan berdekatan sempadan.


Oleh kerana mereka mempunyai kefahaman berbahasa dan mengenal adat resam penduduk tempatan jadi merekalah mata dan telinga bagi setiap kejayaan di dalam Operasi Claret yang berlaku sehingga di luar perbatasan Sarawak mahupun Sabah bersama-sama dengan “joint army” Negara-negara Komanwel pada masa itu.


Walaupun Konfrantasi Malaysia-Indonesia tamat pada tahun 1966 namun begitu kewujudan Pengakap Sempadan ini terus dituntut bagi menjaga keselamatan Sarawak dan Sabah daripada dibolosi. Pada ketika ini mereka menjadi antara salah satu pembentuk Rejang Area Security Command (Rascom) Special Branch Unit. Dan diketika darurat komunis berlangsung di Sarawak juga, Pengakap Sempadan ini turut memainkan peranan mereka menjadi mata dan telinga polis untuk memastikan pihak komunis dari Kalimantan Utara menyusup masuk ke Sarawak serta mengucar kacirkan penghidupan rakyat serta menyerang hendap balai-balai polis dan anggota keselamatan yang lain.


Dan tiada yang boleh menafikan sumbangan anggota Pasukan Pengakap Sempadan Sarawak ini apabila di ketika era darurat komunis di Sarawak iaitu pada tanggal 20 June 1973, bagaimana sepasukan pengakap sempadan yang diketuai oleh ASP Wilfred Gomez Malong bersama-sama dengan 10 anggota pengakap sempadan telah menyerang hendap kawasan komunis di Sungai Bilat di Nanga Poi, Kanowit. Pada ketika itu mereka berjaya membunuh dan juga menangkap kira-kira 16 anggota komunis serta berjaya merampas pelbagai senjata api pihak komunis.


Hakikat pasukan Pengakap Sempadan Sarawak banyak menabur jasa kepada keamanan Sarawak baik sewaktu era konfrantasi sehinggalah ketika darurat komunis berlaku di Sarawak suatu waktu dahulu. Pada tahun 1994, RASCOM telah dibubarkan dan Pengakap Sempadan Sarawak turut dibubarkan bersama dan segala hal persempadan pada masa itu adalah dibawah bidang tugas pasukan infantri Malaysia sehingga sekarang.


Namun begitu, baru-baru ini telah ada ura-ura dari Kerajaan Malaysia untuk mengwujudkannya kembali berdasarkan kepada keupayaan sejarah anak watan Sarawak untuk menjaga kedaulatan sempadan Sarawak sendiri. Dikatakan ianya nanti akan dikenali sebagai Briged Sempadan yang juga mempunyai bidang kuasa tugas yang sama seperti Pengakap Sempadan Sarawak suatu waktu dahulu dan keanggotaannya dikhaskan hanya untuk anak Sarawak.




Rujukan:


1. The Border Scouts In Borneo, 1964

http://www.paradata.org.uk/articles/border-scouts-borneo-1964

2. SAS Borneo – Where In This World

http://wingedsoldiers.co.uk/sas-borneo/

3. Recognising Rascom Roles

http://www.newsarawaktribune.com/news/6699/Recognising-Rascoms-roles/





bottom of page