top of page

LEGENDA DATO' PERMAISURI


LEGENDA DATO’ PERMAISURI

-Rajuk Hatinya Sehingga Ke Hujung Nyawa

MAKAM Dato’ Permaisuri masih lagi utuh dijaga di Miri dan seperti kebiasaannya berapa ramai rakyat Sarawak amnya mahupun orang Miri khususnya mengetahui kewujudan makam tersebut. Tetapi jika kita berkata tentang dua nama jalan iaitu Jalan Dato’ Permaisuri dan sebuah sekolah SK Dato’ Permaisuri serta sebuah pusat membeli belah juga dinamakan bersempena dengan namanya di Miri sudah tentu ramai yang mengenalinya.

Melihat kepada penggunaan namanya sudah membuktikan bahawa Dato’ Permaisuri ini bukanlah sembarangan individu sehingga Kerajaan Sarawak sendiri mengiktiraf sumbangan beliau. Dan yang lebih menariknya namanya Dato’ Permaisuri seakan-akan nama lelaki tetapi sebenarnya individu ini adalah seorang wanita berdarah kerabat diraja kerajaan Melayu dulu-dulu yang menjadi antara penyumbang besar di dalam perkembangan Islam di Miri ketika awal pembukaannya.

Keunikan nama Dato’ Permaisuri ini sebenarnya menghiasi dua cerita legenda yang cukup gah di kalangan rakyat Sarawak. Legenda Datu Merpati Jepang adalah salah satu daripadanya yang mana ianya menampilkan cerita Dato’ Permaisuri sebagai permaisuri kepada Datu Merpati Jepang yang dikatakan membuka Kerajaan Negeri Santubong suatu waktu dahulu. Dan satu lagi versi legenda Dato’ Permaisuri ini adalah beliau sebagai isteri kepada seorang Kerabat Diraja Kesultanan Brunei Darussalam. Dan versi inilah yang akan menjadi penghias artikel dari Borneo Oracle buat kali ini.

Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu seorang puteri yang cantik jelita telah dikahwinkan oleh Raja Jarom dari Empayar Johor-Riau dengan seorang putera dari kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Sudah menjadi lumrah di dalam lingkungan kerajaan-kerajaan Melayu dahulukala untuk menyatupadukan kerajaan-kerajaan mereka dengan perkahwinan diraja. Dan puteri Dato’ Permaisuri Kemala nama diberi akur dengan kehendak ayahandanya.

Diceritakan majlis perkahwinan diraja telah diadakan di Kerajaan Johor-Riau dengan penuh gilang-gemilang sesuai dengan status kedua-dua mempelai diraja. Orang dulu-dulu bukannya seperti kita sekarang yang bercinta dahulu berkahwin kemudian tetapi kemanisan pasangan yang sudah sah menjadi suami isteri lebih terasa apabila mereka jatuh cinta pandang pertama. Setelah seketika di Kerajaan Johor akhirnya suami Dato’ Permaisuri Kemala memohon restu dari ayahanda mertuanya untuk pulang ke Negaranya iaitu Negara Brunei.

Setelah segala persediaan diatur akhirnya tibalah masa untuk Dato’ Permaisuri Kemala meninggalkan tanahairnya mengikut suaminya ke bumi yang asing baginya. Pada mulanya pelayaran pulang mereka melalui pelayaran yang baik dengan cuaca serta keadaan laut yang tenang sehinggalah mereka tiba di suatu tanjung yang luas. Pada ketika itulah lautan bergelora dengan ribut taufan sehingga menyebabkan bahtera mereka karam. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh si suami selain menyelamatkan orang yang dicintainya.

Di ketika inilah dikatakan si suami harus membuat pilihan kerana beliau hanya mampu untuk menyelamatkan seorang sahaja. Di dalam pelayaran itu si suami dikatakan turut membawa ibu kandungnya selain daripada isterinya Dato’ Permaisuri Kemala. Dua wanita ini merupakan individu-individu yang amat beliau cintainya dan keputusan si suami adalah umpama diluah mati emak ditelan mati bapa. Kerana sayang serta hormatnya kepada ibu kandungnya yang melahirkan beliau maka si suami telah memilih ibunya untuk diselamatkan.

Si isteri pula iaitu Dato’ Permaisuri Kemala pula tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT untuk membuat perhitungan untung nasibnya di lautan yang ganas pada masa itu. Dengan izin Allah SWT jugalah Dato’ Permaisuri Kemala yang dikatakan lemas tenggelam di laut telah terdampar di satu pantai yang cantik di Miri, Sarawak. Beliau telah diselamatkan oleh masyarakat tempatan Miri pada masa itu dan diubati sehingga beliau pulih seperti sediakala.

Apa yang menariknya mengenai Dato’ Permaisuri Kemala di mata penduduk tempatan Miri pada masa itulah adalah sikapnya yang berbudi bahasa, lemah lembut tutur katanya dan juga taatnya pada agamanya iaitu Islam. Pada ketika itu juga dikatakan penduduk tempatan Miri baru sahaja menerima kedatangan Islam sebagai agama di Miri maka kedatangan individu seperti Dato’ Permaisuri Kemala begitu amat dihormati.

Mengikut sejarahnya suatu ketika dahulu Empayar Johor-Riau bukanlah calang-calang kerajaan Melayu kerana disebalik kekuatan dan luasnya empayar mereka, ianya juga merupakan antara kerajaan Islam yang gah namanya di dalam perkembangan Islam di nusantara. Dan tidaklah menghairankan sekiranya puteri dari Kerajaan Empayar Johor-Riau juga amat kuat pegangan agamanya. Dengan usaha beliaulah dikatakan perkembangan Islam di Miri amat gah sekali sehingga kehebatan Dato’ Permaisuri Kemala sebagai individu yang memperkembangkan syiar Islam dengan kedatangan pendakwah-pendakwah di Miri sampai ke pendengaran Kerajaan Brunei.

Hendak dijadikan cerita, si suami yang juga merupakan kerabat diraja Brunei terselamat dari karam bersama ibunya yang akhirnya mereka berjaya pulang ke Negara asal mereka. Alangkah riangnya hati si suami yang menyangka bahawa isterinya yang beliau cintai sudah terkorban ditelan ombak yang ganas rupa-rupanya masih hidup. Tanpa mengambil masa lama, si suami telah bertolak ke Miri untuk membawa pulang isterinya ke negaranya.

Setelah belayar beberapa ketika akhirnya beliau tiba di Miri dan si suami dengan rombongannya akhirnya berjaya bersua muka dengan isterinya Dato’ Permaisuri Kemala. Kedatangan si suami disambut dengan baik oleh Dato’ Permaisuri Kemala walaupun hakikatnya terselit kecewa di benaknya apabila mengenang pilihan suaminya ketika mereka di dalam kepayahan dahulu. Si suami memujuk Dato’ Permaisuri untuk pulang ke pangkuannya kerana di manakah lagi tempat yang lebih baik untuk si isteri selain di sisi suaminya.

Namun seperti kata bidalan hati wanita selembut sutera namun sekali hati mereka tercalar sepanjang hayat mereka mengenanginya di dalam diam. Itulah yang berlaku kepada Dato’ Permaisuri Kemala apabila beliau membuat keputusan untuk terus menetap di Miri. Keputusan sang isteri telah mengecewakan sang suami yang akhirnya akur atas kehendak isterinya. Si suami dan rombongan dikatakan pulang ke Brunei tanpa membawa apa-apa.

Sejak dari itu diceritakan bahawa Dato’ Permaisuri meneruskan penghidupannya di Miri dan terus mengabadikan dirinya untuk perkembangan syiar Islam di Miri sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Inilah legenda Dato’ Permaisuri seperti yang diceritakan secara oral oleh orang tua-tua dari satu generasi ke generasi yang lain di Miri. Makam Dato’ Permaisuri masih lagi utuh dijaga di satu kawasan di Miri malah Kerajaan Negeri Sarawak turut menggazetkan makam tersebut sebagai mengenang sumbangan beliau keatas syiar Islam di Miri.

Sarawak Bumi Kenyalang tidak pernah kurang dengan sastera rakyatnya yang indah dan puitis serta mempunyai banyak makna tersirat di sebalik yang tersurat untuk menjadi panduan penghidupan kita di masa depan.

bottom of page