top of page

BAHASA MELAYU SAMBAS vs MELAYU SARAWAK


SEPINTAS LALU PERSAMAAN BAHASA MELAYU SAMBAS DAN MELAYU SARAWAK


Jika berada di satu pulau yang sama sudah tentu banyak budaya mahupun bahasa menebar di segenap wilayahnya dan begitulah juga yang terjadi antara Melayu Sambas dan Melayu Sarawak yang dikatakan berkongsi banyak adat dan budaya serta bahasa itu sendiri. Ada yang berkata orang Melayu Sambas dan Melayu Sarawak boleh berkomunikasi dengan baik antara mereka kerana mempunyai terma bahasa linguistic yang sama.

Tiada berbeza Cuma mungkin cara ianya dialunkan oleh penutur sedikit berbeza. Jadi sekiranya diperkatakan sedemikian ianya langsung tidak menjadi satu yang ganjil kerana hakikatnya sejak dari awal lagi Melayu Sambas dan juga Melayu Sarawak mempunyai titik persamaan sejak di zaman wujudnya kerajaan Sambas yang juga merupakan antara legasi keturunan kerajaan Sarawak Darulhana itu sendiri.

Bahasa Melayu Sambas adalah bahasa Melayu dialek Sambas yang dipertuturkan di wilayah Kabupaten Sambas, Kota Singkawang, Kabupaten Bengkayan dan juga sekitarnya atau lebih merujuk kepada provinsi Kalimantan Barat. Dan bahasa Melayu Sarawak pula adalah bahasa Melayu dialek yang mempunyai kepelbagaian mengikut bahagiannya seperti di Kuching, Sri Aman dan banyak lagi. Manakala untuk di Miri dan Limbang pula bahasa Melayunya lebih mirip kepada bahasa Melayu Brunei kerana geografinya.

Dan begitu juga bahasa Melayu Sambas sendiri juga mempunyai beberapa dialek antaranya pada akhiran ada yang disebut dengan huruf “E” dan “O” dan kesamaan ini juga terdapat pada bahasa Melayu Sarawak “ranto laut” yang juga mempunyai akhiran huruf yang sama. Inilah antara titik persamaan yang sudah pasti ramai masyarakat Melayu sendiri tidak mengetahuinya.

Kemudian terdapat juga titik persamaan apabila Melayu Sambas yang dipertuturkan juga mempunyai pencampuran dengan pengaruh bahasa Dayak seperti dialek Dayak Banyuke yang menjadi salah satu pembentuk masyarakat di Sambas. Dan sekali lagi kesamaan pada bahasa Melayu Sarawak sendiri apabila ada sesetengah bahasa Melayu Sarawak juga turut mempunyai kosa kata yang sama dengan masyarakat Dayak Iban yang merupakan antara majoriti kaum di Sarawak.

Apa yang disebutkan di ruangan ini hanyalah sebahagian daripada bahasa persamaan antara kedua rumpun bahasa sama di Pulau Borneo. Bahasa Melayu Sambas vs Bahasa Melayu Sarawak dan maknanya di dalam bahasa Melayu Standard.


Bahasa Melayu Sambas vs Bahasa Melayu Sarawak = Melayu Standard.


1. Aku/Kamek vs Kamek = Saya

2. Kawu/Direk vs Kawu/Kitak/Dirik = Kamu

3. Die/Nya vs Nya = Dia

4. Aok/Auk vs Aok/Auk = Iya

5. Ndak/Da’an vs Ndak/Sik = Tidak/Tak

6. Sitok vs Sitok = Sini

7. Sinun vs Sinun = Sana

8. Siye vs Sia = Sine

9. Maney vs Ney = Mana

10. Madah/Padah vs Madah/Padah = Beritahu

11. Biak Ye vs Biak Ya / Sidak = Mereka

12. Urang vs Urhang = Orang

13. Kin Itok vs Kinektok = Sekarang

14. Dudi vs Dudi = Kemudian

15. Ye vs Ye/Yo/Ya = Itu

16. Simari’ vs Ari Marek = Kelmarin

17. Ari Ye vs Ari ya = Hari itu

18. Biak vs Biak/Miak = Budak atau anak kecil

19. Tagar vs Tagar/Tegar = Karat Besi

20. Nang vs Nang = Yang


Hanya satu percerakahan sepintas lalu di dalam kita cuba mengenal titik persamaan bahasa Melayu Sarawak dan Melayu Sambas dan sudah tentu ada banyak lagi jika dihimpunkan. Malah bahasa Melayu Sarawak mahupun bahasa Melayu Sambas juga mempunyai banyak persamaan dengan satu lagi rumpun bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh masyarakat Melayu Banjar.


Yang persamaan juga dapat dilihat dari segi senibina rumah, makanan, adat dan tradisi kerana hakikatnya kita di satu pulau yang sama mempunyai kesamaan sejarah lampau yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun.


Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga, Yang cantik itu budi, Yang indah itu bahasa.




bottom of page