top of page

MOUNT HOSANNA CHAPEL, SRI AMAN


MOUNT HOSANNA CHAPEL, SRI AMAN, SARAWAK

Jika mana-mana pengguna lebuhraya yang menuju ke destinasi Sri Aman, sudah semestinya tidak akan terlepas pandang dengan satu rekabentuk bangunan yang begitu menawan hati. Ini kerana keunikan serta warnanya begitu memukau setiap mata yang memandangnya. Inilah satu lagi keunikan untuk Sri Aman yang sebenarnya cukup terkenal di kalangan penganut agama Kristian di seluruh dunia.

Mount Hosanna Chapel itulah sebuah bangunan gereja untuk penganut agama Roman Katolik yang terletak kira-kira 33 km dari Bandar Sri Aman dan 157 km dari Kota Kuching, Sarawak. Senibina untuk gereja ini tidak seperti mana-mana gereja yang terdapat di seluruh dunia dan tiga arkitekturnya melambangkan 3 lilin yang bermaksud “Trinity” mengikut kepercayaan penganut agama Roman Katolik. Di dalam doktrin Kristianiti “Trinity” melambangkan “Father, Son and Holy Spirit”.

Menurut sejarahnya, pembinaan gereja unik ini diusahakan oleh Father Richard Khoo, iaitu antara pemimpin agama Kristian Roman Katolik yang tersohor di Sarawak. Ianya dibina suatu waktu dahulu atas jerit perih dan sumbangan penganut agama Kristian di Sri Aman pada masa itu.

Keunikan dan keindahan gereja sekali lagi terserlah apabila setiap perinciannya juga turut mengambilkira doktrin kepercayaan kristianiti. Oleh kerana ianya dibina di satu kawasan yang berbukit maka Mount Hosanna Chapel ini juga mempunyai satu jalinan tangga. Jalinan 100 anak tangga ini juga dikenali sebagai “Tangga Jacob’s” (Jacob’s Ladder) yang juga mengikut kepercayaan penganut agama Kristian adalah juga bermaksud tangga menuju ke syurga (a ladder to heaven).

Mount Hosanna Chapel mempunyai keistimewaannya tersendiri dan penganut agama Kristian di Sri Aman amnya lebih mengetahui keunikannya. Dan yang pasti, gereja putih yang unik ini juga merupakan salah satu lambang toleransi kaum dan agama di Sarawak yang sentiasa dilestarikan oleh masyarakatnya untuk menjadikan Sarawak itu “special” berbanding dengan negeri yang lain di seluruh Malaysia.


bottom of page