top of page

KUIL HINDU TERTUA DI SARAWAK


Rupa bentuk kuil etelah dijalankan kerja-kerja pemuliharaan.

Keadaan kuil ketika ditemui semula pada tahun 1968.

Keadaan kuil seterlah dibersihkan dan diwujudkan semula pada tahun 1970.


KUIL HINDU TERTUA DI SARAWAK

– Kuil Sri Maha Mariamman, Gunung Serapi, Matang


Kaum India di Sarawak sememangnya jarang-jarang dilihat kerana jumlah mereka yang sedikit iaitu mereka merupakan kaum minoriti di kalangan masyarakat Sarawak itu sendiri. Hakikatnya kaum India di Sarawak juga mempunyai pensejarahan mereka yang unik yang mungkin tidak sama dengan keberadaan kaum India di mana-mana negeri di Malaysia yang lain.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di kaki Gunung Serapi, Matang terdapat satu kuil Hindu yang merupakan kuil hindu tertua di Sarawak. Dan ianya pernah hilang sehingga tidak diketahui langsung kewujudannya oleh masyarakat India mahupun keseluruhan rakyat Sarawak suatu waktu dahulu sehinggalah ianya ditemui semula secara tidak sengaja tahun 1968.


Keunikan kuil ini sebenarnya mempunyai perkaitan dengan sejarah kedatangan masyarakat India langsung dari Negara India ke bumi Sarawak sewaktu pemerintahan Brooke lagi. Kedatangan masyarakat India ini bermula pada ketika pemerintahan Rajah ke-2 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke.


Pada mulanya masyarakat India daripada Selatan India telah dibawa masuk ke Sarawak sebagai buruh. Pada masa itu lebih kurang 1,000 orang masyarakat India daripada negeri-negeri di Selatan India seperti Tamil daripada Madras, Malyalees daripada Kerala dan Telegu daripada Andhra Pradesh telah dibawa masuk ke Sarawak bagi menjadi buruh di kawasan penanaman teh dan kopi di kaki Gunung Serapi, Matang, Kuching Sarawak.


Ada juga yang telah ditempatkan untuk menjadi buruh-buruh di ladang ternakan lembu Kerajaan Sarawak Kingdom pada masa itu. Kedatangan pertama masyarakat India ini merupakan masyarakat India yang bukan muslim iaitu beragama Hindu.


Ladang teh dan kopi ini merupakan satu ladang yang berskala besar dan menjadi antara penyumbang ekonomi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Dan faktor cuaca yang sejuk di kaki Gunung Serapi sudah tentu menjadi antara tempat yang paling sesuai untuk penanaman teh secara besar-besaran pada waktu itu.


Oleh kerana faktor cuaca yang nyaman dan sejuk ini jugalah yang menjadi penyumbang kepada Rajah Charles Brooke membina sebuah banglo di kaki Gunung Serapi yang dinamakan “Vellambrosa” pada tahun 1867. Ini kerana Rajah Charles Brooke dan keluarganya gemar ke banglo ini untuk berehat kerana ianya seumpama mereka kembali ke Englang, iaitu kampung halaman mereka yang mempunyai cuaca yang nyaman dan sejuk.


Dan kerana adanya masyarakat India yang ramai di Matang pada waktu itu maka tidak menghairankan masyarakat India Telegu yang rata-ratanya menjadi buruh di ladang teh dan kopi tersebut telah membina sebuah kuil di lokasi Matang pada tahun 1860. Namun begitu sekitar tahun 1912 apabila Ladang Teh sudah tidak beroperasi akhirnya kuil ini terus dilupakan dan menjadi sebahagian daripada hutan di Matang yang menyebabkan ramai yang tidak mengetahui kewujudannya.


Sekitar tahun 1968, diceritakan seorang pemburu dari masyarakat Bidayuh telah pergi berburu di kawasan tersebut dan akibat cuaca ribut secara “tidak sengaja” telah menemui sebuah tinggalan kuil lama. Beliau dikatakan amat tertarik dengan satu arca berupa patung gajah yang kemudiannya beliau bawa pulang ke kampung halamannya.


Namun 2 hari selepas itu, pemburu Bidayuh itu telah meletakkan semula patung gajah tersebut ke tempat asalnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sejak itu, penemuan dan kewujudan Kuil Sri Maha Mariamman di kaki Gunung Serapi menjadi sebutan masyarakat di Kuching dan pada 4 Disember 1970, masyarakat India beragama Hindu di Sarawak telah membaiki apa yang semampunya untuk mengwujudkan kembali kuil yang penuh bersejarah ini sehinggalah sekarang.


Sekitar tahun 2007, melihat kepada bernilainya sejarah kuil ini dalam sinonimnya dengan masyarakat India Sarawak maka ianya telah menjalani kerja-kerja pemuliharaan oleh Kerajaan Sarawak dengan kos sebanyak RM500,000. Dan sejak itu Kuil Sri Maha Mariamman terus menjadi antara nadi penganut agama Hindu di Sarawak amnya dan Kuching khususnya.


Selain daripada itu, ianya juga menjadi antara tempat yang wajar dilawati bagi setiap pelancong yang menggemari tempat-tempat bersejarah di Sarawak.


bottom of page