PENGEBUMIAN “RAMBU SOLO” TORAJA
PENGEBUMIAN “RAMBU SOLO” MASYARAKAT TANA TORAJA, SULAWESI
Cara pengebumian satu masyarakat nun jauh di Pulau Sulawesi ini diiktiraf dunia sebagai “Ritual Pengebumian Paling Ganjil Dan Unik Di Dunia”. Dan apa yang lebih menarik ianya juga dikatakan “Kembar” kepada masyarakat Dayak yang berada di bumi Borneo oleh pakar sejarah dunia.
"The Dayak Ethnic in Kalimantan (Borneo) and the Toraja Ethnic in Sulawesi have same term, is man who live in hinterland. There are several similarity religion concept and burial equipment between The Dayak Ethnic and The Toraja Ethnic, like death ceremonial by sacrifies animals so much and burial use container formed of boat. "
Siapakah Etnik Tana Toraja?
Pulau Sulawesi mempunyai pelbagai etnik yang mempunyai budaya dan adat tradisi yang unik yang kadangkala mempunyai banyak persamaan dengan etnik di Borneo. Mengikut pakar sejarah bahawa ada sesetengah etnik-etnik di Sulawesi mempunyai perkaitan sejarah dengan beberapa etnik di Taiwan, Filipina, Borneo dan Sumatera itu sendiri.
Dan untuk Sulawesi Selatan pula mempunyai 3 etnik yang mendominasi wilayahnya yang dikenali sebagai:
1. Bugis Makassar
2. Bugis Mandar
3. Bugis Tana Toraja
Bugis Tana Toraja atau Suku Toraja merupakan satu kumpulan masyarakat yang menetap di bahagian pergunungan di Sulawesi Selatan. Mengikut ceritanya nama Toraja itu bermaksud “satu kumpulan masyarakat yang tinggal di negeri atas”. Seperti ramai masyarakat yang mendiami Pulau Sulawesi suatu waktu dahulu, etnik Toraja juga antara mereka yang terpalit dengan sejarah colonial Belanda yang menyebabkan mereka berpecah sehingga terhumban ke kawasan yang lebih pedalaman.
Dari segi bahasa pula bahasa Toraja juga dikenali sebagai bahasa Sada, Sadan, Sa’dan, Sadang, Sa’danche, Tae’, Toradja, Toraja ini dikategorikan di dalam rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, South Sulawesi, Northern, Toraja-Sa’dan.
Dan seperti etnik di Borneo, sehingga sekarang dikatakan etnik Toraja ini masih lagi mengamalkan kepercayaan nenek moyang mereka atau pagan yang dinamakan “Aluk Todolo”. Secara pengertian lebih ringkas adalah agama para leluhur atau agama nenek moyang mereka. Dan kerana itulah Aluk Todolo ini juga memuja langit (alam atas angin) yang dipercayai wujudnya dewa-dewa atau dikenali sebagai Aluk Tipondo Do Tanggana Langi di dalam bahasa Toraja.
Mitos di kalangan masyarakat Toraja mempercayai bahawa asal muasal kelahiran manusia adalah daripada langit. Dan kerana itulah adanya penggunaan “tangga dari langit” di dalam upacara ritual pengebumian mereka yang mana mayat diletakkan di kawasan yang paling tinggi.
Upacara Pengebumian “Rambu Solo”
Sesuatu yang unik mengenai masyarakat Toraja ini adalah upacara pengebumiannya yang mendapat jolokan sebagai cara pengebumian yang paling ganjil dan unik di dunia. Tiada mana-mana masyarakat di dunia yang mampu menandingi keunikan upacara pengebumian mereka kerana apabila berkata tentang kematian bukannya satu hal yang boleh dianggap enteng oleh masyarakat Toraja.
Setiap jasad yang meninggal dunia harus disempurnakan dengan sebaik mungkin dan adalah wajib untuk mengadakan upacara yang besar-besaran kerana jasad itu akan dihantar kepada penciptanya. Dan kerana itulah apabila berbicara mengenai kos pengebumian ianya adalah satu kos yang amat besar. Untuk itu di dalam upacara kematian masyarakat Toraja itu sendiri mempunyai 2 cara pengebumian iaitu sekunder dan premier.
Sekunder bermaksud adalah setiap masyarkat yang meninggal dunia pada pertama kalinya tidak akan dikuburkan terus sebaliknya jasad itu disimpan di dalam rumah keluarga si mati sehingga cukup wang untuk menjalankan pengebumian primier. Dengan proses-proses tertentu, jasad itu akan kekal di rumah keluarga.
Dan kerana itulah adanya satu upacara untuk menukar baju jasad-jasad yang belum lagi dihantar menemui Penciptanya. Dan kerana adanya upacara menukar baju inilah ada yang mengatakan adanya kewujudan “Zombie” di kalangan masyarakat Toraja sedangkan ianya sebenarnya adalah jasad yang tidak bergerak tetapi sengaja ditukar bajunya pada setiap bulan Ogos saban tahun.
Pengebumian primier pula dikenali sebagai “Rambu Solo” iaitu upacara adat kematian masyarakat Toraja yang bertujuan untuk menghormati dan menghantar jasad si mati menuju ke alam roh. Secara lebih ringkas ianya adalah satu upacara penyempurnaan yang terakhir untuk sesiapa yang mati di kalangan masyarakat Toraja.
Ketika upacara ini dijalankan ianya seperti mengadakan satu pesta yang besar yang mana akan didirikan beberapa buah pondok yang besar di satu kawasan yang lapang. Jasad si mati akan disimpan di rumah-rumah besar ini untuk diadakan satu upacara ritual yang lebih sempurna seperti proses membungkus jenazah dengan menggunakan beberapa kapur barus serta juga dijahit kain pembungkusan jenazah dengan benang emas mahupun perak mengikut kepada strata sosial keluarga si mati.
Dan kemuncak acaranya adalah dengan mengusung keranda si mati secara beramai-ramai dan seterusnya dinaikkan ke kawasan yang lebih tinggi seperti gua. Di kala inilah keranda ini diusung dengan menaikkannya menggunakan “tangga ke syurga” secara manual oleh kaum lelaki Toraja. Selesai itu barulah ia dikatakan benar-benar mati kerana jasad dan roh telahpun dihantar menemui Penciptanya.
Tidak terhenti disitu sahaja, upacara pengebumian itu akan terus dijalankan sehingga ada yang sehingga 7 hari 7 malam seperti bentuk keramaian pula. Banyak acara simbolik dan ritual diteruskan seperti pertandingan “sampai mati” laga kerbau dan begitu juga beberapa puluh ekor kerbau yang mampu disediakan oleh keluarga si mati akan turut disembelih pada akhir acara.
Dan penyembelihan kerbau ini bukanlah seperti yang biasa kita lihat kerana ianya dijalankan penuh dengan ritual serta ada sesetengah masyarakat dunia melabelkannya upacara yang amat kejam. Hanya yang berani sahaja mampu menyaksikan upacara ini kerana kerbau itu ditumbangkan di dalam keadaan hidup-hidup dan beberapa kali dikenakan libasan parang sehingga ianya jatuh menyembah bumi. Inilah ritual yang sebenarnya mempunyai maksud yang mendalam bagi masyarakat Toraja sehingga sekarang.
Dan kerbau yang digunakan bukanlah dari jenis yang sembarangan sebaliknya adalah jenis kerbau yang paling mahal iaitu yang dikenali sebagai Kerbau “Bule Tedong Bonga”. Harganya sahaja boleh mencapai sehingga RM10 ribu seekor. Jadi bukan senang untuk mengadakan upacara pengebumian “Rambu Solo” ini kerana selagi keluarga si mati tidak mempunyai wang bagi membiayai kos pengebumian yang boleh menelan belanja ratusan ribu ringgit maka ianya tidak dijalankan.
Inilah ruang informasi buat perkongsian kita di dalam memahami satu upacara pengebumian yang dianggap paling unik dan ganjil di dunia. Dilabelkan mempunyai beberapa persamaan dengan masyarakat Dayak di Borneo berdasarkan kepada hubungan sejarahnya. Lain padang lain belalang dan begitu jugalah adat istiadat serta tradisi masyarakat di dunia.
-HB-
Rujukan:
1. Upacara Adat Rambu Solo' (Upacara Pemakaman)Toraja
http://hasanuddin-airport.co.id/detail/wisata/upacara-adat-rambu-solo039-upacara-pemakaman--toraja
2. In Indonesia, a Region Where Death Is a Lure
http://www.nytimes.com/2015/07/30/travel/frugal-traveler-indonesia-death-rituals.html?_r=0
3. The Toraja people and the most complex funeral rituals in the world
http://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/toraja-people-and-most-complex-funeral-rituals-world-001268
4. Toraja World Ethnologue
https://www.ethnologue.com/language/sda