top of page

PENERBANGAN MH370 DALAM KENANGAN


PENERBANGAN MH370 DALAM KENANGAN (8 MAC 2014 – 8 MAC 2016)


Hari ini genaplah 2 tahun berlakunya satu tragedi hitam di dalam lipatan dunia aero angkasa Malaysia apabila pada tanggal 8hb Mac 2014 sebuah penerbangan milik MAS iaitu penerbangan MH370 telah hilang dari radar penerbangan dunia. Ianya adalah satu tragedi yang menyaksikan seluruh dunia turut merasa kesedihan atas kehilangannya. Walaupun sudah 2 tahun berlalu, proses pencarian penerbangan malang ini masih lagi diteruskan bagi mencari punca sebenar ianya hilang.


Mengimbau sejarah pesawat malang ini yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke destinasinya iaitu Beijing, China telah hilang dari radar kawalan trafik udara pada jam 01:22 MYT 8 Mac 2014. Pada ketika itu, pesawat malang ini membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal MAS yang kesemuanya adalah anak Malaysia. Manakala penumpang-penumpangnya pula terdiri daripada 15 buah Negara. Dan salah seorang anak kapal MH370 ini adalah seorang anak Sarawak iaitu Ketua Pramugara MAS, anak Iban Sarawak yang bernama Andrew anak Nari.


Sejurus dilaporkan kehilangannya, pencarian SAR telah dilancarkan oleh beberapa Negara di Asia Tenggara dengan bermula di Gulf of Thailand dan Laut China Selatan berdasarkan kepada kedudukan terakhir ianya dilaporkan hilang dari radar. Kemudian lokasi pencarian SAR diperbesarkan ke Selat Melaka dan juga Andaman Sea.


Setelah mengambilkira pelbagai aspek teknikal dunia penerbangan sekali lagi lokasi pencarian telah dipindahkan ke Indian Ocean. Pada tanggal 17 Mac 2014, Kerajaan Australia telah mengetuai pencarian dari pelbagai Negara di South Indian Ocean walaupun pada ketika itu masih belum ada lokasi yang tepat dimana pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya.


Pada tanggal 24 Mac 2014, pihak Kerajaan Malaysia telah merumuskan bahawa "flight MH370 ended in the southern Indian Ocean”. Dan rumusan ini bersandarkan kepada sumber pengiraan yang telah dilakukan oleh Air Accidents Investigation Branch melalui gabungan bersama Inmarsat (The Satellite Data Provider).


Dan sejak dari itulah proses pencarian besar-besaran terus dilakukan dan ianya sehingga sekarang dikategorikan sebagai kos pencarian yang paling tertinggi di dalam sejarah penerbangan dunia kerana ianya merangkumi pencarian udara sehingga ke dasar laut.


Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, segala usaha pencarian masih belum menampakkan apa jua petanda mahupun puing-puing pesawat MH370 di Southern Indian Ocean. Maka bermulalah spekulasi yang bukan-bukan di dalam dunia maya mengenai kehilangan pesawat ini. Mereka ini merupakan antara manusia yang tidak bertanggungjawab kerana tidak memperdulikan perasaan kaum keluarga dan sahabat handai penumpang dan anak kapal yang sudah tentu di dalam hiba menunggu perkhabaran daripada MH370.


29hb Januari 2015, setelah hampir 10 bulan belum ada apa-apa berita mengenai kehilangan MH370 akhirnya Pengarah DCA (Department Of Civil Aviation, Malaysia) telah membuat pengumuman bahawasanya status penerbangan MH370 telah ditukar kepada “accident” berdasarkan kepada Chicago Convention On International Civil Aviation. Ini semua dilakukan bagi memastikan bahawa keluarga penumpang yang terlibat akan mendapat pembelaan yang sewajarnya seperti urusan insurans dan banyak lagi.


Setelah hampir 16 bulan menunggu jawapan, seluruh dunia tertumpu pada satu penemuan puing pesawat yang terdampari di Pantai Saint-Andre, Pulau Reunion pada 29 Julai 2015. Setelah menjalani proses identifikasi yang dilakukan oleh France’s Civil Aviation Accident Investigation Agency, BEA dan Kementerian Pertahanan Perancis di Toulouse, Perancis malah pihak kerajaan Malaysia juga turut menghantar pasukan penyiasat akhirnya puing pesawat itu disahkan sebagai “a right wing flaperon” milik kepada pesawat Boeing 777.


Pada 2 Ogos 2015, ianya disahkan oleh pasukan penyiasat daripada Perancis, Malaysia, Boeing dan NTSB (US National Transportation Safety Board) sebagai objek “flaperon” dari pesawat Boeing 777 MH370. Pada 5 Ogos 2015, barulah pengumuman dibuat oleh Kerajaan Malaysia bahawa ianya milik kepada MH370 yang hilang itu.


Selepas itu tiada lagi penemuan puing-puing pesawat yang merujuk kepada MH370 yang boleh disahkan. Yang hanya kedengaran adalah beberapa penemuan puing-puing pesawat yang berteburan di dalam peta dunia. Riuh sekejap penemuan di Thailand malah juga di Malaysia serta ada yang membuat spekulasi sehingga ke Filipina jauhnya. Namun segalanya tiada perkaitan langsung dengan MH370.


Dan baru-baru ini iaitu pada 2 Mac 2016, ada satu lagi puing pesawat yang ditemui di Mozambique. Sekarang ianya masih di dalam proses identifikasi oleh mereka yang pakar dan telahpun dihantar ke Australia untuk urusan tersebut. Masih samar-samar apakah ianya juga puing pesawat yang merujuk kepada MH370 namun begitu lokasi penemuannya adalah di dalam sekitar Southern Indian Ocean jua.


Penerbangan MH370 adalah tragedi kehilangan sebuah kapalterbang yang penuh misteri dan sehingga kini dunia masih lagi belum mempunyai jawapan yang tepat mengenai kehilangannya. Kesemua penumpang dan anak kapal MH370 telah “dianggap mati tanpa pusara” dan sudah tentu keluarga sahabat handai 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370 termasuklah keluarga bangsa Sarawak kita, saudara Andrew anak Nari akan terus menunggu dalam derita bagi sebuah jawapan yang konkrit atas kehilangan mereka yang tersayang.

Penerbangan MH370 Dalam Kenangan..2 tahun sudah berlalu.


-HB-

bottom of page