CABIK GERONONG
CABIK GERONONG
CILI di dalam bahasa Melayu standard ataupun ada di sesetengah daerah di Malaysia terutamanya di bahagian Utara mengenalinya sebagai cabai. Di Sarawak pula mengikut bahasa Melayu Sarawak lebih mudah digelar dengan perkataan cabik. Dan di Sarawak mempunyai satu jenis cabik yang dikatakan merupakan cabik paling pedas di dunia iaitu Cabik Geronong.
Dengan nama botaninya Capsicum Chinense adalah satu jenis cili yang sebenarnya berasal daripada Amazon. Oleh kerana kesilapan seorang ahli botani berbangsa Belanda yang telah memberikan nama botaninya Capsicum Chinense sekitar abad 18 Masihi maka ramai yang telah menyalahtafsirkan bahawa asal muasalnya dari China. Tetapi sebaliknya cili yang maha pedas ini merupakan satu tumbuhan yang telah menjadi popular di dalam dunia kulinari masyarakat pribumi Amazon sejak di kurun ke 7 masihi lagi.
Setakat ini tidak diketahui bilakah sebenarnya cabik geronong ini boleh terdampar di Borneo atau lebih mengkhusus di Sarawak. Tiada dokumentasi rasmi yang menyatakan satu jenis cili yang berasal dari Amazon boleh ditanam dan diketahui kepedasannya oleh masyarakat pribumi Sarawak. Yang pasti sejak dari dahulu lagi ianya juga sudah ada di dalam masakan orang Sarawak lebih-lebih lagi pada mereka yang berani menyaingi rasa pedasnya di dalam masakan.
Yang menariknya mengenai cabik geronong ini dikatakan ianya setakat ini hanya ada di Borneo dan boleh ditanam di Borneo. Seringkali ramai masyarakat Borneo misalnya mencuba untuk menanamnya di bumi Semenanjung Malaysia tetapi akhirannya sering menghampakan. Namun begitu untuk masyarakat Iban dan Bidayuh Sarawak yang berkelana di bumi Johor, Malaysia dikatakan mampu menanamnya sedangkan untuk etnik lain agak sukar. Dan kerana itulah cabik geronong ini mempunyai pasarannya tersendiri di Pasar Borneo di Johor Bahru.
Sehingga sekarang ianya menjadi satu mitos ataupun adakah ianya satu kebetulan ataupun suratan yang sukar diungkap dengan kecerdasan hukum logik akal yang ada tetapi itulah kenyataannya.
Seperti cili padi, cabik geronong juga menjadi antara penambah perasa di dalam masakan masyarakat Sarawak. Oleh kerana ianya mendapat jolokan, “Cili Paling Pedas Di Dunia” maka setiap tukang masak biasanya berhati-hati dengan jumlah cabik geronong yang hendak diletakkan di dalam masakan mereka. Jika tidak sudah tentu ada yang makan sambil merah muka dibuatnya.
Inilah ceritanya cabik geronong yang unik dari segi sejarahnya sehinggalah rasanya. Jangan main-main dengan cabik geronong atau anda akan parah dengan kepedasannya.