top of page

BUANG WALLACE - SAINTIS ANAK SARAWAK YANG HILANG


BUANG WALLACE – SAINTIS ANAK SARAWAK YANG HILANG


BUANG WALLACE… sudah tentu ramai rakyat Malaysia amnya mahupun anak Sarawak khususnya langsung tidak mengetahui kewujudan seorang individu ini. Memang tiada langsung namanya disebut di dalam sejarah kita namun TIDAK jika kita membuat pengkajian melalui segala penemuan-penemuan oleh Alfred Russel Wallace.


Jika menyusuri setiap kaitan pengembara-pengembara bangsa Eropah yang mengembara di seluruh pelusuk dunia, kita akur bahawa mesti ada beberapa individu anak tempatan yang bertindak sebagai orang kanan mereka bagi memastikan masalah bahasa mahupun budaya dapat mereka atasi.


Nama-nama besar seperti Panglima Hitam atau Henry The Black atau Enrique of Malacca merupakan individu yang banyak memainkan peranannya di dalam misi pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia tidak boleh dinafikan. Ada ramai lagi individu asal pribumi yang menjadi penolong dan disinilah juga timbulnya nama Buang Wallace ataupun dengan nama sebenarnya Buang bin Mohammed Ali iaitu pembantu kepada Alfred Russel Wallace yang namanya tidak asing lagi di dalam dunia sains melalui teori Malay Achipelago serta banyak lagi.


Buang Wallace Seorang Saintis?


Mungkin ramai yang berpendapat bahawa Buang hanya budak suruhan kepada Alfred Russel Wallace kerana mana mungkin seorang anak tempatan yang tidak berpelajaran tinggi boleh menjadi saintis. Di sini kita harus melihat mengapa dan kenapa, Buang bin Mohammed Ali ini dikatakan seorang saintis.

Segalanya bermula apabila proses pembersihan tapak bagi mendirikan sebuah sekolah di Pulau Ternate iaitu salah satu lingkungan kepulauan Maluku. Di kala itulah mereka telah menjumpai satu peti seperti peti yang biasa lanun-lanun tanamkan di dalam tanah dahulukala. Apabila mereka membuka peti tersebut telah dijumpai manuskrip lama yang dianggarkan ditulis sekitar tahun 1860 hingga 1890.

Bagi mencari kepastian dan nilai manuskrip tersebut di dalam peta sejarah dunia maka sekumpulan mereka di Ternate telah menghantar manuskrip itu ke University of Failomics, Abuja, Nigeria. Setelah dikaji oleh pakar-pakar ternyata manuskrip-manuskrip ini merupakan hasil kerja dari penolong Wallace yang bernama Buang bin Mohammed Ali. Maka dari sinilah segala kerja-kerja kaji selidik oleh seorang anak tempatan ini dikaji dengan lebih mendalam.


Dan akhirnya pihak University Of Failomics ini sendiri mengakui bahawa apa jua teori yang dicatatkan oleh Buang bin Muhammed Ali di dalam manuskrip sebenarnya adalah kerja-kerja seorang saintis. Beliau dikatakan mempunyai pencambahan pemikiran tersendiri di dalam beberapa teori sains seperti kajian botani, tenaga malah juga termasuk teori sains di dalam ilmu aeronautical.


Siapakah Buang Wallace?


Memang sudah dibuktikan Buang adalah seorang saintis dan tidak dinafikan bahawa Buang juga dikatakan seorang anak Melayu kerana beliau fasih berbahasa Melayu serta memahami sosio budaya penghidupan Melayu di dunia Melayu atau The Malay Archipelago seperti yang dikatakan oleh Alfred Russel Wallace. Jika tidak mana mungkin Buang akan dipilih menjadi penolongnya.


Cuma apa yang menjadi satu persoalan besar sekarang apabila seperti ada 2 versi berbeza apabila memperkatakan tentang asal muasal Buang bin Mohammed Ali ini. Melalui teori yang disebut oleh Dr Ola Madunagu dari University of Failomics mengatakan bahawa:


“Buang merupakan seorang anak Melayu berketurunan Bugis. Beliau dan keluarganya berasal dari Benyagak”.


Itu kenyataan dari Dr Ola Madunagu tetapi amat berlainan dengan cerita daripada penduduk tempatan di Tenate. Ini kerana mereka menidakkan bahawa Buang itu penduduk tempatan sebaliknya merupakan orang luar. Di dalam temubual itu mereka menyatakan bahawa:


“Buang bukanlah penduduk tempatan sebaliknya seorang lelaki yang sentiasa bersama seorang lelaki kulit putih. Dikatakan bahawa Buang akan melakukan kerja memasak dan juga penterjemah bahasa kepada lelaki kulit putih itu. Beliau juga dikatakan sering membawa satu kotak khas yang berkemungkinan besar digunakannya untuk menyimpan peralatan memburu. “


Kedua-dua versi ini sudah mempunyai penyanggahannya tersendiri dan ditambahlagi dengan cerita sejarah yang dinyatakan oleh Dr Ola Madunagu iaitu bahawasanya:


“Pertemuan Buang dan Wallace berlaku kali pertamanya pada tahun 1854 di Borneo”.


Anak tempatan Benyagak dan kemudian orang luar bukan Ternate serta pertemuan kali pertama di Borneo adalah titik perbezaan yang semakin menarik untuk diselidiki. Dan mengapa harus kita tolak teori bahawa Buang Wallace atau Buang bin Mohammed Ali ini juga sebenarnya anak tempatan Borneo atau untuk lebih mengkhusus beliau merupakan anak Melayu Sarawak?


Dan teori ini kita sandarkan pada titik tarikh pertemuan seperti yang dinyatakan oleh Dr Ola Madunagu iaitu tahun 1854. Dan kita akan menyelusuri sendiri cerita sejarah kali pertama Alfred Russel Wallace kali pertama memijakkan kakinya di Sarawak suatu waktu dahulu. Segalanya cerita sejarah Alfred Russel Wallace ini terbukti di dalam Sarawak Gazette.


Pada 1hb November 1854, Alfred Russel tiba di Kuching dan beliau tinggal di banglo Brooke yang terdapat di Santubong, Sarawak. Disinilah menurut sejarahnya Alfred Russel Wallace telah membantu Rajah Brooke untuk membuat satu undang-undang yang berkait rapat dengan undang-undang botani bagi Sarawak yang dikenali sebagai “Sarawak Law”. Wallace mengembara ke seluruh pelusuk Sarawak dengan sokongan daripada Kerajaan Brooke bagi membuat segala dokumentasi yang berkaitan dengan botani.


Kerja-kerja explorasi Wallace ini dilakukan dari tahun 1854 sehinggalah 1856, barulah Wallace mula melayari pengembaraannya bersama-sama dengan penolongnya Buang sehingga ke Kepulauan Sulawesi, Papua New Guinea dan seluruh kepulauan Melayu yang beliau kenali sebagai The Malay Archipelago.


Jadi berdasarkan titik persamaan ini tidak mustahil bahawa anak muda tempatan yang mempunyai wajah dan susuk tubuh seperti kebanyakan susuk tubuh dan raut wajah Melayu Sarawak ini merupakan seorang anak Sarawak dari kaum Melayu Sarawak yang juga merupakan anak tempatan Kampung Santubong yang merupakan kediaman Melayu Sarawak dari peradaban kunonya sehingga sekarang.

Selain itu teori nama “Buang” itu sendiri tidak boleh dipandang sebelah mata kerana sehingga sekarang nama “Buang” itu merujuk kepada nama-nama klasik mereka dari keturunan Melayu Sarawak dan beragama Islam. Nama ini cukup popular di dalam menamakan nenek moyang Melayu Sarawak sejak dari dahulu lagi.


Teori nama ini juga tidak boleh disangkal kerana nama “Buang” memang cukup asing di kalangan masyarakat Bugis walaupun jika ada ianya kurang berbanding penggunaannya cukup meluas bagi Melayu Sarawak dari Tanjung Datu sehinggalah ke bumi Lawas jauhnya.


Siapa kata anak tempatan yang mungkin tidak pernah menjejakkan kakinya ke menara gading ini tidak pandai dan hanya layak menjadi budak suruhan orang putih adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ini kerana adakalanya seorang saintis atau pencetus inovasi ini hanya perlukan semangat yang kental serta ingin selalu belajar. Mungkin juga Alfred Russel Wallace itu sendiri menjadi mentornya di sepanjang pengembaraannya di The Malay Archipelago.


Buang bin Muhammad Ali adalah saintis anak Sarawak yang hilang!



-HB-


Rujukan:

1. Alfred Russel Wallace – Wallace Online

http://wallace-online.org/Wallace-Online_Singapore.html

2. Buang, The Lost Malay Scientist

https://isabellecreates.wordpress.com/2010/06/24/june-2010-filming-buang/

3. Pengetahuan Kolonial Sumbangan Pribumi

https://indonesiana.tempo.co/read/28161/2014/12/26/desibelku.1

4. Wallace And The Sarawak Law

http://www.theborneopost.com/2013/07/14/wallace-and-the-sarawak-law/

bottom of page