top of page

WANITA DI DALAM CERITA LEGENDA ETNIK SARAWAK


WANITA DI DALAM CERITA LEGENDA ETNIK SARAWAK


Cerita legenda merupakan satu sastera rakyat yang diperturunkan secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain. Sarawak Bumi Kenyalang juga kaya dengan cerita legenda ini dan sudah tentu ada ceritanya berdasarkan cerita benar tetapi sengaja ditokok tambah oleh penglipurlara bagi memperindahkan jalan cerita.


Artikel kali ini akan memberikan sepintas lalu nama-nama wanita yang gah penceritaannya di dalam cerita legenda di dalam bangsa Sarawak yang sudah tentu daripada etnik-etnik yang pelbagai. Mungkin ada banyak lagi nama-nama wanita yang tidak diceritakan namun apa yang dipaparkan adalah sebahagian daripadanya.


1. Puteri Santubong Dan Puteri Sejinjang


Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, satu nama yang tidak asing di dalam memperkatakan tentang kecantikan seorang wanita. Kedua-dua puteri yang cantik ini namanya sinonim dengan Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang. Menurut versi cerita legenda kedua-dua puteri ini adalah berasal dari Brunei dan ditinggalkan oleh saudaranya di kaki Gunung Santubong.


Kerana kecantikan kedua-duanya akhirnya seorang putera dari kayangan jatuh hati kepada kedua-dua adik beradik ini di dalam satu masa. Akhirnya membawa kepada permusuhan berebut hanya kerana seorang lelaki. Kehebatan 2 puteri ini diceritakan di dalam Cerita Legenda Puteri Santubong Dan Puteri Sejinjang.



2. Puteri Lela Menchanai


Di dalam masyarakat Kedayan, Sarawak pula gah dengan satu nama seorang puteri yang bernama Puteri Lela Menchanai. Puteri yang cantik ini menurut cerita legenda asal keturunan masyarakat Kedayan adalah merupakan nenek moyang kepada bangsa mereka. Puteri Lela Menchanai ini dikatakan seorang puteri yang cantik yang berasal dari Tanah Jawa yang kemudiannya berkahwin dengan Sultan Bolkiah, seorang pemerintah dari Kerajaan Brunei Darussalam.

Cerita tentang Puteri Lela Menchanai ini diceritakan di dalam Cerita Legenda Puteri Lela Menchanai di dalam masyarakat Kedayan, Sarawak.



3. Dayang Ruku & Dayang Kubu


Siapa pernah sangka bahawa suatu waktu dahulu jauh di pedalaman Sarawak pernah wujud satu politi kerajaan kuno yang dikenali dengan nama Kerajaan Negeri Kalaka. Dan kewujudan kerajaan negeri ini dikaitkan secara langsung dengan 2 orang puteri bersaudara yang bernama Dayang Ruku & Dayang Kubu.


2 orang wanita memerintah satu kerajaan negeri yang gah suatu waktu dahulu diceritakan sebagai 2 orang puteri yang bijak memerintah sehingga menjadikan Kerajaan Negeri Kalaka sebuah kerajaan yang makmur. Kecantikan dan pandainya mereka memerintah diceritakan di dalam Tarsilah Syair Saribas iaitu satu skrip purba yang penceritaannya di dalam bentuk puisi.



4. Dayang Isah Tandang Sari


Tandang Sari adalah nama purba bagi sekarang lebih dikenali dengan nama Pusa. Dahulunya juga mempunyai satu politi kerajaan kuno yang dinamakan Kerajaan Negeri Saribas. Dayang Isah ini adalah puteri tunggal kepada pemerintah Kerajaan Negeri Saribas iaitu Datuk Temenggung Kadir yang dikatakan berasal dari sebiji telur.


Ceritanya bermula apabila Datuk Temenggung mendapat firasat di dalam mimpi setelah lama tidak dikurniakan anak melalui perkahwinannya dengan Dayang Siti Hajar. Apabila sudah dewasa, Dayang Isah menjadi seorang wanita yang cantik tak terperi sehingga menjadi perebutan 2 pemuda iaitu Nakhoda Kahar dan Awang Bunut.


Namun kerana Nakhoda Kahar yang lebih kaya maka dialah dijodohkan dengan Dayang Isah. Akhirnya kerana sifat cemburu membabi buta sang suami iaitu Nakhoda Kahar akhirnya Dayang Isah membunuh diri. Nakhoda Kahar juga dibunuh oleh ayah Dayang Isah kerana menjadi punca kematian anak perempuan tunggalnya.


Cerita sahibul hikayat ini diceritakan di Legenda Dayang Isah Tandang Sari.



5. Dato’ Permaisuri


Dato’ Permaisuri diceritakan adalah puteri kepada Raja Jarom yang gah namanya di dalam empayar Johor-Riau suatu waktu dahulu. Menurut ceritanya Dato Permaisuri Kemala ini berkahwin dengan seorang kerabat diraja dari Kerajaan Brunei Darussalam.


Ketika belayar melalui perairan di Miri, Sarawak dikatakan kapal yang dinaiki telah karam dan diketika sang suami harus memilih antara menyelamatkan seorang ibu dan seorang isteri, sang suami telah memilih untuk menyelamatkan ibunya sendiri.


Dato’ Permaisuri pula yang disangkakan terkorban rupa-rupanya masih hidup dan terdampar di sebuah pantai di Miri. Apabila sang suami mengetahui bahawa isterinya masih hidup, beliau telah kembali ke Miri untuk menjemput isterinya pulang ke Brunei tetapi akibat masih marah kerana sang suami lebih mementingkan ibunya daripada isterinya, sebaliknya Dato’ Permaisuri memilih untuk tinggal di Miri sehingga belaiau menemui ajalnya di sana.

Sehingga sekarang makam Dato’ Permaisuri masih dijaga sebagai lambang keutuhan cerita rakyat bangsa Sarawak ini.



6. Dayang Seri Bulan


Santubong juga suatu waktu dahulu merupakan politi kepada kerajaan kuno yang bernama Kerajaan Negeri Santubong dan pemerintahnya dikatakan Datuk Merpati. Dari asal keturunan Datuk Merpati inilah dikatakan susur galur kepada apa yang dipanggil Melayu Perabangan di Sarawak.


Datuk Merpati ini merupakan seorang anak raja dari Tanah Jawa yang kemudiannya menjadi pemerintah kepada Pasir Kuning iaitu nama lama bagi Santubong suatu waktu dahulu. Dayang Seri Bulan merupakan puteri tunggalnya yang dikatakan mempunyai kembar seekor naga yang dinamakan Bulan Jati. Apabila dewasa, Dayang Seri Bulan telah dihantar ke Brunei untuk dijodohkan dengan Raja Bungsu iaitu seorang putera kepada Kerajaan Negeri Selangor.


Di sanalah dikatakan bahawa Awang Semaun, satu lagi nama besar di dalam legenda menjadi pengawal peribadi kepadanya malah Bulan Jati iaitu saudara kembarnya dikatakan akan mengiringi dan menjaga bahtera yang dinaiki Dayang Seri Bulan setiap kali beliau mengikut suaminya belayar.


Cerita sahibul hikayat ini ada diceritakan di dalam Hikayat Dato’ Merpati Jepang.



7. Dayang Kumunah


Melayu Sarawak sememangnya ramai yang berpantang makan ikan patin. Banyak bukti-bukti perubatan yang mengatakan bahawa ikan patin ini sememangnya alah kepada Melayu Sarawak sehingga ada yang menjadi gila dan sebagainya. Dayang Kumunah itulah nama yang dikaitkan dengan cerita legenda berpantang makan ikan patin ini.


Diceritakan Dayang Kumunah ini adalah anak yang ditemui di tepian batu seorang nelayan yang bernama Awang Gading. Dijaga dan disayangi sehingga membesar menjadi seorang wanita yang cantik rupawan. Akhirnya dikahwinkan dengan Awang Usop dengan bersyarat. Syarat perkahwinannya mudah sahaja iaitu jangan sesekali membenarkan Dayang Kumunah untuk ketawa.

Akhirnya Awang Usop melanggar pantang tersebut dan Dayang Kumunah telah ketawa sehingga menampakkan insang ikannya. Kerana telah melanggar pantang Dayang Kumunah telah menjelma menjadi ikan patin dan telah bersumpah agar kesemua keturunannya tidak memakan patin.


Sehingga sekarang dikatakan sumpahan itu masih berkuatkuasa kerana ikan patin sememangnya sejenis ikan yang tidak akan dimakan oleh masyarakat Melayu Sarawak mahupun Brunei sekalipun.



8. Dayang Puteri


Bagi masyarakat Melanau di Oya, Sibu pula satu cerita legenda mengenai seorang puteri kepada Pengiran Badaruddin dari Kerajaan Brunei merupakan cerita legenda yang tidak asing bagi mereka. Ianya adalah mengenai seorang puteri yang cantik rupawan tetapi ditidakkan haknya menjadi seorang anak bangsawan kerana ibunya hanya seorang rakyat biasa.

Akibat berkecil hati, ibunya yang bernama Biri telah membawa diri sehingga ke Oya dan ketika itu Biri dikatakan sedang berbadan dua. Dayang Puteri dilahirkan dengan sempurna walaupun tanpa kasih sayang seorang bapa iaitu Pengiran Badaruddin dan namanya menjadi gah kerana tertib kelakuannya, cantik orangnya serta amat berbudi bahasa.


Ayahnya akhirnya berjaya menemui anaknya Dayang Puteri dan isterinya di Oya dan sejak itu diberikan kemewahan yang secukupnya sejajar dengan pangkatnya sebagai anak bangsawan. Diceritakan setiap pinangan daripada lelaki di Oya telah ditolak oleh ayahnya Pengiran Badaruddin kerana belum ada calon yang sesuai.


Penolakan demi penolakan pinangan itu telah membuatkan ramai lelaki yang berdendam termasuklah seorang lelaki Iban yang juga gah namanya di Oya. Kerana tidak berpuashati akhirnya sekumpulan lelaki Iban telah menyerang Oya untuk merampas Dayang Puteri.


Kerana masyarakat tempatan Oya marah kerana bumi Oya yang aman akhirnya menjadi huru hara akibat seorang perempuan akhirnya Dayang Puteri menemui maut akibat memakan racun yang dimasukkan di dalam minumannya oleh pengikutnya sendiri.



9. Orang Kaya Srigunim


Siapa pernah tahu bahawa nama seorang wanita anak Melanau dari Jemoreng ini tercatit namanya di dalam kalendar sejarah Sarawak Kingdom. Orang Kaya Srigunim ini merupakan penghulu wanita pertama yang pernah dilantik di kalangan masyarakat Melanau oleh pemerintah Brooke suatu waktu dahulu.


Apa yang menjadi legenda adalah dikatakan bahawa Orang Kaya Srigunim ini dikatakan seorang wanita yang cantik malah bijak di dalam mentadbir daerahnya. Orang Kaya Srigunim seorang wanita yang tegas dan mempunyai undang-undang hukuman yang tersendiri yang menyebabkan beliau digeruni oleh masyarakat Jemoreng.


Kerana ramai yang tidak berpuashati dengan cara beliau mentadbir dikatakan Orang Kaya Srigunim ini dibunuh oleh musuhnya sewaktu berbadan dua. Sehingga sekarang perkuburan Orang Kaya Srigunim masih utuh dijaga di Jemoreng sebagai bukti seorang wanita pernah mentadbir Jemoreng suatu waktu dahulu.



10. Kumang


Setiap tahun apabila perayaan musim menuai atau perayaan gawai bagi masyarakat dayak Sarawak akan adanya pertandingan Kumang dan Keling. Satu pertandingan yang bukan sahaja menampakkan kecantikan dan kekacakan lelaki dan wanita iban tetapi juga tahap kecerdasan dan kebijaksanaan mereka di dalam memperkatakan budaya masyarakat Iban itu sendiri.


Sebenarnya Kumang itu merupakan simbol kepada apa yang perlu sebagai seorang masyarakat dayak Iban Sarawak. Ini kerana berdasarkan cerita legenda Kumang dan Keling dikatakan bahawa Kumang selain daripada cantik yang sempurna serba serbi merupakan dambaan setiap lelaki iban.


Kumang yang berasal rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyeerabang adalah isteri kepada Keling seorang lelaki Iban yang gagah perkasa dari rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Kerana kecantikan Kumang yang tiada taranya telah diculik oleh Apai Sabit Berikat. Kerana kesaktian Keling telah berjaya mendapatkan kembali Kumang daripada menjadi mangsa penculikan Apai Sabit Berikat.


Cerita legenda mengenai Kumang ini ada dinyatakan di dalam cerita masyarakat Iban yang berjudul “Indu Dara Iban”.



11. Panglima Burung


Di dalam masyarakat Dayak Sarawak mahupun keseluruhan dayak Borneo mempercayai tentang keajaiban satu susuk panglima perang mereka yang hanya akan bertandang membantu masyarakat Dayak apabila di dalam kepayahan. Yang dimaksudkan itu adalah yang bernama Panglima Burung.


Dikatakan bahawa Panglima Burung ini adalah seorang wanita yang mempunyai kesaktian yang tinggi serta tangkas di dalam bertingkah menggunakan senjata. Inilah legenda mengenai seorang wanita di dalam masyarakat Dayak Borneo yang juga mempunyai seorang lagi pengawal peribadinya juga seorang wanita yang bernama Panglima Api.


Menurut legendanya dikatakan bahawa Panglima Burung ini pernah muncul membantu masyarakat Dayak di Kalimantan sewaktu Perang Sampit dan Perang Barito yang pernah terjadi sewaktu awal abad ke 20an suatu waktu dahulu.



12. Dayang Mas


Bujang Senang.. itulah nama di dalam memperkatakan seekor buaya yang besar dan berpuaka serta menjadi legenda serta gah namanya seantero Malaysia. Selain daripada itu di dalam cerita legenda itu dinyatakan bahawa dendam kesumat Bujang Senang menjadikan manusia sebagai korbannya adalah kerana isterinya terlebih dahulu dibunuh.


Isterinya itu juga dikenali dengan nama Dayang Mas iaitu jelmaan seekor buaya betina yang menjadi peneman kepada buaya Buaya Bujang Senang. Dayang Mas ini sewaktu menjadi manusia bernama Dara iaitu isteri kepada Lungu. Dikatakan kerana musuh Lungu ingin mengalahkan Lungu maka diculiknya Dara yang setelah diseksa telah memberitahu kelemahan Lungu kepada musuhnya.


Setelah mendapat rahsia sulit kelemahan Lungu akhirnya Dara telah dibunuh dengan dibaling tombak dari arah belakangnya apabila Dara dilepaskan untuk melarikan diri. Kejadian itu telah disaksikan sendiri oleh Lungu dan kerana berang isteri tersayangnya dibunuh akhirnya beliau tewas di dalam perkelahian di gigi air.


Setelah dibunuh, mayat kedua-dua Lungu dan Dara telah dicacak di gigi air dan akhirnya bertukar menjadi satu pasangan buaya yang dinamakan Bujang Senang dan Dayang Mas.



Inilah pencerahan ringkas daripada Borneo Oracle di dalam memperkatakan tentang susuk-susuk wanita yang gah namanya baik dari segi kecantikan, kebijaksanaan serta gagah di dalam ilmu peperangan mengikut cerita-cerita legenda yang diwarisi dari satu generasi ke generasi di dalam Bangsa Sarawak.


Sahibul hikayat bangsa Sarawak juga kaya dengan cerita-cerita indah yang memperkasakan wanita sebagai simbolik ceritanya. Sudah tentu ada maksud yang tersirat disebalik yang tersirat di dalam penceritaan untuk kita jadikan pedoman hidup di masa hadapan.


‪#‎KamekSayangSarawakBah‬!


bottom of page