FROM OYA WITH LOVE
FROM OYA WITH LOVE
Oya merupakan salah satu daerah kecil yang berada di Bahagian Mukah, Sarawak. Lokasinya terletak kira-kira 3 jam perjalanan dari Bandar Sibu. Kebanyakan penduduk Oya merupakan daripada etnik Melanau yang merupakan salah satu etnik yang membentuk kepelbagaian etnik dan agama di Sarawak. Oya Melanau juga ada yang beragama Islam dan Kristian serta beragama pagan.
Dan sumber ekonomi bagi masyarakat Oya adalah sebagai nelayan mahupun menjalankan aktiviti pertanian. Seperti kebanyakan daerah-daerah kecil di Sarawak, Oya juga tidak terkecuali dengan suasana tenang serta sikap ramah masyarakatnya yang sentiasa menyambut tetamu dengan senyuman. Dan yang pasti, Oya juga masih lagi mendamaikan jauh dari hiruk pikuk dunia kota yang membingitkan.
Setakat ini belum ada dokumentasi yang kukuh di dalam memperkatakan bagaimana Oya ini mendapat nama. Dan menurut masyarakat setempat yang mendiami Oya, nama Oya ini sebenarnya diambil bersempena dengan nama sebuah sungai yang mengalir di antara Stapang, Dalat dan Oya sendiri. Ianya merupakan salah satu nadi kepada penduduk Oya untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Dan dari nama Sungai Oya atau Batang Oya inilah kawasan sekitarnya dinamakan Oya sehingga sekarang.
Seperti kebanyakan wilayah-wilayah Sarawak yang dahulu, Oya juga merupakan salah satu tanah kuripan kepada pembesar mahupun kerabat diraja kepada Kesultanan Brunei Darussalam. Di ketika itulah suatu waktu dahulu Oya adalah dibawah pentadbiran saudara kepada Sultan Brunei yang bernama Pengiran Mohammad Ali atau Mantali. Beliaulah yang ditugaskan untuk menjaga segala pembangunan dan juga masyarakat Oya suatu waktu dahulu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa banyak perkaitan sejarah antara Oya dengan kewujudan Sungai Kut atau Terusan Kut yang dibina sekitar tahun 1780an. Terselit satu cerita sejarah bagaimana Jilag iaitu ketua kepada penduduk Kampung Medong yang terletak di pinggir Sungai Oya membina Terusan Kut untuk mengelak daripada sebarang pergaduhan dengan Pengiran Mantali.
Menurut ceritanya penduduk kampung Medong akan melalui Batang Oya untuk pergi ke laut menangkap ikan dan juga pergi ke Sibu untuk menjual hasil tangkapan serta hasil pertanian mereka seperti tepung sagu, topi, bakul dan tikar. Untuk sampai ke Sibu mereka perlu keluar ke laut melalui Batang Oya dan kemudian masuk semula ke sebuah sungai lagi yang dinamakan Sungai Igan (Batang Igan).
Hubungan Medong dan Oya diceritakan sangat baik sehingga jika ada musuh yang cuba untuk menyerang Medong maka penduduk Oya akan berganding bahu untuk menghentikan mereka sebelum sampai ke Medong.
Jilag, ketua penduduk Medong dikatakan sangat bijak dan dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik dan adil. Bukan setakat dari penduduk dari Kampung Medong saja yang meminta nasihat daripada beliau malah juga penduduk di Oya. Apabila mendengar kisah kehebatan dan kebijaksanaan Jilag ini maka Matali berasa kurang senang dan merasakan reputasinya sebagai ketua di Oya tergugat.
Pada suatu hari beliau telah mengatur rancangan iaitu beliau mengarahkan pengikutnya untuk meletakkan halangan berbentuk tali rotan dan beberapa bilah lembing di satu tempat di Batang Oya. Jadi dengan berbuat demikian, barangsiapa dari Kampung Medong yang ingin melepasi halangan tersebut haruslah memberikan sejumlah ufti yang berbentuk emas kepadanya.
Jadi penduduk Medong yang tidak tahu tentang halangan tersebut telah turun ke laut seperti biasa namun mereka terpaksa berpatah balik apabila sampai pada halangan tersebut. Hal ini terus disampaikan kepada ketua mereka iaitu Jilag. Jilag amat hairan mengapa ada halangan yang harus dibuat sedangkan selama ini hubungan Oya dan Medong amat baik sekali.
Dengan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang ketua, keesokannanya Jilag telah menghantar utusan ke Oya dengan berjalan kaki menyusuri tebing sungai untuk bertemu Pengiran Mohammad Ali dan bertanya tentang perkara tersebut. Pengiran Mohammad Ali telah memberi penjelasan kewajaran tindakannya kepada utusan Jilag dan pulanglah rombongan Jilag ke Medong.
Kemudian utusan Jilag telah menyampaikan hasil perbincangan mereka dengan Pengiran Mohammad Ali yang tetap berdegil untuk meneruskan halangannya. Perkhabaran ini sudah tentu tidak menggembirakan Jilag dan penduduk di Medong kerana itulah sahaja jalan yang harus dilalui jika hendak menjual dan membeli keperluan mereka ke Sibu. Selain itu ufti berbentuk emas adalah sesuatu yang amat membebankan bagi penduduk di Medong.
Melihat kepada masalah besar yang sedang dihadapi penduduk Medong, maka Jilag pun mengadakan mesyuarat dengan orang-orang tua di kampung tersebut. Beliau bertanya jika ada sesiapa tahu jalan lain atau sungai yang dapat dilalui untuk pergi ke laut. Seorang tua telah tampil memberitahu bahawa ketika dia muda-muda dulu pernah terjumpa laluan kecil ketika berburu. Lebih kurang ½ hari perjalanan akan terjumpa parit kecil yang mengalir ke Sungai Igan katanya.
Bertitik tolak daripada cerita orang tua Medong ini maka Jilag pun mengarahkan beberapa penduduk Medong untuk membuat penyelidikan tentang kebenaran cerita tersebut. Maka sekumpulan lelaki telah pergi menyusuri laluan kecil sehingga mereka berjumpa sebatang sungai.
Diceritakan dengan kebijaksanaan dan kesungguhan penduduk Kampung Medong akhirnya mereka berjaya menemui satu sungai yang boleh menembusi laluan sehingga ke batang Igan. Dan sejak daripada itu tiada penduduk kampung Medong yang harus melalui Batang Oya dan mereka hanya menggunakan jalan alternative ke Batang Igan dan seterusnya ke Sibu untuk menjual hasil ekonomi mereka.
Apabila tiada penduduk Kampung Medong yang menggunakan Batang Oya maka ini telah menimbulkan kehairanan kepada Pengiran Mohammad Ali lalu beliau sendiri berserta dengan pengikutnya mengangkat halangan dan pergi ke Medong untuk untuk melihat apa yang berlaku. Sampai di Medong, Jilag telah menyambut Pengiran dengan mesra dan menjamu makanan kepada mereka. Sewaktu menjamah hidangan inilah Jilag memberitahu kepada Pengiran Mohammad Ali tentang apa yang sudah penduduk Medong usahakan iaitu membina sebuah terusan.
Mendengar cerita itu, maka dengan perasaan hormat Pengiran Mohammad Ali kepada Jilag semakin menebal kerana memang terbukti sesungguhnya kebijaksanaan Jilag yang mampu untuk mengelakkan pertempuran hanya kerana soal laluan sungai telah membuktikan bahawa Jilag adalah seorang ketua yang bijak dan adil. Sejak dari itu dikatakan hubungan Oya dan Medong kembali erat malah lebih erat daripada sebelumnya.
Itu merupakan alkisahnya Oya di dalam lipatan sejarah sewaktu menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei dan Oya juga sudah tentu mempunyai pertalian sejarah yang unik sewaktu dibawah pemerintahan Brooke selama 100 tahun. Oleh kerana Oya juga merupakan antara salah satu wilayah yang kepadatan penduduknya sejak azali lagi adalah di kalangan warga Melanau seperti juga Dalat, Igan, Mukah dan banyak lagi maka Oya juga turut dikenali sehingga sekarang dikenali sebagai “Negeri Orang Melanau”.
Maka kerana perkaitan itulah, Oya juga turut sama terbabit di dalam satu perang saudara yang dikenali sebagai Perang Saudara Mukah 1858. Perang saudara Mukah ini berlaku antara Pengiran Mersat iaitu seorang Gabenor Mukah yang dilantik oleh Kerajaan Kesultanan Brunei dengan seorang pemimpin tempatan yang bernama Pengiran Matusin. Perang saudara 1858 ini sebenarnya boleh membawa keburukan kepada industri sago dan akhirnya James Brooke dikatakan masuk campur apabila Pengiran Matusin sendiri yang meminta beliau berbuat demikian.
Setelah berjaya meredakan perang saudara tersebut maka pada tahun 1861, James Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk memberikannya wilayah Mukah bersama-sama dengan kawasan Upper Rejang, Mukah, Oya, Tatau dan Sungai Bintulu kepadanya. Tindakan Sultan Brunei memberikan wilayah ini kerana dikatakan bahawa di sepanjang Perang Saudara Mukah ini berlangsung, baginda tidak pernah mendapat apa-apa penghasilan. Jadi apabila adanya James Brooke yang mahu memberikan imbuhan setiap tahun sebanyak $4,500 ianya adalah satu yang dinantikan.
Dan sejak itulah Oya juga turut menjadi pembentuk sebuah Negara yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Brooke selama 100 tahun yang kemudiannya diserahkan kepada menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo dan seterusnya menjadi sebahagian daripada wilayah Mukah, Sarawak, Malaysia apabila Sarawak membentuk Malaysia bersama-sama Sabah, Singapura dan Malaya pada tahun 1963.
Inilah sekelumit sejarah di dalam kita cuba mengenal sebuah lagi daerah kecil yang sudah tentu sinonim dengan rakyat Sarawak. Oya masih lagi sebuah pekan kecil yang sehingga sekarang masih lagi memerlukan sentuhan pembangunan bagi kesenangan penduduk-penduduknya. Semoga ianya tidak dilupakan di dalam arus kemodenan Sarawak Bumi Kenyalang.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.