FROM DARO WITH LOVE
FROM DARO WITH LOVE
Daro merupakan satu daerah kecil di Bahagian Mukah, Sarawak. Ianya amat berdekatan dengan Pekan Matu yang juga kedua-duanya dibawah seliaan Majlis Daerah Matu-Daro. Daro juga turut dikenali sebagai “Negeri Melanau” di Sarawak kerana majoriti populasinya adalah daripada etnik Melanau seperti juga Dalat, Oya dan banyak lagi.
Dahulunya Daro hanya boleh dihubungi dengan menggunakan jalan air iaitu dengan mengambil bot express daripada Sibu dengan melayari Sungai Rejang. Sejajar dengan waktu setelah ada infrastruktur yang dinaiktaraf maka Daro juga boleh dihubungi dengan pengangkutan darat iaitu dengan mengambil jalanraya dan seterusnya disambung dengan perjalanan menggunakan feri di Batang Paloh dan Muara Lassa.
Menurut cerita oral yang diwariskan dari satu generasi ke generasi dikisahkan bahawa Daro mendapat nama dari sebuah danau yang pernah ada di wilayah Daro suatu waktu dahulu. Dan di dalam dialek Melanau pula “danau” disebut Daru’. Pada masa itu Daro hanyalah sebuah perkampungan kecil dan akhirnya lama-kelamaan dengan lidah penutur akhirnya nama Daru’ menjadi Daro seperti yang kita kenali sekarang.
Daro seperti juga mana-mana wilayah di Sarawak suatu waktu dahulu adalah wilayah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Antara nama pemimpin di Daro yang cukup terkenal sehingga mendapat pengiktirafan Brunei suatu waktu dahulu adalah yang bernama Panglima Laun Ajak.
Beliaulah diceritakan antara yang terkenal dengan ilmu persilatannya sehingga menjadi sandaran suatu waktu di dalam memerangi musuh lebih-lebih lagi suatu waktu dahulu masyarakat Daro juga turut menjadi mangsa di dalam Perang Kayau yang dilakukan oleh etnik-etnik Dayak di kawasan sekitarnya.
Dan bagaimana Daro juga turut menjadi pembentuk bagi sebuah negeri bergelar Sarawak sekarang adalah apabila keseluruhan Wilayah Lower Sungai Rajang (Sarikei) diberikan kepada Brooke secara percuma oleh Sultan Brunei pada tahun 1859. Ianya dikatakan sebagai satu upah untuk Brooke setelah beliau berjaya meredakan ketegangan di kawasan tersebut. Diceritakan pada ketika itu Sultan Brunei bertindak demikian kerana wilayah Lower Sungai Rajang pada sudah terlalu lama di dalam kancah peperangan saudara sehingga merugikan beliau.
Daro sebenarnya amat terkenal dengan ikan terubuk Daro. Kerana popularnya ikan terubuk Daro inilah sehingga membawa kepada ikon ikan terubuk sebagai ikon daerahnya. Replika ikan terubuk Daro itu tersergam indah di satu kawasan di Daro sehingga sekarang. Dikatakan ikan terubuk Daro mempunyai keistimewaannya tersendiri baik dari segi rasa dan saiznya sehingga didambakan oleh ramai masyarakat Sarawak mahupun luar Negara.
Inilah sekelumit ruang informasi untuk kita mengenal satu daerah bernama Daro, Sarawak yang ternyata mempunyai keunikannya tersendiri baik daripada sejarah mahupun masyarakatnya yang kaya dengan adat, budaya dan tradisi Melanau yang tersendiri.
Setiap daerah mempunyai nilai kasih-sayangnya dan setiap daerah mempunyai nilai sejarahnya.