PERAYAAN QING MING
PERAYAAN QING MING
QING MING atau Ching Ming atau Ceng Beng adalah antara salah satu perayaan yang sangat unik di kalangan semua perayaan-perayaan tradisi masyarakat Cina. Walaupun sudah dipraktiskan sejak lebih 2500 tahun dahulu, namun perayaan ini tetap sentiasa dilestarikan dan dijaga adab tradisinya.
Perayaan Qing Ming adalah satu perayaan yang berbentuk menziarahi kubur orang tua mereka yang sudah meninggal dunia dan kemudian membersihkannya dan barulah diadakan upacara sembahyang mengikut tradisi masyarakat Cina seantero dunia. Di Borneo misalnya, Perayaan Qing Ming juga turut diraikan saban tahun oleh masyarakat Cina Borneo.
Untuk tahun 2016 ini, Perayaan Qing Ming jatuh pada tanggal 4 April dan tanpa mengira usia walau tinggal jauh atau dekat masyarakat Cina akan berkumpul di dalam keluarga dan bersama-sama ke kawasan perkuburan keluarga mereka. Inilah antara keunikan Perayaan Qing Ming yang mempunyai maksud yang besar di dalam memperkatakan musyawarah antara keluarga serta menghormati juga mengingati keluarga yang sudah tiada lagi di dunia.
Menurut sejarahnya, Perayaan Qing Ming bermula ketika Dinasti Zhou memerintah Negara Tembok Besar China. Menurut ceritanya Perayaan Qing Ming pada masa itu merupakan satu upacara simbolik bagi menandakan pembahagian musim. Yang mana pada ketika itu, ianya merupakan satu musim yang amat baik untuk mula bercucuk tanam serta mengambil kesempatan berjalan-jalan ke daerah yang lain.
Dan Perayaan Qing Ming yang dirayakan pada masa ini sebenarnya juga mempunyai hubungkait dengan satu lagi perayaan yang sudah hilang malah ianya telah disatukan kerana tarikh perayaan itu terlalu dekat. Perayaan yang hilang itu adalah dikenali sebagai Perayaan Hanshi iaitu perayaan makan makanan sejuk kerana pada hari Hanshi tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan sumber api bagi memasak makanan.
Oleh kerana tarikh menyambutnya adalah terlalu dekat iaitu hanya selang sehari sahaja maka lama-kelamaan masyarakat Cina seantero dunia telah beransur-ansur mengadakan kedua-dua perayaan ini di dalam satu masa. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa Perayaan Qing Ming yang dirayakan sekarang merupakan 2 perayaan di dalam 1. Inilah antara keunikan perayaan ini mengikut ceritera sejarahnya yang sudah tentu ramai tidak mengetahuinya.
Di dalam Perayaan Qing Ming, acara menziarahi dan membersihkan perkuburan nenek moyang merupakan kemuncak kepada perayaan tersebut. Membakar colok serta membuat persembahan makanan dan buah-buahan yang disajikan di hadapan perkuburan kaum keluarga adalah salah satu daripada tradisi penting.
Pada hari ini juga, kaum keluarga akan menimbus kembali tanah perkuburan keluarga mereka semula agar tanah kubur itu kelihatan lebih tinggi dan kukuh. Hanya selepas upacara ini diadakan barulah acara penyembahan kepada nenek moyang akan diadakan. Selepas itu akan ada pembakaran “wang” serta replika-replika barangan mewah yang dikatakan akan digunakan untuk kekayaan keluarga yang telah meninggal dunia di alam lain. Kemudian barulah mereka akan menyiram perkuburan keluarga mereka dengan air arak.
Sesuatu yang mungkin ramai tidak sedari iaitu ianya bersangkutan dengan cuaca pada ketika Perayaan ini diadakan. Oleh kerana Perayaan Qing Ming ada kena mengena dengan perayaan sedih serta rasa rindu kaum keluarga pada sanak saudara yang sudah pergi meninggalkan mereka maka cuaca pada hari itu juga dikatakan sering mendung atau kadang-kadang dengan hujan turun yang mencurah-curah. Ianya seperti seolah-olah menggambarkan perasaan hiba pada masa itu. Samada ianya mitos atau realiti tetapi hal inilah yang sering terjadi apabila menjelang Perayaan Qing Ming.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal satu perayaan tradisi masyarakat Cina seantero dunia termasuklah masyarakat Cina di Borneo. Sejarahnya cukup unik dan ianya juga mempunyai maksud yang tersirat disebalik yang tersurat di kalangan masyarakat Cina itu sendiri.
Rujukan:
1. Author: Ren Qiliang. Title: Common Knowledge about Chinese Culture, HK China Tourism Press, 2007
2. Author: Wei Li Ming. Title: Chinese Festival Beijing, China Intercontinental Press, 2015
3. Author: Badrul Muzammil. Title: Qingming Festival – Paying Respert To The Dead, Malaysian Digest, 4 April 2015