top of page

ETNIK ORANG SUNGAI, SABAH


ETNIK ORANG SUNGAI, SABAH, BORNEO


Bangsa Sungai atau Orang Sungai itulah satu lagi etnik minoriti yang jarang-jarang dikenali oleh masyarakat di luar mengenai kewujudan mereka di Malaysia. Etnik minoriti ini merupakan antara rumpun etnik yang dikategorikan sebagai pembentuk kaum Kadazan-Dusun di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.


Dari segi populasi, Orang Sungai ramai terdapat di Sandakan iaitu untuk lebih spesifik di daerah Kinabatangan, Beluran, Tongod, Pitas, Sugut dan Paitan. Dan mereka juga turut ada di Membakut, Sabah.


Di dalam etnik Orang Sungai itu juga terbahagi kepada beberapa sub-etnik yang kecil seperti Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Bulud Upi, Dewara, Dumpas, Inokang, Kalabuan, Kuamut, Lingkabau, Makiang, Mangkaak, Minokok, Paitan, Pingas, Puawang, Rumanau, Segilitan, Sinobu, Sinorope, Subpan, Sugud, Sukang, Suyat, Tambangan, Tengara, Tinagas dan Tindakon.

Dengan jumlah sub-etnik yang sebanyak itu sudah tentu dialek-dialek bahasa Orang Sungai juga pelbagai dan ianya dapat dibezakan melalui daerah mereka berasal. Walau bagaimanapun, secara amnya mengikut laporan lingualistik dunia bahasa Orang Sungai dikenali sebagai Abai Sungai. Dan ianya dikategorikan di bawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Sabahan, Paitanic.


Secara dokumentasi sahih mengikut sejarah asal-usul mengenai Orang Sungai hanya diketahui sekitar tahun 1881 iaitu adanya satu eksplorasi ke pendalaman Sungai Kinabatangan oleh seorang bangsa British iaitu Sir William Burgess Pryer. Beliau merupakan Residen Pertama Sandakan dan juga yang mendapat jolokan “The Founder Of Modern Sandakan” berdasarkan pemerintahan British di North Borneo suatu waktu dahulu.


Menurut jurnal pengembaraannya ke Sungai Kinabatangan pada masa itu dikatakan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang tinggal di persisiran sungai dan menjadi sungai itu sebagai nadi penghidupan mereka. Selain daripada itu beliau juga mengkagumi kumpulan masyarakat ini yang mempunyai cara tersendiri untuk bercucuk tanam serta menangkap ikan dan mencari hasil hutan demi survival penghidupan mereka.


Di kala inilah beliau menggelar mereka kepada “The River People” yang bermaksud Orang yang tinggal di persisiran sungai dan akhirnya diterjemahkan menjadi Orang Sungai oleh Borneo Chartered Company di dalam dokumentasi pentadbiran mereka.

Namun hakikatnya “Orang Sungai” yang kita kenali ini merupakan sekumpulan masyarakat pribumi di Sabah yang sebenarnya sudahpun ada jauh sebelum mana-mana bangsa Eropah memerintah di Borneo suatu waktu dahulu. Seperti juga cerita asal keturunan setiap etnik pribumi di Borneo, mereka juga merupakan antara masyarakat dari kelompok Austonesia iaitu dari kelompok Negrito dan Austloid.


Apabila berlakunya Pentas Sunda yang tenggelam beribu-ribu tahun yang dahulu akhirnya Orang Sungai yang hidup berpindah randah (shifting cultivation) terus mendiami Pulau Borneo seperti yang kita ketahui sekarang.

Setiap etnik pribumi di Borneo sentiasa mempunyai mitos dan legenda di dalam memperkatakan kewujudan mereka dan begitulah juga dengan Orang Sungai yang turut kaya dengan sastera rakyatnya. Di dalam cerita legenda Orang Sungai turut memperkatakan bahawa asal-muasal keturunan Orang Sungai adalah keturunan dari hasil perkahwinan antara seorang pemuda yang diperolehi dari satu buah sakti di dalam hutan Sabah beribu-ribu tahun dahulu. Pemuda ini dibesarkan oleh sepasang suami isteri yang kerjanya mencari damar di hutan. Dan kerana tidak mempunyai cahayamata maka bayi yang diperolehi dari buah sakti ini dibesarkan umpama menjaga anak kandung sendiri.


Meningkat dewasa ternyata bayi ini membesar sebagai seorang pemuda yang kacak serta gagah perkasa. Dia menjadi kegilaan anak-anak gadis desa malah ramai penghulu memendam impian untuk menjadikan beliau menantu mereka. Tetapi si pemuda diceritakan tertambat hati dengan seorang gadis desa yang tidak kurang hebatnya. Seorang dara pingitan yang cantik, mulus, putih serta mempunyai segala karisma untuk menjadi isteri dambaan suami.


Gadis tersebut juga mempunyai ceritanya tersendiri iaitu juga merupakan bayi ajaib yang diperolehi oleh seorang pemimpin desa dari sebiji telur yang dipercayai telur burung garuda. Dan dengan gadis ajaib inilah si pemuda berkahwin dan akhirnya dikatakan daripada merekalah keturunan segala Orang Sungai yang menghuni Sabah sekarang. Dan sudah tentu cerita legenda ini mempunyai versi-versinya tersendiri dan apa yang diselitkan disini hanya salah satu daripada versi ceritanya.

Jika dilihat dari segi agama pula, Orang Sungai mempunyai pelbagai fahaman agama berdasarkan kepada sejarah mereka di Sabah. Orang Sungai ada yang beragama Islam dan ada juga yang beragama Kristian. Selain daripada itu masih ada lagi Orang Sungai yang lebih memilih untuk mengamalkan agama animism iaitu agama leluhur mereka.


Bagi yang beragama Islam dan Kristian pula, ramai yang telah meninggalkan pelbagai adat dan upacara yang bercanggah dengan ajaran agama mereka. Sementara itu bagi golongan tua-tua Orang Sungai yang masih berpegang teguh pada adat istiadat lama animism tetap melestarikannya berdasarkan kepada hukum adat Orang Sungai itu sendiri.


Orang Sungai di Sabah kaya dengan kesenian dan artifak etnik yang begitu halus seperti senibina, seni tampak, seni tari, sistem nilai dan budaya mereka yang penuh kelembutan dan keunikan. Dari aspek seni bina bukan sahaja mereka mampu menghasilkan binaan rumah yang kukuh dan unik malahan turut dihiasi ukiran kayu yang halus.


Selain itu, Orang Sungai juga terkenal dengan hasil kraftangan yang halus dan berbagai motif seperti yang terdapat pada tudung saji, tikar mengkuang, sulaman, tekat, tenunan yang halus dengan rapi pada sarung bantal dan baju tradisional.


Seni hias yang menarik seperti serimpak pada pengantin perempuan serta seni hias sempangan yang diperbuat daripada perca kain beraneka warna dijadikan perhiasan pada dinding dan lelangit rumah semasa majlis perkahwinan.


Mereka juga mempunyai peralatan muzik tradisi yang unik dan rancak seperti yang terdapat pada permainan kulintangan, gabbang kayu, gong dan gendang yang mampu dimainkan dalam berbagai rentak dan tempoh. Manakala gesekan kecapi yang merdu boleh didengar ketika majlis perkahwinan disempurnakan.


Tidak lupa juga Orang Sungai mempunyai Seni silat yang dinamik serta seni tari yang gemalai pula, dapat dilihat dalam rangkaian gerak tari tarian runsai, titikas, menumpos, abungan, mengalai serta sumarikayau. Kesemua ini masih lagi dipegang kukuh oleh Orang Sungai sehingga ke hari ini bagi memastikan ianya tidak terus dilupakan walaupun zaman sudah berubah.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta






Rujukan:


1. Persatuan Bangsa Sungai (SABAS)

persatuanbangsasungaisabah.blogspot.com

2. Penulis: by Rosazman Hussin (Editor), Jalihah Md. Shah (Editor), Dayu Sansalu Tajuk: Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Orang Sungai

3. Adab Dan Budaya Kaum Sungai Di Sabah https://www.academia.edu/12369295/ADAB_DAN_BUDAYA_KAUM_SUNGAI_DI_SABAH

bottom of page