ADAT BEBELIAN ETNIK IBAN SEBUYAU
ADAT BEBELIAN DI DALAM PERUBATAN TRADISIONAL ETNIK IBAN SEBUYAU
Sarawak Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik dan budayanya yang sentiasa dilestarikan sehingga ke hari ini. Etnik Iban misalnya merupakan etnik majoriti di Sarawak dan apa yang diketengahkan di dalam artikel ini adalah satu adat tradisi yang pernah dijunjung suatu ketika dahulu iaitu satu adat yang dikenali sebagai Adat Bebelian. Adat Bebelian ini pula merupakan satu adat tradisi yang diamalkan di dalam ilmu perubatan tradisional etnik Iban Sebuyau yang berada di kawasan Lundu, Kuching, Sarawak.
Adat Bebelian merupakan satu upacara adat yang dilestarikan oleh kebanyakan etnik Iban di Sarawak dan ianya mungkin berbeza mengikut penempatan mereka. Walau bagaimanapun, tujuan adat bebelian ini diadakan adalah sama iaitu ianya untuk mengubati pesakit yang didatangi mimpi buruk, sakit sebayan (merindui orang yang sudah mati), sakit antu (hantu roh), sakit dikacau hantu syaitan sebayan, sakit berserara serta pelbagai lagi penyakit yang sukar diubati oleh kaedah perubatan moden.
Secara tradisinya, adat bebelian mempunyai 3 bahagian penting sebelum kemuncak upacara. 3 bahagian itu adalah:
Peringkat Pertama; “Bercunting” - Ianya merupakan melukis menggunakan kapur putih di sebelah kiri dan kanan dahi yang sakit.
Peringkat Kedua; “Berdukun” - Ianya adalah satu proses perubatan dengan menggunakan khidmat dukun bagi menyembuhkan penyakit namun kerana sakit sudah sukar diubati maka hendaklah dijalan peringkat yang ketiga.
Peringkat Ketiga; “Betubah” - Di dalam peringkat ketiga ini selalunya penggunaan beberapa alat musik tradisional etnik Iban turut terlibat. Alat musik tradisional seperti gendang panjang, gong, engkerumung, canang serta cara hidangan sederhana akan digunakan. Cara hidangan sederhana itu adalah konsep 3 dulang iaitu sebagai hantaran kepada “orang semandin” iaitu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Hanya setelah ketiga-tiga peringkat ini gagal dan tidak mampu menyembuhkan si pesakit maka barulah Adat Bebelian Besar akan dijalankan. Dan disinilah bermulanya satu adat yang unik berdasarkan apa yang dilestarikan oleh Iban Sebuyau yang dikatakan mempunyai perbezaan dengan etnik Iban yang lain seperti Iban Saribas, Rajang atau Iban Remun.
Dalam Adat Belian, masyarakat Iban Sebuyau lazimnya menggunakan Manang (Bomoh) untuk mengubati si pesakit. Jika penyakit tersebut didapati sukar untuk bomoh ubati secara seorang maka ia mempunyai pembantu iaitu bomoh yang kedua. Tetapi mengikut dulang (hantaran) yang digunakan.
Di dalam kisah Manang yang diperturunkan secara oral oleh orang tua-tua Iban Sebuyau, dikatakan bacaan mentera dilafazkan di dalam dalam bahasa melayu untuk menyampaikan hasrat beliau kepada orang kedua (sitan,sebayan atau semadin). Untuk maklumat semua bacaan mentera didahulukan dengan Salam (bahasa langit) iaitu bagi memohon pertolongan daripada “Orang Langit” (Goddes Of Gading).
Selain itu, penggunaan Dulang mempunyai makna yang tertentu dan ianya seperti sinonim dengan makna penggunaan Dulang di dalam adat dan tradisi Melayu. Dulang yang dimaksudkan adalah hidangan untuk Semadin (orang bunian,syaitan atau hantu). Dulang ini mempunyai beberapa fungsi serta angka hidangan tersendiri. Dulang tiga dan lima adalah dulang biasa yang mana lazimnya untuk kegunaan upacara betubah serta penyakit biasa (senang diubati).
Namun sekiranya penggunaan Dulang 7 dan angka angka ganjil yang seterusnya maka dikatakan penyakit si pesakit sukar diubati kerana semangat roh sudahpun jauh dibawa oleh semadin. Pada ketika inilah acara belian besar tujuh dulang dilakukan. Hidang tujuh dulang adalah untuk memberi makan ataupun hidangan kepada Semadin (orang bunian). Yang diisi di dalam hidangan adalah seperti kuih penyaram, mayang kelapa, bedak muka amoi, sireh pinang serta bertih jagung yang di goreng tanpa minyak serta seterusnya beberapa alat hantaran kepada Semadin. Ianya adalah alat solek, kain sarung dan sikat rambut.
Dalam acara tujuh dulang ini, terdapat alat-alat kelengkapan seperti Balai Rong (Rumah semangat), kebuk (tempayan sederhana), sangkuh (tombak), peti (tempat duduk bomoh) serta persembahan untuk Semadin (bunian) iaitu pencak. Pencak ini merupakan persembahan yang dikendalikan oleh dua wakil iaitu orang yang lebih tua yang harus mempunyai semangat yang kuat serta mampu bermain senjata pedang. Selain itu, satu miniatur sampan buatan juga disediakan dan di dalam sampan buatan ini akan diisikan patung kecil. Ianya simbolik cerita pelayaran mereka untuk mengambil semangat si pesakit tersebut.
Dari sinilah Manang itu nanti akan menjelajah dunia mistik yang mana jika Manang itu pengsan maka ianya akan dibantu oleh pembantu beliau yang dikenali dengan nama Kebayu. Tugas kebayu adalah untuk memberitahu kepada manusia biasa atau keluarga terdekat si pesakit tentang apa yang berlaku. Beliaulah orang perantaraan antara Manang yang sudah berada di alam mistik dengan manusia biasa.
Upacara Adat Bebelian ini dilakukan sehari semalam jika mengikut Tujuh Dulang. 2 acara yang terakhir adalah memecahkan mangkuk kebuk serta memancung mayang pinang. Selepas itu Manang akan memberi tempoh berdiam iaitu selama tiga hari tanpa ada apa apa ganguan. Kemudian Manang akan memilih beberapa orang kampong untuk menghantar semangat pesakit ke sungai yang mengalir melalui sampan buatan. Di dalam sampan buatan akan diletakkan 7 warna pulut dan 7 warna bunga.
Pantang larang semasa tempoh berdiam ini adalah dilarang menjerit, menyanyi, membesarkan suara, alat komunikasi tidak dibenarkan terutama televisyen mahupun radio. Jika keluarga pesakit tersebut ingin memasuki rumah mereka hanya pintu belakang yang harus digunakan. Selain itu oleh kerana ianya merupakan antara upacara yang besar-besaran maka penglibatan seluruh kampung adalah diperlukan. Pada ketika inilah juga, kanak-kanak tidak dibenarkan untuk keluar bermain di luar rumah kerana mereka terlalu terdedah dengan lemah semangat. Hanya selepas Hari Belian tamat barulah segalanya kembali normal.