BORNEO HIGHLANDS RESORT
BORNEO HIGHLANDS RESORT
Melihat teaser artikel sahaja mungkin ramai tidak mempercayai bahawa di Sarawak mempunyai satu kawasan yang begitu mendamaikan dan keindahannya seolah-olah kita berada di dunia benua Eropah. Hakikatnya ianya berada tidak jauh daripada kita iaitu Kuching, ibukota Sarawak Bumi Kenyalang.
Borneo Highlands Resort merupakan salah satu daripada resort yang berada di Kuching, Sarawak iaitu kira-kira 60 kilometer daripada pusat bandaraya. Ianya adalah satu kawasan tanah tinggi di kawasan Padawan yang sesungguhnya kaya dan unik dengan keindahan alam malah juga budaya dan tradisi etnik Bidayuh yang ramai mendiaminya.
Untuk ke Borneo Highlands Resort tidaklah sukar kerana ianya dihubungkan dengan jalinan jalanraya yang baik dari Kuching mahupun Serian itu sendiri.
Terlalu banyak keistimewaan jika berkunjung ke sini kerana selain daripada ingin merasa udara yang segar dan sejuk seperti ala-ala di benua Eropah, di sini juga banyak tarikannya yang lain iaitu melihat keindahan flora dan fauna, taman orkid, teh herba dan banyak lagi.
Bagi para penggemar sukan golf sudah tentu Borneo Highlands Resort ini boleh menjanjikan keseronokan yang berlainan.
Apa yang pasti, lokasi Borneo Highlands Resort yang sebenarnya merupakan terletak di garis sempadan Sarawak dan Kalimantan, Republik Indonesia membenarkan setiap pengunjungnya boleh menikmati keindahan hutan hujan tropika dari 2 negara. Untuk itu juga, pihak Borneo Highlands telah membina satu menara tinjau di antara garis sempadan tanah tingginya bagi memberikan peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri panorama hutan ini.
Pada mereka yang ingin lari daripada hiruk pikuk kota serta ingin menghilangkan tekanan kerja, tiada salahnya untuk berkunjung ke sini kerana sudah tentu ianya akan menjanjikan satu pengalaman yang terbaik.
Lan Berambeh Ke Sarawak!