top of page

PIPUS @ PIPUH


PIPUS @ PIPUH

Jika Orang Bugis terkenal dengan makanan burasak yang sering dijadikan bekalan untuk mereka membelah lautan suatu waktu dahulu, masyarakat Melanau juga tidak kurang hebatnya dengan makanan tradisi. Ini kerana masyarakat Melanau juga antara satu kumpulan etnik yang turut terkenal di dunia lautan samada untuk mengembara atau menangkap ikan di lautan yang luas.

Pipus atau Pipuh berdasarkan kepada dialek Melanau bahagian mana penuturnya merupakan sejenis makanan tradisi etnik Melanau Sarawak. Ianya sinonim dengan laut kerana sering menjadi bekalan untuk etnik Melanau yang menangkap ikan di lautan luas. Selain daripada itu, ianya juga merupakan makanan alternatif ketika musim tengkujuh. Pada masa itu memang agak sukar untuk mendapat ikan laut segar jadi pipus dijadikan santapan keluarga bagi menggantikan ikan laut segar.


Makanan tradisi ini dikatakan sudah wujud lama di dalam masyarakat Melanau Sarawak seperti di Mukah, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri. Asasnya adalah daripada ikan yang sudah diasingkan isi ikan daripada tulang secara manual. Bukan senang untuk membuatnya kerana sekiranya jenis ikan itu adalah daripada jenis ikan yang mempunyai tulang yang banyak maka ianya perlu diayak. Kemudian barulah isi ikan ini akan dimasukkan ke dalam daun ‘iseng’ yang diperolehi dari hutan di sekitar kawasan penempatan Melanau untuk dijadikan pembalutnya.

Kebiasaannya daun ‘iseng’ yang hendak dijadikan pembalut adalah daun yang sudah dikeringkan terlebih dahulu. Setelah proses balutan selesai maka barulah pipus itu mula disalai dengan menggunakan api yang dijaga kerana haba yang panas itu memainkan peranan yang penting untuk keseragaman masaknya. Bagi menghasilkan pipus yang sempurna, dikatakan ianya mesti disalai berjam-jam lamanya dengan membalikkannya mengikut urutan yang sempurna. Jadi ianya bukanlah satu proses yang mudah sebaliknya menuntut kesabaran daripada pembuatnya.


Jenis ikan untuk pembuatan pipus juga sebenarnya mempunyai jenis yang tersendiri. Jenis ikan yang biasa digunakan bagi menghasilkan pipus adalah seperti ikan parang atau Parang Yeng bagi masyarakat Melanau. Amat jarang sebenarnya pipus diperbuat daripada ikan tenggiri, bawal ataupun tongkol. Jenis ikan parang ini menurut masyarakat Melanau boleh menghasilkan pipus yang bermutu tinggi sesuai dengan isinya.


Pipus apabila sudah masak boleh bertahan selama beberapa bulan dan dikatakan kelazatan memakannya adalah sewaktu ianya panas-panas. Kebiasaannya ianya dimakan bersama sagu, nasi atau bubur.

Dahulu pipus mungkin sejenis makanan tradisional hanya untuk santapan atau bekalan keluarga ke laut namun sekarang pipus boleh juga didapati di pasar tamu seperti di Pasar Mukah yang harga jualannya antara RM8 hingga RM12 mengikut saiz pipus itu sendiri. Bagi masyarakat Melanau ianya biasa tetapi bagi mereka yang baru mengenalinya sudah tentu ianya antara menu tradisi yang wajib rasa.



bottom of page