LEGENDA NAGA ERAU DAN PUTERI KARANG MELENU
LEGENDA NAGA ERAU DAN PUTERI KARANG MELENU
Kerajaan Kutai merupakan salah satu kerajaan tertua yang mana pendirinya adalah dari kalangan Dayak Borneo. Satu kerajaan yang gah namanya dengan lokasinya adalah terletak di pesisir Sungai Mahakam. Seperti kebanyakan kerajaan-kerajaan purba yang lain, Kerajaan Kutai juga diwarnai dengan cerita legenda kesaktian dan cerita legenda Naga Erau dan Puteri Karang Melenu sinonim cerita legenda oral yang diwariskan dari satu generasi ke generasi di kalangan masyarakat Dayak Borneo.
Al-kisah disebutkan suatu waktu dahulu di sebuah perkampungan Dayak yang terletak tidak jauh dari Sungai Mahakam iaitu di kampung Melanti, Hulu Dusun tinggallah sepasang suami isteri yang bernama Petinggi (suami) dan Babu Jaruma (isteri). Sepasang suami isteri telah melalui banyak ranjau berduri penghidupan berumahtangga namun mereka tetap bahagia walaupun tidak dikurniakan cahayamata.
Pada suatu masa, diceritakan seluruh wilayah di Sungai Mahakam diselubungi dengan cuaca yang tidak baik selama seminggu. Hujan yang berterusan dengan kilat sabung-menyabung serta angin kencang telah membantutkan apa sahaja aktiviti harian yang biasa dilakukan oleh rakyat di Sungai Mahakam. Kerana terlalu lama tidak keluar rumah akhirnya segala keperluan dapur malah jua kayu api turut berkurangan dari sehari ke sehari.
Dan hal ini juga tidak terkecuali kepada Petinggi dan Babu Jaruma yang saban hari keluh kesah menunggu bilakah cuaca akan kembali pulih. Oleh kerana tiada pilihan ditambah lagi isterinya Babu Jaruma sama sekali melarang Petinggi untuk keluar ke hutan kerana bimbang dengan keadaan cuaca yang buruk menyebabkan Petinggi nekad untuk mengambil salah satu kasau atap rumah untuk dijadikan kayu api.
Hendak dijadikan cerita setelah berjaya mendapat kasau atap rumahnya maka bermulalah Petinggi cuba untuk membelah kayu kasau tersebut. Ketika dia sedang asyik membelah kayu itulah beliau tiba-tiba terhenti kerana telah terlihat adanya seekor ulat kecil sedang melingkar di hujung kayu kasau. Dan ulat kecil itu pula memandang tepat kepadanya seumpama memohon belas agar ianya tidak dibunuh.
Timbul perasaan kasihan Petinggi dan tersentuh hatinya melihat pandangan sayu seekor ulat yang kecil ini maka diambilnya lalu diletakkan di dalam satu bekas. Babu Jaruma, isterinya Petinggi juga turut ada sambil kegirangan melihat keletah ulat kecil itu di dalam bekas. Dengan tidak semena-mena pada ketika itulah juga cuaca yang buruk hampir seminggu tiba-tiba reda malah sang mentari sudah mula menampakkan diri.
Cuaca yang baik ini sesungguhnya sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat di Sungai Mahakam pada ketika itu dan Petinggi juga turut memohon keizinan daripada isterinya untuk terus keluar rumah mencari hasil hutan buat penghidupan mereka. Di samping itu, dia juga mentitipkan agar isterinya Babu Jaruma menjaga si ulat kecil baik-baik kerana kedua-duanya sebenarnya terasa terhibur dengan keletahnya.
Hari demi hari, si ulat kecil seperti sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Petinggi dan Babu Jaruma. Si ulat kecil diberikan makanan berupa daun-daun segar yang tumbuh melata di sekeliling rumah Petinggi sendiri. Dan bentuk fizikalnya juga turut berubah dari ulat yang kecil dan semakin besar seolah-olah penampakan seekor naga. Oleh kerana Petinggi dan Babu Jaruma menyayangi si ulat ini maka kedua-duanya tidak pernah bercerita dengan sesiapa pun mengenai kewujudan adanya seekor naga di dalam rumahnya kerana bimbang akan keselamatannya.
Dan sehinggalah suatu malam diceritakan bahawa Petinggi dan Babu Jaruma menerima satu mimpi yang pelik serentak. Dikatakan kedua-duanya di dalam mimpi ini didatangi oleh seorang puteri yang cantik jelita yang memperkenalkan dirinya sebagai si ulat kecil yang sudahpun membesar menjadi seekor naga yang dijagai oleh Petinggi dan Babu Jaruma selama ini. Di dalam mimpi itu juga, si puteri memohon Petinggi dan Babu Jaruma untuk menyediakannya satu tangga agar beliau boleh menyelusur ke bawah kerana selama ini beliau hanya terperok di bahagian bumbung rumah mereka.
Apabila bangun dari tidur di sebelah paginya, Petinggi dan Babu Jaruma bercerita mengenai mimpi pelik mereka antara satu sama lain dan oleh kerana mereka bertanggapan ada kesaktian atas si naga yang dijaga mereka selama hari ini maka diturutkan jua untuk Petinggi membina sebuah tangga daripada buluh. Apabila siapnya tangga tersebut, alangkah terkejutnya mereka apabila si naga itu telah mula menyelusuri dirinya ke bawah rumah mereka.
Dan di ketika itulah, Petinggi dan Babu Jaruma terdengar yang si naga ini telah mula pandai bercakap dengan mereka dan suaranya persis seperti sang puteri yang mendatangi mereka di dalam mimpi. Si naga itu memberitahu kepada sepasang suami isteri bahawa Petinggi dan Babu Jaruma adalah ayah dan ibunya dan si naga amat menyayangi mereka. Si naga juga memohon agar ayah dan ibunya akan sentiasa mengikutinya ke mana sahaja dia merayap. Apabila si naga sudah merayap ke tanah maka hendaklah ayah dan ibunya menabur beras kuning di bahagian tubuhnya dan sekiranya beliau sudah masuk ke air sungai maka wajar untuk ayah dan ibunya mengikuti buih-buih yang muncul di permukaan sungai kelak.
Menurut hikayatnya diceritakan hampir 3 purnama, si naga tidak kemana-mana hanya di dalam menyelusur di dalam rumah ayah dan ibunya. Sehinggalah pada suatu hari, si naga telah merayap ke tanah dengan diiringi oleh ayah dan ibunya. Tanpa disedari masyarakat kampung Petinggi dan Babu Jaruma mengikuti si naga sehingga ke sungai. Sampai di sungai, si naga telah berenang ke hulu dan hilir sungai selama 7 kali berturut-turut. Kemudian si naga berenang ke Tepian Batu dengan memudiki kawasan itu ke kiri dan kanan sebanyak 3 kali.
Selesai itulah barulah si naga menyelam ke dalam sungai dan di ketika itulah dikatakan tiba-tiba angin taufan bertiup kencang dengan kilat sambar menyambar. Petinggi dan Babu Jaruma pula yang berdayung perahu mengikuti buih-buih di permukaan sungai seperti yang dipesan oleh si naga terumbang-ambing di permukaan sungai sehingga mereka terdampar di tepian sungai. Setelah itu keadaan reda namun mereka merasa agak gundah kerana si naga sudah tidak kelihatan malah buih-buih juga sudah tiada.
Melihat keadaan yang reda itu timbullah perasaan sedih dan hiba dihati Petinggi dan Babu Jaruma kerana mereka sudah tahu bahawa mereka telah kehilangan si naga yang dijaga umpama anak sendiri itu. Selama ini penghidupan mereka ceria dengan keletah si naga di rumah mereka dan sekarang si naga sudah lenyap dari mata mereka. Lalu kedua-duanya bertekad untuk pulang sahaja ke rumah mereka di Hulu Dusun dengan hati yang sedih.
Tatkala, Petinggi sudah mula untuk berdayung perahunya dimasa itulah kedua-duanya tiba-tiba melihat adanya timbul buih-buih di permukaan sungai dan di dalam pusaran air tidak jauh daripada perahu mereka ternampak seperti ada kilauan di dalam air. Dan kilauan ini semakin jelas sehinggalah ianya timbul dipermukaan air dan alangkah terkejut kedua-duanya apabila terlihat ada seorang bayi yang diletakkan di atas sebuah gong menjelma dari dalam air. Dan yang menjunjung bayi dan gong itu adalah seekor binatang yang agak pelik yang dinamakan Lembu Swana.
Kemudian, secara perlahan-lahan akhirnya Lembu Swana mula menenggelamkan dirinya ke dasar sungai dan membiarkan bayi perempuan yang diletakkan di atas gong itu di tepi sungai. Pada kala inilah, Petinggi dan Babu Jaruma yang ketakutan menghampiri bayi tersebut dan mereka terlalu girang kerana mereka pasti inilah jelmaan si naga atau si ulat kecil yang dijaga mereka selama ini. Tanpa berfikir panjang mereka membawa bayi berserta gong itu pulang ke kampung mereka dan sejak itu dipelihara umpama menatang minyak yang penuh kerana itulah cahayamata mereka yang satu-satunya.
Sesuai dengan mimpi pelik mereka dahulu, yang mana di dalam mimpi itu si jelmaan naga memperkenalkan dirinya sebagai seorang puteri yang bernama Puteri Karang Melenu, maka itulah nama yang diberikan kepada bayi tersebut. Dan menurut cerita legenda di Kutai ini ada mengaitkan bahawa Puteri Karang Melenu adalah seorang gadis yang cantik malah pandai di dalam serba serbi termasuk lincah dan bijak menyusun strategi peperangan. Beliaulah permaisuri kepada raja Kutai Kertanegara yang pertama iaitu yang bernama Aji Batara Agung Dewa Sakti. Atas dokongan Puteri Karang Melenu inilah kekuatan Aji Batara Agung Dewa Sakti menjadi lebih kuat malah generasi-generasi pewaris mereka juga bukanlah sembarangan sehingga memungkinkan Kerajaan Kutai gah namanya mendominasi wilayah Borneo suatu waktu dahulu.
Memang indah perjalanan cerita legenda Naga Erau dan Puteri Karang Melenu ini yang menjadi sastera rakyat oral di kalangan masyarakat Dayak di Pulau Borneo. Ini sudah cukup membuktikan bahawa Pulau Borneo juga tidak pernah kurang dengan cerita legenda yang hebat dan menarik Cuma malangnya tidak begitu diwar-warkan kepada dunia.