UPACARA NYEBANG
UPACARA NYEBANG
- Upacara Tradisi Menyambut Pahlawan Perang Pulang
Upacara Nyebang mungkin ramai yang tidak mengetahui kerana ianya amat jarang diadakan pada masa sekarang. Seperti juga etnik Iban, etnik Bidayuh juga turut terkenal dengan pahlawan-pahlawan mereka yang gagah berani dan turun berperang samada untuk melakukan perluasan wilayah dan sebagainya. Sudah tentu acapkali pahlawan pulang daripada berperang ianya akan disambut secara besar-besaran.
Secara lebih mengkhusus segala tradisi Upacara Nyebang ini merupakan antara salah satu tradisi yang dilestarikan oleh sub etnik Bidayuh iaitu Bidayuh Gumbang. Lain-lain sub-etnik Bidayuh seperti Bidayuh Bukar-Sadong, Bidayuh Jagoi-Sigai mempunyai ritualnya yang tersendiri yang mungkin tidak sama dengan apa yang dipraktikkan oleh Bidayuh Gumbang.
Kebiasaannya Nyebang diadakan selama 2 hari 1 malam dan ianya umpama satu pesta besar-besaran bagi masyarakat Bidayuh Gumbang. Namun di dalam bersuka-ria itu juga ianya mempunyai nilai-nilai tradisi yang unik serta dijaga ketertibannya.
Ianya dimulai dengan menyambut pahlawan pulang daripada berperang yang kemudiannya diarak sehingga ke baruk iaitu rumah adat etnik Bidayuh. Awal-awal lagi seorang ketua adat akan menyembelih ayam sebagai tanda terima kasih kepada Tuhan yang telah memberikan kekuatan dan keselamatan kepada pahlawan perang itu.
Kemudian, beberapa batang buluh yang sudah ditebang dan sebagainya akan turut dipikul bersama-sama dengan rombongan pahlawan perang melalui desa mereka sehingga ke baruk. Sebelum memasuki baruk, sekali lagi ketua adat akan melakukan ritual persembahan dengan melemparkan telur ayam, beras putih dan kuning dan serentak dengan itu 3 das tembakan ke udara akan dibuat.
Kesemuanya ini adalah sebagai simbolik untuk memanggil semangat agar bersama-sama dengan rombongan pahlawan perang. Di kala itulah barulah pahlawan perang akan disajikan dengan minuman tuak iaitu air tapai tradisional sebagai menandakan mereka sudah selamat pulang ke pangkuan keluarga.
Selepas itu barulah kesemua rombongan dibawa masuk ke Baruk iaitu rumah adat. Pada masa itulah nanti, para wanita yang menunggu di Baruk akan mula menari satu tarian tradisi yang dinamakan Tari Berenjang. Satu tarian yang mengelilingi “sanggal” di Baruk. Ianya juga turut sama ditarikan oleh kaum lelaki mahupun pahlawan perang itu sendiri.
Kepala adat akan memainkan peranan yang penting untuk memastikan segala ritual diikuti dengan tertib. Beberapa bacaan mantera yang mengkhusus akan dibacakan oleh Ketua Adat bagi memberi penghargaan kepada roh nenek moyang. Kemudian barulah ritual minum darah dan tuak diberikan kepada pahlawan perang.
Selepas itu akan ada satu acara di luar Baruk iaitu ritual memotong buluh serta memanjat batang buluh dengan kepala ke bawah dan kaki di atas. Ianya memerlukan mereka yang benar-benar pakar dan berani untuk berbuat aksi sedemikian.
Sebagai menandakan upacara Nyebang telah tamat, kebiasaannya penyembelihan khinzir akan diadakan di luar Baruk. Kemudian darah daripada khinzir tersebut akan dipalit ke tubuh pahlawan perang mahupun kepada sesiapa yang ingin berbuat demikian. Ini kerana mereka mempercayai bahawa darah khinzir itu boleh menyembuhkan penyakit kerana pada masa itulah roh-roh nenek moyang berada diantara mereka.
Pada hari kedua iaitu esoknya barulah diadakan satu upacara khas iaitu membersihkan segala tengkorak manusia yang menghiasi baruk dan suatu masa dahulu jika ada pahlawan perang yang membawa pulang tengkorak manusia maka pada hari itulah mereka akan membersihkannya. Usai dibersihkan ianya akan dipamerkan di Baruk dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain sehingga sekarang.
Sejajar dengan waktu apabila tiada lagi peperangan yang berlaku di kalangan seluruh etnik di Sarawak, upacara Nyebang turut diadakan bagi memastikan ianya tidak hilang dek zaman. Daripada satu upacara menyambut pahlawan pulang, sekarang masyarakat Bidayuh Gumbang menjadikannya sebagai salah satu upacara untuk menyambut tetamu yang datang bertandang ke tempat mereka. Kebiasaannya ianya melibatkan tetamu yang besar seperti kedatangan tetamu-tetamu serumpun daripada Kalimantan yang mempunyai budaya dan tradisi yang sama. Ianya juga turut dinamakan Gawai Nyebang bagi masyarakat Bidayuh Gumbang.
Apa yang telah diusahakan oleh masyarakat Bidayuh Gumbang untuk memastikan tradisi ini tidak hilang adalah sesuatu yang terpuji. Ini kerana setiap tradisi ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang wajar dipertahankan buat pengetahuan generasi mendatang.