LEGENDA PUTERI BETUNG
LEGENDA PUTERI BETUNG DAN SI KERBAU PUTIH
Legenda Buluh Betong sudah tentu ramai yang mengetahuinya kerana ianya sudah difilemkan dan berkisar kepada anak yang ditemui di dalam buluh betong. Di Borneo juga tidak kurang popularnya legenda ini namun nun jauh di kalangan masyarakat Dayak Kenyah di Kalimantan Timur mempunyai legenda tersendiri apabila berkata tentang menemui anak di dalam buluh betung. Cuma berbezanya anak yang ditemui ini merupakan seorang anak perempuan dan ruas buluh betung pula ditemui timbul di lautan.
Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun di bumi Kalimantan Timur iaitu di satu kampung di kawasan pedalaman yang bernama Kampung Batu Butok, tinggallah seorang tua bersama isterinya. Suaminya dikenali sebagai Kakah Ukop manakala isterinya pula dipanggil oleh masyarakat kampungnya dengan nama Itak Ukop. Suami isteri yang tidak pernah dikurniakan anak ini memelihara seekor kerbau putih yang dijaga umpama seperti menjaga anak sendiri dan diberikan nama “Ukop”.
Kampung Batu Butok ini sebenarnya merupakan salah satu wilayah yang dikenali sebagai Paser di dalam bahasa tempatan. Paser pula merupakan satu wilayah yang makmur dan berkembang dengan keharmonian serta masyarakatnya. Namun begitu dikala itu Paser tidak mempunyai pemimpin sebaliknya hanya diperintah melalui musyawarah penduduk kampung-kampung di dalam wilayahnya.
Suatu hari maka bermusyawarahlah orang-orang tua mewakili kampung masing-masing tentang ingin menjadikan Paser menjadi sebuah kerajaan kecil. Dan melalui ketua adat inilah telah dipilih Kakah Ukop untuk keluar dari Paser dan Kampung Batu Butok, belayar bersama-sama dengan orang yang terpilih untuk mencari seorang raja yang sesuai. Akur dengan segala kehendak adat pada masa itu maka bersiap sedialah Kakah Ukop dengan beberapa pemuda Paser untuk belayar sehingga ke “pinggir langit” kerana disinilah sahaja mereka akan menemui “raja untuk Kerajaan Paser”.
Hendak dijadikan cerita bukanlah senang pelayaran Kakah Ukop ini kerana mencari satu tempat yang bernama “pinggir langit” itu juga adalah satu kepayahan. Akhirnya 1 tahun kemudian setelah berkelana beliau pulang dengan “tangan kosong”. Desakan demi desakan daripada masyarakat Paser menyebabkan Kakah Ukop diceritakan membuat pelayaran sehingga 7 kali.
Untuk Kakah Ukop, pelayaran mencari “Raja Paser” yang ketujuh kali ini merupakan pelayaran yang terakhir baginya memandangkan usianya semakin tua dan beliau tidak larat. Tanpa disangka pada pelayaran kali ini, akhirnya Kakah Ukop menemui satu kawasan ditengah lautan yang dinamakan “pinggir langit”. Sebenarnya kawasan “pinggir langit” ini bukan semua manusia biasa boleh menemuinya melainkan mereka berkeinginan untuk menemui manusia itu atas hal-hal tertentu.
Setelah menjejak kaki di daratan kecil bernama “pinggir langit” ini, Kakah Ukop terus menemui ketua mereka dan tanpa membuang masa ingin mendapatkan nasihat juga firasat siapakah yang berhak untuk menjadi “Raja Paser”. Dan segala persoalan Kakah Ukop ini diberikan jawapan dengan sebaik mungkin bahawa bakal raja itu akan “dihantar” kelak. Dan ketua “pinggir langit” turut memberikan Kakah Ukop beberapa barang yang dikatakan akan menjadi barangan kerajaan paser apabila didirikan kelak.
7 Barangan bakal kerajaan yang akan didirikan kelak adalah:
1. Satu cerek emas
2. Satu pinggan emas yang dinamakan “melawen”
3. Satu gong tembaga
4, Sebatang sumpit akek
5. Satu kipas tangan emas
6, Sepasang baju wanita bersulamkan emas
7. Sebuah peti kayu
Setelah mendengar penerangan dari ketua “pinggir langit” akhirnya Kakah Ukop bersama rombongan kecilnya memulakan perjalanan pulang ke Paser dengan membawa sekali 7 barangan bakal kerajaan. Ketika menjelang malam dan hampir mendekati wilayah Paser, Kakah Ukop dikatakan terlelap dan dikala itulah beliau didatangi seseorang di dalam mimpinya. Menurut mimpi itu meminta Kakah Ukop apabila tersedar nanti akan menemui sesuatu di dalam pelayarannya. Dan setiap yang ditemuinya itu hendaklah diambil dan dinaikkan di atas bahteranya dan janganlah dibuang.
Di ketika sedang tidur dan bermimpi itulah tiba-tiba anak kapal Kakah Ukop mengejutkannya dan mengatakan bahawa bahtera mereka terlanggar satu ruas buluh yang besar. Pada masa itulah Kakah Ukop teringat akan mimpinya dan terus mengarahkan anak-anak kapalnya menaikkan ruas buluh itu ke atas bahtera. Selesai dinaikkan, Kakah Ukop meminta anak kapalnya membersihkan ruas buluh itu daripada tanah dan rumput rampai. Ruas buluh yang besar itu bersama-sama dengan 7 barangan akhirnya dibawa pulang ke Paser.
Akhirnya Kakah Ukop bersama rombongannya selamat sampai ke Paser dengan disambut penuh kegembiraan oleh rakyat Paser pada masa itu. Atas musyawarah bersama segala barangan yang dibawa itu disimpan oleh Kakah Ukop di rumahnya dan mereka harus sabar menanti bakal “Raja Paser” dihantar kepada mereka. Kakah Ukop juga turut membawa ruas buluh yang ditemuinya sewaktu pelayaran dan disimpannya di bahagian dapur berdekatan dengan tempat memasak mereka di rumah.
Setelah berbulan-bulan lamanya menanti kedatangan bakal “Raja Paser” seperti yang dijanjikan tetap tiada menjelma. Dan ini menimbulkan keresahan penduduk sehingga mereka meminta Kakah Ukop untuk ke “Pinggir Langit” lagi namun ianya ditolak oleh beliau. Ditambah lagi pada ketika itu, seluruh rakyat di dalam kepayahan memandangkan hujan yang berterusan sehingga banyak pekerjaan terpaksa ditunda. Pada masa itu juga dikatakan ramai yang didalam kesejukan kerana tiada kayu-kayu kering untuk dibakar bagi mencegah kedinginan dan bermasak.
Hal ini tidak terkecuali dengan Kakah Ukop dan Itak Ukop yang mana mereka juga kehabisan kayu api. Demi untuk survival mereka, Kakah Ukop membenarkan isterinya untuk membelah ruas buluh dan alangkah terkejutnya mereka ketika membelah buluh itulah mereka terjumpa sebiji telur di dalamnya. Oleh kerana ianya sesuatu yang ajaib maka kedua pasangan suami isterinya berniat untuk menjaga telur itu sebaik mungkin. Dan kerana kepercayaan mereka itulah telur itu diletakkan di atas pinggan “melawen” dan disimpan di dalam peti kayu yang dibawa dari “pinggir langit”.
Pada tengah malamnya ketika Kakah Ukop dan Itak Ukop sedang lena diulit tidur tiba-tiba mereka terjaga oleh tangisan bayi. Apabila diamati suara tangisan itu datangnya dari peti kayu. Dengan penuh curiga dan hati-hati Kakah Ukop membuka peti kayu dan kedua-dua suami isterinya terkejut apabila mendapati terdapat bayi perempuan yang tersangat indah rupa parasnya. Gembiralah keduanya memandangkan selama ini mereka tidak pernah mempunyai anak. Kerana bayi perempuan ini didapati dari ruas buluh maka ianya dinamakan Puteri Betung.
Itak Ukop bukannya seorang wanita yang mempunyai air susuan pada masa itu maka bersandarlah Itak Ukop dengan air susu dari kerbau putih mereka yang bernama “Ukop”. Dengan air susu kerbau putih ini keduanya membesarkan Puteri Betung sehingga menjadi seorang remaja yang cantik rupa paras serta diceritakan mempunyai kesaktian yang tersendiri. Puteri Betung juga rapat dengan si kerbau putih “Ukop” malah ada ketika dikatakan puteri ini mampu memahami dan berkomunikasi dengan segala binatang.
Dan di ketika usianya 16 tahun, dikatakan Kakah Ukop bersama-sama ketua penduduk kampung di Paser didatangi mimpi yang serentak. Di dalam mimpi itu mereka mendapat satu firasat iaitu bakal “Raja Paser” telahpun dihantar oleh “Pinggir Langit” dan ianya adalah Puteri Betung, puteri kepada Kakah Ukop yang dijumpai di dalam ruas bulus. Firasat mimpi ini telah diterjemahkan di dalam musyawarah penduduk kampung-kampung di Paser dan mereka bersetuju untuk mengangkat Puteri Betung sebagai Ratu Kerajaan Paser yang pertama. Puteri Betung ketika ditabalkan menjadi Ratu Kerajaan Paser pada ketika itu turut digelar Sri Sukma Dewi Aria Manau Deng Giti yang dikatakan merupakan satu kerajaan dayak pagan.
Inilah cerita legenda mengenai Puteri Betung dan kerbau putih bernama “Ukop”. Satu cerita legenda yang mewarnai kekayaan mitos dan cerita rakyat di kalangan dayak Kenyah di Kalimantan Timur yang memperkatakan tentang kewujudan sebuah kerajaan dayak kenyah yang pernah wujud di Kalimantan Timur yang dikenali dengan nama Kerajaan Paser atau Kerajaan Sandurangas.