top of page

FROM DEBAK WITH LOVE


FROM DEBAK WITH LOVE

DEBAK merupakan satu pekan kecil yang lokasinya terletak di antara Betong dan Saratok. Walaupun merupakan satu daerah yang kecil namun Debak sebenarnya menyimpun seribu satu keunikan baik dari segi sejarahnya, masyarakat dan banyak lagi.

Dengan pembangunan yang bertali arus di Sarawak lebih-lebih lagi dengan rancaknya pembangunan seperti Lebuhraya Pan-Borneo, Debak juga turut terpalit dengan pembangunan tersebut apabila jika dahulunya hanya boleh dihubungi dengan pengangkutan air namun sekarang jalinan jalanraya berturap memudahkan hubungan Debak dengan daerah-daerah lain di seluruh Sarawak.

Bagaimana Debak Mendapat Nama

Buat masa sekarang tiada dokumentasi yang mengkhusus di dalam memperkatakan bagaimana Debak mendapat nama. Dan yang menjadi sandaran hanyalah sejarah lisan atau melalui cerita orang-orang tua yang mendiami Debak. Dan ianya mempunyai 3 versi yang berbeza iaitu:

Versi 1;

Menurut ceritera orang-orang tua di Debak sebenarnya nama Debak itu berkaitan dengan satu fenomena alam iaitu Benak. Fenomena alam benak ini adalah sama popular dengan Benak Batang Lupar namun begitu untuk kawasan Sungai Rimbas iaitu sungai yang mengalir di kawasan Debak itu pada masa sekarang sudah tiada kerana ada cerita legendanya tersendiri.

Dari cerita lisan ini menyatakan bahawa legenda benak Sungai Rimbas ada kena mengena dengan seorang pahlawan yang bernama Datu Ugak. Dikatakan anak Datu Ugak telah terbunuh ketika benak Sungai Rimbas melanda. Akibat marah, Datu Ugak telah menetak kepala benak dan tanpa disangka tetakan itu mengeluarkan darah yang banyak dari kepala benak.

Sejak dari itulah dikatakan benak Sungai Rimbas sudah tiada lagi dan cerita kehebatan benak Sungai Rimbas bersama-sama cerita tetakan Datu Ugak hanya menjadi cerita legenda yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain sehingga ke hari ini. Nama Ugak pula digunapakai untuk merujuk nama kawasan tersebut yang akhirnya disebut sebagai Debak sehingga ke hari ini.

Versi 2;

Untuk versi kedua pula memperjelaskan pula tentang nama Debak dengan satu teknik mempertahankan diri suatu waktu dahulu. Dikatakan suatu waktu dahulu, membuang batang-batang kayu ke sungai atau turut dipanggil “ugak” adalah salah satu kaedah untuk mempertahankan diri bagi penduduk-penduduk tempatan di sepanjang Sungai Rimbas.

Kaedah membuang ugak-ugak ini digunakan bagi memastikan bahawa -perahu perang masyarakat Iban tidak boleh menghampiri penempatan Sungai Rimbas. Maka dengan cara itu sahaja penduduk-penduduknya terselamat daripada perang kayau atau perang memenggal kepala yang menjadi tradisi suatu waktu dahulu.

Dari perkataan “ugak” yang juga turut disebut “Rebak” akhirnya menjadi “Debak” mengikut slanga penduduk tempatan sehingga memungkinkan kawasan ini dikenali dengan nama Debak sehingga sekarang.

Versi 3;

Bagi versi ketiga pula merujuk kepada lokasi 2 anak sungai kepada Sungai Saribas. Ianya adalah mengenai kedudukan Sungai Rimbas yang menganjur sehingga ke Spaoh. Dan yang satu lagi adalah kedudukan Sungai Rebak yang paling dekat dengan Debak sekarang.

Menurut cerita lisan dikatakan penempatan awal secara tetap di Debak bermula di Sungai Rebak dan pada masa itu dikenali sebagai Kampung Rebak Laut. Dan dari Kampung Rebak Laut inilah dikatakan bagi menyelamatkan diri daripada serangan lanun, penduduknya pernah berpindah ke Tanjung Maling iaitu jauh daripada sungai.

Dan kerana mereka terlalu mengasihi Kampung Rebak Laut maka Tanjung Maling itu juga dikenali dengan panggilan Rebak yang akhirnya dipertuturkan sebagai “Debak” mengikut lidah penutur yang akhirnya menzahirkan kawasan ini dikenali dengan nama Debak.


Debak Sebagai Bandar Pelabuhan Zaman Silam

Menurut beberapa dokumentasi sejarah kuno seperti Tarsilah Negeri Saribas yang menyatakan kewujudan sebuah kerajaan kecil yang dikenali dengan nama Kerajaan Negeri Saribas ada memperkatakan tentang kehebatan sebuah kerajaan negeri kecil yang pernah wujud di Saribas. Dan wilayahnya agak besar sehingga memungkinkan bahawa ianya juga berkaitrapat dengan asal-muasal Melayu Saribas yang ada sekarang.

Dan adalah difahamkan bahawa Debak suatu waktu dahulu ketika Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam berkuasa di banyak wilayah di seluruh Sarawak merupakan salah satu daripada Bandar pelabuhan bagi Kerajaan Negeri Saribas. Dan ianya dikaitkan dengan sejarah bagaimana gelaran Datu Bandar Abdul Hamid anak kepada Datu Patinggi Kedit yang merupakan wakil Sultan Brunei di dalam memperkasakan Debak sebagai salah satu Bandar pelabuhannya. Kerana bijaknya Datu Bandar Abdul Hamid memerintah menyebabkan Debak gah namanya sehingga menjadi antara Bandar pelabuhan yang wajib didatangi oleh saudagar-saudagar dari luar untuk berniaga.

Malah jika kita hendak mencari kewujudan individu bernama Datu Bandar Abdul Hamid ini di Debak boleh dilestarikan dengan adanya sebuah sekolah di Debak yang menggunakan namanya bagi menceritakan perkaitan sejarah Debak dengan individu yang gah menjadikan Debak sebagai Bandar pelabuhan zaman silam iaitu Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar, Debak.


Debak, Betong, Sarawak

Debak sekarang adalah dibawah juristifikasi Bahagian Betong dan ianya juga sebuah daerah kecil yang mempunyai segala kemudahan asasnya. Populasinya adalah didominasi oleh etnik Iban dan Melayu serta kaum Cina Sarawak.

Kegiatan ekonominya juga masih lagi mengarah kepada pertanian dan penghidupan di Debak masih lagi mengekalkan nilai-nilai murni tradisionalnya dengan hidup bersatu dan harmoni tanpa mengira agama mahupun bangsa.

Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih-sayangnya.

bottom of page