PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI MASYARAKAT KAJANG DI BALUI, 1863
PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI MASYARAKAT KAJANG DI BALUI, 1863
Kira-kira 150 tahun yang lalu, sebuah peristiwa telah berlaku di Sarawak yang catatannya dalam sejarah ingin diperbetulkan penulis. Ini bertujuan untuk menegakkan keadilan untuk orang asal dimana sejarah dari sudut pandangan mereka dinafikan sejak berkurun lamanya.
Peristiwa ini adalah mengenai kolonialisme yang merupakan detik yang paling memalukan bagi umat manusia, kerana dengan kolonialisme maka terjadilah eksploitasi, penaklukan, penghapusan kaum dan pembunuhan beramai-ramai.
Terlalu berat usaha untuk membongkarkan sistem imperalisme global yang telah berkembang selama lebih 500 tahun ke atas masyarakat orang asal. Walaubagaimanapun, impak kolonialisme terhadap masyarakat orang asal seluruh dunia wajar disoroti, kerana sejarah mereka akan kehilangan ditelan zaman.
Bencana kolonialisme boleh dilihat menerusi suatu peristiwa yang melibatkan masyarakat Kajang di Sarawak pada abad ke-19. Sejarah telah merakam peristiwa ini sebagai ‘Ekspedisi Besar Kayan’. Namun bagi kebanyakan orang yang hidup di Balui (kawasan di utara Sungai Rejang), peristiwa ini terpahat sebagai Tragedi Pembunuhan Beramai-ramai Kajang.
Kisah bermula dengan kehadiran Robert Burns (cucu kepada pemuisi terkenal di Scotland) seorang pedagang British di Borneo pada ketika itu. Burns merupakan warga England pertama menjejakkan kaki ke Rejang, kawasan masyarakat Kayan, pada tahun 1847. Burns adalah seorang lelaki yang angkuh dan hanya berminat dalam aktiviti yang menghasilkan wang.
Pada tahun 1850, tiga orang pemimpin masyarakat Kayan telah mengutus surat kepada Raja Putih, James Brooke bagi menyatakan hasrat mereka berdagang dengan Robert Burns. Bagaimanapun, mereka mendapati Burns bukan sahaja telah merampas isteri-isteri orang Kayan, malah telah memerintahkan puak-puak setempat agar membunuh sesiapa sahaja yang datang ke hulu sungai itu.
Brooke telah membalas surat itu dengan menyatakan tiada seorang pun warga England yang berkelakuan buruk akan mendapat perlindungan daripada beliau. Burns menetap di Labuan dan kadangkala membuat lawatan perdagangan ke kawasan pedalaman.
Pada bulan September 1851, Burns keluar ke pantai utara Borneo bersama Kapten Robertson dari kapal Dolphin untuk menjual senjata. Setibanya mereka di Teluk Marudu, Burns dan Robertson bertengkar dan ketika hendak berlayar pulang ke Labuan, mereka diserang lanun. Burns meninggal dunia dalam serangan tersebut.
Bulan kemudiannya, anak saudara Brooke, Charles Brooke telah mengikuti sebuah ekspedisi dengan Admiral Sir Francis Austen untuk membalas dan menghukum lanun-lanun yang telah menyerang kapal Dolphin. Dengan itu, adik lelaki penulis Jane Austen telah membela kematian cucu pemuisi Robert Burns!
Sebelum itu, pada bulan April 1851, Charles telah berlayar ke Sungai Skrang, Saribas dan kemudian ke Sungai Rejang serta Sungai Kanowit dimana beliau telah mendirikan sebuah kubu.
Kubu tersebut diletakan di bawah kawalan Abang Durop, saudara Datuk Patinggi Sarawak yang kemudiannya telah digantikan oleh seorang pegawai British bernama Henry Steele. Beliau merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan pada tahun 1852.
Masalah besar di Sarawak mula timbul pada 25 Jun 1859 apabila Charles Fox dan Henry Steele, dua orang pegawai Brooke di Bahagian Ketiga telah dibunuh di kubu Kanowit. Tokoh-tokoh utama di sebalik pembunuhan para pegawai Brooke itu adalah dua ketua masyarakat Melanau, Sawing dan Sakalai.
Charles Brooke yang merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kerajaan Brooke di Sarawak sewaktu ketiadaan ayah saudaranya bertindak dengan berang. Setelah menyiasat kejadian di Kanowit, Charles kembali ke Kuching dan bersumpah untuk membalas pembunuhan pegawai-pegawainya.
Pada akhir Julai 1859, Charles kembali ke Rejang lalu menghukum mati 10 orang tempatan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Hukuman yang sama turut dikenakan ke atas lima orang pegawai yang telah meninggalkan tempat tugasan mereka di Kubu Kanowit sewaktu kejadian.
Ketua pemberontak Sawing dan Sakalai serta para pengikut Melanau mendirikan benteng di Sungai Kabah, tidak jauh dari Kanowit. Charles Brooke telah melancarkan serangan ke atas mereka dengan bantuan masyarakat Iban tempatan. Rumah panjang berkubu masyarakat Melanau Kanowit diserang dengan banyak kematian menimpa kedua-dua belah pihak.
Namun Sawing dan Sakalai berjaya melarikan diri ke arah kawasan Kayan di hulu Sungai Rejang. Charles Brooke yakin orang Kayan adalah kaum yang bermegah dan pembelot serta perlu diberikan pengajaran. Beliau berazam untuk menghukum orang Kayan kerana melindungi pembunuh-pembunuh pegawai beliau.
Sejurus kembali daripada lawatan singkat ke Britain, Charles melancarkan Ekspedisi Besar Kayan pada 1863. Ekspedisi ini merupakan tindakan ketenteraan paling besar yang pernah dilakukan oleh keluarga Brooke. Angkatan Charles terdiri daripada 15,000 orang yang dimuatkan ke dalam 500 perahu besar.
Kebanyakan orang yang terlibat dalam ekspedisi ini terdiri daripada orang Iban. Ekspedisi ini menembusi lebih dari 320km ke hulu sungai dengan melepasi jeram-jeram Pelagus dan Bakun. Walaupun saiz angkatan penyerang yang dan jarak yang diliputi adalah luas tetapi “Ekspedisi Besar Kayan” hanya menelan kos sebanyak £689 dalam mata wang tempatan.
Ekspedisi ini tidak bertembung dengan masyarakat Kayan, tetapi telah mengakibatkan banyak kematian dan kemusnahan di kalangan orang Kajang (orang Sekapan, Kejaman, Lahanan dan juga Melanau) yang tinggal bertaburan di hulu sungai. Ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh.
Ekspedisi ini tidak berjaya menangkap Sawing dan Sakalai yang pada ketika itu mendapat perlindungan daripada orang Kayan yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Mereka berlindung bersama seorang lelaki bernama Talip yang juga dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele.
Sebelum pulang ke Kuching, Charles Brooke telah memberi sebuah peluru meriam dan sehelai bendera Sarawak kepada salah seorang daripada orang tawanan mereka dengan arahan untuk menyerahkannya kepada Oyang Hang, pemimpin masyarakat Kayan.
Charles mahu pemimpin Kayan itu menyerahkan pembunuh-pembunuh Fox dan Steele kepadanya. Bendera Sarawak bertindak sebagai jaminan keselamatan terhadap wakil-wakil Kayan untuk tiba di kubu Kanowit. Jika tidak, ia akan dianggap bahawa masyarakat Kayan menerima peluru meriam yang merupakan simbol peperangan.
Tidak lama kemudian, sebuah rombongan Kayan tiba di kubu Kanowit mengibarkan bendera Sarawak bersama dengan kepala Talip dan Sakalai yang dipenggal. Mereka tidak dibunuh oleh orang Kayan kerana tindakan ini bercanggah dengan adat yang tidak akan mencederakan tetamu mereka.
Talip dan Sakalai mungkin telah dibunuh oleh kaum Iban meskipun hal ini tidak pernah dibuktikan dalam sejarah. Sawing telah berjaya melarikan diri namun ditangkap dan diserahkan kepada kerajaan pada hujung tahun yang sama.
Masyarakat Kajang telah menjadi mangsa utama dalam ‘Ekspedisi Besar Kayan’ pada tahun 1863, dan mereka melihat ini sebagai tragedi akibat membantu saudara-mara dan rakan taulan dari Kanowit yang telah membunuh Fox dan Steele. Tiada siapa yang mengetahui setakat mana serangan yang dibiayai kerajaan ini telah mengganggu taburan penduduk di bahagian utara Sungai Rejang.
Charles Brooke menyesali kekejaman pahlawan-pahlawan Ibannya, namun walaupun jika dia telah dimaklumkan, ia barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Matlamat utama beliau ketika itu adalah untuk memastikan kelangsungan pemerintahannya di Sarawak. Beliau percaya kepentingan membela kematian Fox dan Steele bagi mengajar penduduk di sekitar Sungai Rejang bahawa penentangan terhadap kerajaan akan membawa kepada serangan balas yang tidak pernah ditempa dalam sejarah negara itu.
Keluarga Brooke menganggap ‘Ekspedisi Besar Kayan’ sebagai sebuah fenomena dalam proses pembinaan negara. Menurut sejarah lisan orang Kayan dan Kajang, pertumpahan darah yang berlaku merupakan balasan mistik dek perlakuan zina Robert Burns. Mereka percaya kelakuan buruk itu akan mengakibatkan bencana alam yang meragut nyawa sekiranya pesalah tidak dihukum dengan sewajarnya.
Orang Kayan mahu membunuh Burns tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Maka dengan itu, mereka membunuh Fox dan Steele kerana darah perlu mengalir untuk menyanggah balasan mistik ini. Apatah lagi Steele merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan selepas Burns menetap bersama mereka.
Orang Kayan mahukan perbicaraan setempat untuk Burns. Menurut adat mereka, beliau akan diminta untuk memberi secuil darah dan membayar denda dalam bentuk manik dan penyembelihan seekor babi hutan – namun permintaan ini ditolak oleh Raja Putih.
Hatta, akibat kekurangan sensitiviti terhadap kepercayaan dan adat tempatan, pembunuhan Fox dan Steele telah berlaku. Tambahan lagi, tiada penyiasatan rasmi dijalankan ke atas pembunuhan kedua-dua pegawai tersebut, tidak seperti pembunuhan J.W.W. Birch di Perak.
Lagipun, para Raja Putih yang dianggap sebagai pemerintah bertamadun di Sarawak juga merupakan golongan penjajah yang ingin memerintah dan membina sebuah sistem pentadbiran yang berlainan untuk negeri Sarawak yang baru diasaskan.
Nota: Dipetik dari terjemahan makalah “Enter Imperialism” tulisan Shanthi Thambiah, seorang ahli antropologi sosial di Universiti Malaya yang diterbitkan di Malaysia History.net pada 13 November 2011. Diterjemahkan oleh Maryam Lee pada 9 Oktober 2015.