GARAM BUKIT BA'KELALAN
GARAM BUKIT BA’KELALAN
Garam, gula itu adalah antara bahan perasa di dalam minuman menu seharian kita. Tanpanya umpama pincanglah selera kita baik garam untuk makanan mahupun gula di dalam minuman. Namun begitu janganlah pula terlalu berlebihan kerana penyakit seperti diabetes mahupun tekanan darah tinggi boleh menjadi pembunuh atas kesihatan kita semua.
Semua kita mungkin sentiasa mengatakan bahawa garam itu berkaitrapat dengan laut kerana air masin lautan itu merupakan salah satu daripada media bagaimana mendapatkan garam. Namun begitu untuk di Sarawak sudah cukup terkenal dengan Garam Bukit Ba’Kelalan. Bukan sembarangan garam kerana garam ini bukannya diambil dari lautan sebaliknya di kawasan mata air garam semulajadi.
Dinamakan dengan Garam Bukit Ba’Kelalan kerana disinilah asal muasalnya garam bukit ini iaitu di satu wilayah Sarawak yang dinamakan Ba’Kelalan, Lawas. Dahulu pemprosesannya adalah mengikut kaedah tradisional namun sejajar dengan waktu ianya juga sudah ditambahbaik bagi mendapat hasil yang lebih besar.
Dan di Ba’Kelalan inilah terdapat mata air garam yang satu-satunya pernah ada di Malaysia. Satu sumber semulajadi yang mana airnya adalah masin inilah yang menjadi punca pendapatan sesetengah masyarakat Kelabit mahupun Lun Bawang yang mendiami Ba’Kelalan berabad lamanya.
Menurut sejarahnya, sejak dahulu lagi iaitu semenjak masyarakat Ba’Kelalan mula menghuni bumi Ba’Kelalan mereka sudah mengetahui kewujudan mata air garam ini. Pada masa itu dikatakan bahawa beberapa orang pemburu telah keluar memburu di hutan. Dan mereka terserempak dengan beberapa ekor binatang yang meminum daripada mata air semulajadi tersebut.
Maka kerana itulah pemburu-pemburu itu hanya berlindung di kawasan sekitar untuk memburu kerana binatang buruan dengan senangnya boleh masuk jerat di kawasan itu. Dan apabila dibawa pulang hasil buruan dan menjadi juadah seisi keluarga, dikatakan daging hasil daripada buruan di kawasan sekitar mata air garam semulajadi ini lebih enak daripada hasil buruan di kawasan lain.
Daripada hanya melihat binatang-binatang menghilangkan dahaga daripada mata air garam semulajadi akhirnya masyarakat di Ba’Kelalan merasa sendiri dengan meminum air daripada mata air garam. Ternyata ianya cukup masih dan dari situlah dikatakan timbulnya idea untuk memproses garam bukit ini secara tradisional yang diusahakan dari satu generasi sehingga ianya menjadi “trademark” kepada produk unik daripada Sarawak.
Garam Bukit Ba’Kelalan adalah lebih masin daripada garam biasa namun mempunyai khasiat-khasiatnya yang tersendiri kerana ianya adalah dari sumber semulajadi. Malah dikatakan penggunaan garam bukit Ba’Kelalan ini terlalu istimewa kerana rasanya jika diadun di dalam makanan akan menjadi lebih enak daripada menggunakan garam biasa. Sesuai dengan keunikan serta cara pemprosesannya yang masih lagi terjaga, harga untuk sekilo garam Bukit Ba’Kelalan juga mahal iaitu antara dari RM18-RM20 sekilo.