TRADISI HIDANG SAPRAH MELAYU SARAWAK
TRADISI HIDANG SAPRAH MELAYU SARAWAK SEMAKIN DILUPAKAN
“Hidang Seprah atau hidang Boyan”…. Inilah antara kata-kata yang sering diucapkan suatu ketika dahulu apabila adanya kenduri-kendara di dalam komuniti Melayu Sarawak. Ianya sebenarnya berkaitrapat dengan cara hidangan untuk lauk-pauk sewaktu sesuatu majlis berlangsung. Mungkin ada yang masih melestarikannya itupun “jarang-jarang” pada masa sekarang.
Dari segi sejarahnya, tradisi “hidang saprah” ini merupakan satu tradisi di kalangan Melayu Sarawak yang mempunyai persamaan tradisi dengan Melayu Sambas yang dikenali sebagai “Makan Saprahan”. Namanya sahaja berbeza tetapi tertib dan cara ianya dilakukan adalah serupa. Cuma bezanya “makan saprahan” Melayu Sambas sehingga ke hari ini tetap utuh dilestarikan berbanding oleh komuniti Melayu Sarawak.
Dengan hanya beralaskan sehelai kain berbentuk segiempat akan diletakkan pinggan mahupun mangkuk lauk pauk di atasnya. Para tetamu akan makan di lantai ataupun diatas papan yang panjang seperti meja. Dan disetiap satu saprah biasanya mempunyai 4 orang tetamu yang akan menjamahnya.
Disitu juga nanti akan disertakan air basuh tangan serta sehelai tuala ataupun kertas tisu untuk menglapkan tangan selepas makan. Inilah satu tradisi komuniti Melayu Sarawak yang rasanya generasi muda sudah tidak mengenalinya.
Bukan itu sahaja, tradisi makan saprah ini sebenarnya amat tertib berdasarkan kepada rukun Islam itu sendiri. Ini kerana ketika makan saprah, yang berjantina lelaki mempunyai kumpulannya tersendiri dan sama sekali tidak bercampur dengan yang berjantina wanita.
Selain daripada itu ianya juga menjaga tertib apabila kumpulan penghidang yang memegang wakil daripada pihak empunya majlis turut sama berdasarkan jantina agar tiada yang segan silu apabila sewaktu makan.
Inilah antara keindahan tradisi hidang saprah di kalangan Melayu Sarawak yang sekarang ini sudah hilang seninya apabila ramai komuniti Melayu Sarawak lebih memilih untuk mengadakan hidang “buffet” iaitu satu hidangan jenis kebaratan. Hidangan seperti ini dikatakan memberi banyak kemudahan kepada yang empunya majlis berdasarkan kepada lebih mudah dan senang dipantau.
Mungkin ada benarnya mengapa “buffet” menjadi pilihan kerana hidang saprah sebenarnya menuntut yang empunya majlis untuk mengadakan banyak pinggan dan mangkuk serta memerlukan ramai tenaga serta ruang. Manakan tidaknya di setiap 1 saprah sekiranya ada 3 lauk pauk maka harus mengadakan 6 pinggan dan jika dibandingkan dengan cara hidang buffet yang hanya 1 pinggan sahaja untuk tetamunya.
Belum cukup itu, makan saprah juga memerlukan tenaga yang ramai kerana para penghidang dan juga tukang masak harus meletakkan hidangan pada setiap pinggan lauk. Belum lagi tenaga tukang cuci pinggan mangkuk yang akan terus bermandi air cucian sehingga tamat majlis bagi memastikan setiap pinggan itu yang diperlukan itu ada sentiasa.
Namun disebalik kesemua itu ianya juga terselit banyak manfaatnya apabila tradisi bergotong royong untuk menjayakan satu majlis itu sudah tentu akan menjalinkan ikatan ukhuwah antara masyarakat sekampung. Bermula daripada orang tua sehingga ke anak muda akan bersama-sama di dalam satu majlis itu baik dari permulaan memasak lauk sehinggalah ke majlisnya selesai.
Itulah satu tradisi lama di dalam komuniti Melayu Sarawak yang dahulunya "wajib ada" jika ada kenduri kendara tanpa mengira di kampung mahupun kota. Namun sesuai dengan peredaran zaman ianya sudah semakin dilupakan dan mungkin suatu hari nanti kita hanya akan mampu mengenangnya apabila bercerita dengan anak cucu kita.