ETNIK DALEK, SARAWAK, BORNEO
ETNIK DALEK, SARAWAK, BORNEO
Dalek atau Dali adalah merujuk kepada satu lagi etnik minoriti yang juga antara etnik-etnik di Sarawak yang mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Sudah tentu ramai yang tidak mengetahui kerana ianya tidak begitu diwar-warkan kerana beberapa faktor kepupusan mereka sejak di zaman Brooke memerintah lagi.
Menurut laporan apa yang hanya tinggal di Sarawak sekarang hanyalah mereka yang sudah mempunyai campuran dengan etnik-etnik minoriti yang lain seperti apa yang kita kenali sebagai masyarakat Badami iaitu campuran Bakong, Dalek dan Miriek. Populasi mereka sekarang ramai tertumpu di kawasan seperti Sibuti dan Bekenu.
Dikatakan asal-usul etnik Dalek ini adalah satu kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai etnik Kenyah di Dataran Tinggi Usun Apau. Kemudian sekitar tahun 1400-1700 Masihi, akibat daripada perang sesama etnik di Usun Apau telah memaksa mereka berhijrah ke seluruh pelusuk Borneo suatu waktu dahulu. Pada ketika penghijrahan inilah etnik Kenyah yang besar telah berpecah-pecah kepada beberapa sub-etnik kecil seperti Berawan.
Kemudian, apabila sub-etnik Berawan juga mempunyai masalah di dalam survival mereka di Borneo terutamanya di wilayah Belaga, Baram yang sebenarnya suatu waktu dahulu penuh dengan perang saudara sesama etnik maka hadirlah beberapa sub-sub etnik seperti Narom, Lelak, Dalek, Bakong dan banyak lagi. Dan kerana itulah dikatakan bahasa etnik Dalek itu sendiri sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan Berawan serta beberapa tradisi dan budaya yang sama.
Di dalam sejarah juga mencatitkan bahawa bumi Sibuti mahupun Bekenu dikatakan telah mula diterokai oleh campuran masyarakat Bakong, Dali dan Miriek sejak di kurun ke 17 masihi lagi. Satu perkuburan lama yang pernah dijumpai di sekitar kawasan Sungai Uban, Bekenu juga menyaksikan artifak tempayan, tembikar serta kerangka manusia yang menunjukkan adanya perkuburan kuno dari rumpun Kaum Orang Ulu yang beragama pagan atau animism pernah wujud suatu waktu dahulu.
Dan di dalam sejarah Sarawak Kingdom sewaktu pemerintah Brooke juga menyaksikan bagaimana pemimpin Badami iaitu Orang Kaya Jalong pada tahun 1876 telah berpihak kepada “King of the upriver” Raja Aban Jau dari Tinjar untuk memerangi masyarakat Kedayan dibawah pimpinan Orang Kaya Ladong dan juga Pengiran Sulaiman Damit di Sibuti. Namun perang itu dapat diatasi dengan pendamaian apabila adanya campurtangan daripada Brooke pada masa itu.
Dari segi bahasa pula, bahasa asal etnik Dalek diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polinesia, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram, Lower Baram. Central.
Dari segi budaya dan tradisi pula, etnik Dalek juga suatu waktu dahulu adalah antara etnik Borneo yang mengamalkan agama pagan. Mereka juga tinggal di rumah panjang etnik Kenyah dan mengamalkan budaya dan ritual yang sama. Mereka juga turut mengamalkan Perang Kayau iaitu perang perluasan wilayah etnik di Borneo.
Cuma bezanya, sekarang etnik Dalek yang sedia ada sudahpun ramai yang memeluk Islam hasil perkahwinan campur mereka dengan etnik Bakong mahupun Miriek yang terlebih dahulu menerima Islam sejak mereka berhijrah ke wilayah Sarawak dahulu lagi. Dan kerana itulah etnik Dalek sudah lama meninggalkan rumah panjang Kaum Orang Ulu Sarawak sebaliknya mengasimilasikan diri menjadi sebahagian daripada pembentuk masyarakat Melayu.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal satu lagi keunikan Urang Sarawak yang dikenali sebagai etnik Dalek atau Dali’ yang pada asalnya adalah dari pecahan Kaum Orang Ulu Sarawak. Dikatakan bahasa mereka sudah pupus sama sekali malah mencari yang 100% asli Dalek juga amat sukar melainkan yang mempunyai darah campuran yang dikenali sebagai masyarakat Badami iaitu campuran Bakong, Dalek dan Miriek di Sarawak.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta
Rujukan:
1. Author: Peter Metcalf – The Life of the Longhouse: An Archaeology of Ethnicity
2. Author: Peter Metcalf – Oceania; Who Are The Berawan? Volume No XLVII No 2, December 1976
3. Ethnologue Languages of The World – Malaysia
4. Borneo Research Buletin April 1976