top of page

NGEPAN IBAN


NGEPAN IBAN


Kepelbagaian etnik menjadikan Sarawak itu unik. Itulah yang sering kita dengar apabila berkata tentang Sarawak Bumi Kenyalang. Dan kerana kekayaan etnik yang pelbagai inilah juga Sarawak mempunyai pelbagai adat dan tradisi serta bahasa-bahasa yang unik. Bukan itu sahaja busana-busana tradisional etnik juga turut menjadikan ianya istimewa.


Etnik Iban merupakan etnik majoriti di Sarawak dan mereka juga dikategorikan mengikut sub-sub etnik yang tersendiri seperti Iban Skrang,. Iban Miri-Bintulu-Limbang, Iban Saribas, Iban Batang Rajang, Iban Undop, Iban Lemanak, Iban Melikin, Iban Remun serta banyak lagi. Dan kerana kepelbagaian sub-etnik Iban ini maka busana tradisional wanita Iban yang digelar “Ngepan Iban” atau “Ngepan Indu Iban” juga mempunyai kepelbagaian pemakaian dan aksesorinya. Walaupun nampak sama namun begitu ianya tidak serupa dan hanya etnik Iban sendiri yang mengenali perbezaan dan kesamaannya.


Dari segi sejarahnya, dikatakan “Ngepan Iban” ini adalah sinonim dengan ikon wanita Iban dahulu kala yang bernama Kumang. Seorang wanita Iban yang digambarkan sebagai wanita yang sangat cantik rupa parasnya. Bukan itu sahaja Kumang juga merupakan seorang wanita Iban yang pandai di dalam serba serbi baik bertenun, membuat anyaman, bermasak serta apa sahaja pekerjaan wanita yang menjadikan dia dambaan setiap pemuda.


Keindahan dan keunikan pada busana tradisional wanita Iban ini sangat unik kerana ianya diperindahkan dengan pemakaian kain tenun yang mempunyai corak-corak serta pemakaian aksesorinya dapat dilihat dari bahagian kepala sehingga ke bahagian kaki yang mana setiap satu daripadanya mempunyai perincian dan maksud yang tertentu.


Bukan sahaja itu, menurut tradisi etnik Iban juga, setiap satu cara pemakaian “Ngepan Iban” dipakaikan oleh seseorang wanita Iban juga mempunyai tatacara tersendiri dan dijalankan mengikut tertib. Yang membantu pemakaian “Ngepan Iban” ini sudah tentu mengetahui pantang larang untuk Ngepan Iban kerana sekiranya ianya tidak betul maka ianya boleh membawa maksud yang berbeza serta memudaratkan.


Secara amnya, busana tradisional Ngepan Iban ini dipakaikan ketika di Hari Gawai mahupun ketika adanya majlis keramaian seperti ketika majlis perkahwinan berlangsung mahupun ketika menyambut orang-orang kenamaan. Dan busana “Ngepan Iban” dipakaikan dengan aksesori-aksesori tersendiri iaitu:


1. ‘Sugu tinggi’ atau ‘Tall Combs’ ialah perhiasan di bahagian kepala yang digunakan oleh kaum Iban di Sarawak semasa menyambut sesuatu perayaan yang besar. Ia merupakan perhiasan yang berwarna perak yang memberi keunikan dan kilauan yang menarik semasa disanggulkan di kepala.


2. Sugu tinggi’ ialah kraftangan corak dan rekaan yang berbentuk tema bungaan. Dahulu, perhiasan ini dibuat daripada perak tetapi sekarang ia dibuat daripada aluminium yang bersalut perak.


3. Sugu Pupung’ ialah sikat yang menyokong ‘sugu tinggi’ supaya tidak longgar atau terjatuh dari kepala.


4. Ensuga Tisir’ ialah perhiasaan diletakan pada bahagian ‘sugu tinggi’ yang berbentuk flora atau bungaan yang diperbuat daripada perak.


5. Lampit’ merupakan tali pinggang yang besar untuk yang digunakan pada bahagian pinggang.


6. Tumpa’ ialah sejenis perhisaan gelang tembaga ti dikena di buku kuan tauka perempong.


7. Tumpa Rajang’ ialah sejenis perhiasaan gelang yang dibuat daripada ‘tekuyung’ atau siput tasik.


8. Sementing Ringgit’ atau dikenali sebagai gobeng merupakan lingkaran tali pinggang yang berjuraian ibarat tali pinggang wang. Setiap wang tersebut dicantum di antara satu sama lain.


9. Kunkung kaki’ dikenali sebagai ‘gelang kaki.Gerunung’ ini akan berbunyi mengikut rentak pergerakan kaki.


Itu merupakan aksesori ‘Ngepan Iban’ yang jika kita melihat dengan masa kasar sahaja sudah tahu ianya begitu amat berharga malah setiap aksesori itu sendiri boleh mencapai nilai ribuan ringgit.

Kain sarung yang digunapakai dikenali dengan nama “Bidang’. Ianya agak sempit tetapi panjang sehingga ke paras lutut si pemakai. Keunikan pada “Bidang” ini sendiri sebenarnya ianya bukanlah sehelai kain seperti pada pandangan kasar kita sebaliknya ianya adalah 2 helai kain yang dicantumkan menjadi satu.

Dan setiap corak geomatrik pada bidang juga mempunyai maksud tersendiri sesuai dengan upacaranya seperti tema merah bata dan kuning-kekuningan. Malah ada di antara bidang tersebut yang dihias dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang berwarna merah.


Dikatakan amat jarang masyarakat Iban mengenakan tema warna hitam kerana takut disalahertikan seperti Kain Kangan. Ini kerana warna hitam itu terlalu sinonim dengan upacara berkabung atau adat Ngulit. Kebiasaannya balu yang kematian suami akan memakai warna hitam untuk tujuan tersebut.



Marek Empang pula merupakan hiasan dada yang diperbuat daripada manic serta bebola kain yang dikenakan dibahagian dada si pemakain. Tujuannya adalah untuk menutup bahagian atau baju kecil atau kain kemban. Kecantikan pada pembentukan manik-manik pada marek empang itu sendiri cukup memukau mata.


Kain Selempang atau Bedong adalah merujuk kepada sehelai selendang yang panjang. Dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang halus. Kepanjangan bedong ini sahaja dikatakan hampir sama panjuang dengan sirat. Pemakaian bedong ini juga mempunyai tatatertibnya iaitu diselempangkan di badan dari atas seperti pangkahan di dada di dalam upacara rasmi.


Ngepan Iban ini merupakan salah satu adat warisan busana turun temurun di dalam masyarakat Iban yang mempunyai keajaiban dan keunikannya sendiri. Kadang-kadang sebagai antara yang mencintai warisan ini tercalit rasa sedih di sanubari apabila ada mereka yang diluar sana tidak begitu memperdulikan nilai estitika busana tradisional sehingga memodenkannya tanpa ada rasa tanggungjawab. Peliharalah dan hormatilah “Ngepan Iban” ini sampai bila-bila.



bottom of page