THE LITTLE “SARAWAK”,CANADA
THE LITTLE “SARAWAK”, ONTARIO, CANADA
Menjejaki khazanah peninggalan Brooke bukan hanya meliputi di wilayah Borneo kerana sejarah Brooke itu terlalu luas aspeknya. Untuk itu kita akan menjengah satu pensejarahan yang sebenarnya sinonim dengan Brooke itu sendiri iaitu The Little “Sarawak”, Ontario, Canada.
Tanpa kita menyedari bahawa nun jauh di bumi Kanada yang beribu-ribu batu dari Sarawak, Malaysia wujud satu pekan kecil yang bernama Sarawak Township. Sejarah Sarawak Township ini bermula sekitar tahun 1857 apabila tanah yang dihuni oleh orang asli ini diserahkan kepada British yang kemudian dikenali sebagai Newash Reserve.
Dan pada ketika itulah diangkat seorang anggota tentera British yang bernama Lord Bury menjadi Governor General Canada. Umum mengetahui mengikut pensejarahannya Sir James Brooke merupakan bekas anggota tentera British yang berkhidmat di bawah Tentera British India suatu waktu dahulu.
Dan Lord Bury merupakan antara pegawai pemerintah ketika Brooke menjadi anggota tenteranya. Keberanian dan kesetiaan Sir James Brooke kepad Lord Bury memang tiada tolok bandingnya walaupun selepas beliau diangkat menjadi Rajah Sarawak pada tahun 1842. Malah ketika pulang bercuti ke Negaranya seringkali Sir James Brooke akan sentiasa singgah di Canada.
Jadi bagi mengenang persahabatan dan dedikasi Sir James Brooke inilah akhirnya Lord Bury memberikan sebuah nama pekan kecil yang terletak di pedalaman Ontario, Kanada mengambil bersempenan nama Negara yang diperintah Brooke iaitu Sarawak. Menurut cerita juga dikatakan Sir James Brooke turut membantu Sarawak Township ketika era awal kewujudannya dengan menjadi Setiausaha kepada Lord Bury di pekan kecil ini.
Jadi jangan terkeliru sekiranya di pekan kecil ini segalanya mengenai nama “Sarawak” digunapakai seperti Sarawak Post Office, Sarawak Post, Keppel-Sarawak Elementary School begitu sinonim dengan rakyatnya. Malah “Sarawak Saga” iaitu satu pensejarahan mengenai kewujudan Sarawak dibawah Brooke juga turut menghiasi ruang di Majlis Perbandaran Sarawak Township sehingga sekarang.
Sarawak Township yang lokasinya terletak jauh di pedalaman Ontario merupakan antara pekan kecil yang begitu terkenal dengan keindahan alamnya. Malah juga ada beberapa kawasan pelancongan yang popular turut berada di wilayahnya seperti Georgian Bay Shoreline dan Niagara Escarpsment. Penghidupan di pekan kecil agak perlahan namun begitu ianya aman sentosa serta mendamaikan, jauh daripada hiruk pikuk dunia kota yang membingitkan.
Inilah sekelumit pencerakan sejarah didalam kita menjejaki nama Sarawak yang berada di luar dari ruang wilayah Sarawak, Malaysia. Nama Sarawak Township ini menjadi bukti signifikasi sejarah Brooke yang pernah memerintah Sarawak Kingdom hampir 100 tahun suatu waktu dahulu.
Rujukan:
1. The History Of The County Of Grey
http://www.ourroots.ca/e/page.aspx?id=2529538
2. The Township of Derby, Keppel and Sarawak, Ontario, Canada
http://www.georgianbluffs.on.ca/content/community
3. Sarawak Township, Ontario, Canada
http://babab.net/artikel/township-sarawak-ontario-canada.html