NGAP SAYOT, MISTERI KUCING HITAM DAN AWANG MAHYAN
NGAP SAYOT, MISTERI KUCING HITAM DAN AWANG MAHYAN
SEBUT sahaja Ngap Sayot, sudah tentu mana-mana anak Sarawak mahupun rakyat Malaysia yang sewaktu dengan eranya akan terkenang dengan limpahan warna merah membanjiri Stadium Negeri Sarawak. Tanpa mengira apa bangsa dan agama, orang Sarawak bersatu dibawah satu pasukan bolasepak yang dinamakan Ngap Sayot.
Dengan warna merah sebagai tanda berani itulah maskot warnanya yang akan dipakai di kepala (bandana kepala), baju mahupun kain rentang bagi menggambarkan keghairahan orang Sarawak kepada sukan no 1 mereka iaitu sukan bolasepak. Bukan setakat itu sahaja, Ngap Sayot nama pasukan bolasepak Sarawak pada masa itu juga cukup gah diperkatakan di seluruh Malaysia baik oleh yang professional malah juga cakap-cakap kedai kopi.
Sejarah Ngap Sayot, Misteri Kucing Hitam dan juga seorang jurulatih legendanya iaitu Awang Mahyan bin Awang Mohamad akan menjadi penyeri kepada artikel Borneo Oracle. Dan apa yang disajikan merupakan temubual ekslusif antara Borneo Oracle dengan legenda itu sendiri iaitu Uncle Awang Mahyan iaitu ketika pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Sarawak ketika Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11 tempohari.
“Ngap Sayot” Nama Diberi
Nama ini cukup gah sejak dari era 1990an sehinggalah sekarang ianya tetap meniti dari bibir ke bibir. Menurut pelopornya “Ngap Sayot” merupakan satu nama yang dicipta secara tidak sengaja. Ianya hanya bermain di minda dan dijelaskan kepada anak-anak buahnya bagi memberi mereka semangat sewaktu turun untuk berlatih. “Ngap” bermaksud tangkap dan jangan lepaskan manakala “Sayot” pula membawa maksud bila tidak dilepaskan terus dimakan sampai habis.
Dari hanya satu ungkapan yang menjadi pembakar semangat buat pemain-pemainnya akhirnya Ngap Sayot itu menjadi motto bagi pasukan bolasepak dibawah kendalian jurulatih legendanya iaitu Awang Mahyan.
Ngap sayot sering dilaungkannya diluar padang memberi arahan kepada anak buahnya akhirnya diperjelaskan lagi oleh peminat-peminat bolasepak Sarawak pada masa itu sehingga ungkapan itu menjadi satu “sumpahan keramat” kepada mana-mana pasukan dari negeri yang lain bertandang ke stadium Sarawak pada masa itu.
Misteri Kucing Hitam Dan “Air Penetap Hati”
“Kepala lutut akan bergegar apabila melangkah ke padang lebih-lebih lagi apabila kelibat kucing hitam atau pusak hitam di dalam bahasa Melayu Sarawak ada disekitar pintu gol lawan”.. ini merupakan antara kata-kata daripada pengulas sukan suatu ketika dahulu apabila berbicara mengenai perlawanan bolasepak antara Sarawak Ngap Sayot dengan pasukan negeri lain.
Misteri kucing hitam ini umpama satu petanda bahawa pasukan Sarawak menggunakan khidmat “ilmu hitam” untuk menang dan seringkali yang menjadi mangsa tuduhan liar adalah jurulatihnya Awang Mahyan. Menurut yang empunya diri, ianya merupakan tuduhan yang tidak bertanggungjawab kerana sehingga sekarang beliau sendiri tidak mengetahui siapakah yang empunya idea itu semua.
Menurutnya lagi, melalui kefahaman beliau kucing hitam atau pusak hitam itu merupakan logo yang digunapakai oleh Persatuan Bolasepak Kuching dan bukannya Persatuan Bolasepak Sarawak. Pasukannya dan misteri kucing hitam adalah sesuatu yang berbeza namun begitu beliau mengaku demi memberikan semangat kepada anak-anak buahnya beliau menggunakan “sesuatu”.
“Sesuatu” yang dimaksudkan adalah antara budaya Orang Sarawak lebih-lebih lagi Melayu Sarawak yang sering memberikan mana-mana individu yang hendak bertanding dengan “air penetap hati”.
Air penetap hati ini merupakan air kosong yang diambil dari seorang ahli agama berasal dari Kampung Surabaya (namanya dirahsiakan bagi menghormati permintaan Awang Mahyan). Daripada beliaulah air penetap hati didapati iaitu air yang telah dibacakan dengan ayat suci Al-Quran dan setiap anak-anak buahnya akan meminum air tersebut sebelum melangkah ke padang dan beraksi. Sebenarnya itu semua hanyalah sebagai “reverse psikologi” untuk anak-anak buahnya agar lebih bersemangat.
Kata Awang Mahyan jika hendak berkata mukjizat “air penetap hati” itu juga sukar untuk dinyatakan kerana pernah 2 kali katanya ketika perlawanan “away”, bekas air itu terlupa dibawa dan anak-anak buahnya sudah meminta air penetap hati darinya. Bagi tidak mengecewakan pada masa itu dan tanpa disedari kesemua anak-anak buahnya, beliau telah senyap-senyap mengisi air paip di dalam bekas untuk diberikan kepada kesemua pemain Ngap Sayot pada masa itu. Dan hasilnya mereka tetap menang katanya.
Awang Mahyan, Jurulatih Legenda Bolasepak Sarawak
Bila bersemuka secara peribadi dengan legenda bolasepak Sarawak membuatkan diri kaku seketika. Manakan tidak Borneo Oracle sendiri dibesarkan dengan cerita beliau yang merupakan jurulatih yang lain dari yang lain. Di usia emasnya, Uncle Awang Mahyan tetap “steady” dan masih mempunyai daya ingatan yang cukup kuat apabila mengenang memorinya bersama-sama pasukan Sarawak Ngap Sayot.
Walau tidak lagi aktif dengan dunia bolasepak namun minat beliau terhadap sukan ini sentiasa dimindanya. Menurut beliau memang agak berbeza permainan bolasepak sekarang dengan dahulu lebih-lebih lagi pemain bolasepak sekarang katanya. Dahulu, anak-anak buahnya bermain atas nama Sarawak tanpa mengira apa pulangan yang akan dikecapi kemudian.
Terpilih mewakili negeri Sarawak sudah cukup untuk menaikkan maruah diri dan keluarga. Tiada namanya mahu jadi kaya dan bermewah-mewah dengan kereta yang mahal dan sebagainya. Itulah perbezaannya kerana dahulu bermain untuk maruah dan bukannya wang ringgit. Satu kenyataan yang tidak dapat disangkal sama sekali kebenarannya.
Menurut beliau, di dalam itu juga beliau kagum dengan satu pasukan di Malaysia yang sebenarnya mempunyai jiwa bolasepaknya sendiri iaitu Pasukan JDT dibawah pimpinan Tengku Mahkota Johor. Beliau masih lagi boleh mengukir senyum di bibir kerana ada pasukan Malaysia segagah pasukan JDT yang mempunyai professionalism yang tersendiri. Terselit keinginannya untuk melihat pasukan Sarawak sekarang juga mengikut langkah sedemikian namun perjalanan masih jauh katanya.
Dan sebelum menutup bicara, Borneo Oracle menanyakan satu soalan cepu emas kepada Uncle Awang Mahyan. Melihat kepada prestasi Sarawak sekarang, seharusnya Sarawak menagih khidmat daripada beliau untuk menjadikan bolasepak Sarawak gah seperti dahulu.
Tanpa berfikir lama, uncle Awang Mahyan menjawab “Saya tiada sijil. Sekarang nak jadi jurulatih kena ada sijil khusus. Lagipun pada usia begini saya lebih gemar untuk menghabiskan masa dengan keluarga disamping memastikan perniagaan saya Restoren Awang Mahyan yang sudah ada 5 cawangan berkembang dan diusahakan oleh anak-anak saya”.
Inilah uncle Awang Mahyan yang begitu merendah diri orangnya dan sekarang menjadi seorang ahli perniagaan yang agak berjaya. Berborak santai-santai dengan seorang legenda bolasepak Sarawak ini adalah sesuatu yang cukup luar biasa dan peluang ini hanya hadir sekali seumur hidup.
Terima kasih kepada Uncle Awang Mahyan serta Dato Idris Haji Buang yang mengatur pertemuan ini. Ini merupakan memori paling manis sepanjang Borneo Oracle menulis.
Ngap Sayot, Misteri Kucing Hitam dan Legenda Awang Mahyan juga ada sejarahnya. Tidak kenal maka tidak cinta!
p/s: Sengaja menggunakan teaser artikel itu bagi menunjukkan suatu waktu dahulu pasukan bolasepak Ngap Sayot adalah jiwa seluruh keluarga orang Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.