top of page

BANGLO-BANGLO BROOKE DI SARAWAK

BANGLO-BANGLO BROOKE DI SARAWAK


SUDAH menjadi lumrah apabila adanya pengaruh luar di dalam peta sejarah sesuatu Negara contohnya kesan tinggalan pemerintahan Eropah ianya juga akan meresapi budaya mahupun struktur senibina di dalam Negara tersebut. Dan Sarawak juga tidak terkecuali kerana pemerintahan lebih kurang 100 tahun Brooke juga meninggalkan beberapa struktur ala Eropah yang menghiasi lanskap senibina yang kita lihat.


Bangunan Astana, Pejabat Pos Besar Kuching, Muzium Sarawak malah juga kubu-kubu Brooke yang berselerakkan di seluruh pelusuk Sarawak juga adalah antara mercu tandanya. Menyelusuri sejarah senibina ini juga kita tidak boleh melupakan struktur kediaman ataupun dengan panggilan banglo yang menjadi kediaman Brooke mahupun penjawat awam bangsa Eropah yang bekerja dengan Kerajaan Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.


Bagi mengimbau sedikit memori silam apa yang ditampilkan di dalam artikel ini adalah untuk kita cuba mengenali antara banglo-banglo Brooke di Sarawak yang agak terkenal suatu waktu dahulu.



1. Banglo Crookshank


Merupakan banglo yang didirikan pada tahun 1908 oleh Rajah Charles Brooke. Lokasinya adalah berdekatan dengan sebuah jirat Cina di Jalan Crookshank dan ianya merupakan binaan kayu belian keseluruhannya. Ianya pada awalnya dikhaskan untuk kediaman penjawat Eropah dan dibahagian bawahnya pula dijadikan kandang kuda milik Rajah Charles Brooke.


Di ketika pemerintahan Rajah CV Brooke pula, banglo ini menjadi bangunan kerajaan iaitu menempatkan pejabat para doktor dan jururawat Sarawak. Dan apabila Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo, banglo ini menjadi kediaman pegawai Inggeris pula.


Diceritakan banglo ini juga sewaktu zaman Jepun digunakan oleh tentera Jepun sebagai kawasan pejabat dan asrama mereka serta penjara untuk mana-mana individu yang tidak menerima pendudukan Jepun di Sarawak. Mendengar cerita sejarah ini sahaja sudah cukup untuk menyatakan betapa “kerasnya” banglo ini.



2. Banglo Astana


Jangan terkeliru dengan banglo Astana dengan Astana yang menjadi kediaman rasmi TYT Sarawak sekarang kerana yang dimaksudkan banglo Astana ini adalah sebuah banglo yang berdekatan dengan Astana. Mungkin warga Kuching sendiri pernah melihatnya kerana ianya hanya dirobohkan sekitar tahun 1990an dan sering menjadi tempat untuk jurukamera mengambil gambar perkahwinan.


Menurut sejarahnya banglo ini dibina oleh Rajah Charles Brooke untuk kegunaan kediaman bagi pegawai Eropah yang menguruskan kediamannya suatu waktu dahulu iaitu Astana.



3. Banglo Moore


Berbeza dengan banglo yang lain untuk Banglo Moore pula didirikan oleh seorang warga Eropah yang bernama Mr. Moore. Beliau dikatakan antara orang kanan kepada Rajah Charles Brooke di dalam urusan kewangan Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Banglo ini mempunyai ukiran “Moore” di bahagian dinding bumbungnya.


Lokasinya adalah di kawasan parkir Wisma Bapa Malaysia sekarang. Ianya dirobohkan sekitar tahun 1960an bagi memberikan ruang pembangunan untuk kawasan Petra Jaya.



4. Banglo Briged PGA


Banglo ini tidak mempunyai nama tetapi dipercayai menjadi kediaman satu keluarga Inggeris yang bekerja dengan Rajah Charles Brooke. Lokasinya terletak di tengah-tengah kem Briged PGA suatu waktu dahulu atau sekarang merupakan Taman Rekreasi Wisma Bapa Malaysia.


Dirobohkan sekitar tahun 1970an iaitu untuk membenarkan pembangunan Wisma Bapa Malaysia didirikan.



5. Banglo Jalan Siol


Dirobohkan sekitar tahun 1960an merupakan sebuah banglo yang menjadi kediaman pejawat Inggeris Kerajaan Sarawak Kingdom. Lokasi tapak banglo ini adalah sebenarnya pintu masuk SMK Tun Abang Haji Openg lama dahulu sebelum dipindahkan.



6. Banglo Santubong


Santubong selain terkenal dengan legenda serta Gunung Santubongnya juga terkenal dengan banglo Brooke. Ianya merupakan banglo persinggahan untuk keluarga Brooke menikmati suasana pantai serta pemandangan laut. Dan tidak kurang juga perkaitan banglo Santubong dengan seorang saintis yang bernama Alfred Russel Wallace.


Disinilah Alfred Russel Wallace yang menjejakkan kakinya kali pertama ke Sarawak pada tahun 1854 tinggal sambil menulis serta mengutip specimen hutan untuk dijadikan bahan eksperimen.


Binaan banglo Santubong ini adalah kayu pada keseluruhannya sebelum ditukar menjadi konkrit mengikut peredaran waktu. Di Santubong sahaja dikatakan mempunyai 3 buah banglo yang didirikan sebelah menyebelah.



7. Banglo Peninjau


Ini merupakan banglo yang paling tertua di antara banglo-banglo yang didirikan di zaman pemerintahan Brooke. Ianya didirikan sendiri oleh Rajah James Brooke di puncak Bukit Serumbu. Dinamakan dengan “Peninjau” kerana dipercayai disinilah bermulanya Brooke membuat peninjauan bagi melindungi wilayah Serumbu diserang oleh orang-orang Skrang.


Banglo Peninjau ini juga turut menjadi kediaman Alfred Russel Wallace membuat pengkajian botaninya pada tahun 1855. Banyak rentetan sejarah dunia eksplorasi Wallace bermula disini dan ianya juga sekarang turut dikenali sebagai antara jejak Wallace di dunia Melayu “The Malay Archipelago”.



8. Banglo Segu


Banglo Segu pula sekarang berada di Park Lane, Kuching dan sesuatu yang menarik mengenai banglo segu ini sebenarnya dibina pada tahun 1880 oleh Rajah Charles Brooke. Namun ianya bukan dibina di Kuching sebaliknya di Kampung Benuk yang mana pada ketika itu ianya merupakan lokasinya ladang getah milik Rajah Charles Brooke.


Dikatakan selepas sahaja Rajah CV Brooke memerintah beliau telah memindahkan banglo segu ke Kuching iaitu di lokasi sekarang. Dan banglo ini diwarnai dengan cerita pesta-pesta orang putih suatu waktu dahulu yang mana Rajah CV Brooke memang dikenali sebagai antara rajah Sarawak yang paling gemar bersosial.



9. Banglo Vellambrose


Suasana di kaki gunung Serapi sudah tentu menjadi tarikan kepada keluarga Brooke yang berasal dari benua Eropah. Udara nyaman dan sejuk serta dikelilingi hutan menyebabkan Brooke juga turut membina sebuah banglo nya di kaki Gunung Serapi.


Dan ianya juga sebenarnya banglo percutian serta banglo “kerja” memandangkan disinilah dahulu adanya ladang teh dan kopi milik keluarga Brooke diusahakan. Kedatangan ramai buruh-buruh pemetik teh dan kopi serta penjaga lembu dan kambing keluarga Brooke juga mewarnai cerita banglo yang dinamakan dengan Vellambrosa yang dibina pada tahun 1867.



10. Banglo “Jambu”


Banglo ini bukanlah bernama “Jambu” pada asalnya sebaliknya sekarang ianya sudah menjadi sebuah lokasi restoran dan lounge yang terkenal di Kuching yang dikenali sebagai Jambu Restaurant & Lounge.


Di ketika era Brooke, banglo ini didirikan untuk penempatan penjawat awam Sarawak Kingdom dan selepas itu di ketika pemerintahan Rajah CV Brooke pula ianya merupakan pejabat konsulat Negara China di Sarawak pada suatu waktu dahulu. Di ketika penjajahan koloni British-Borneo ianya juga masih menjadi ruang ibu pejabat mereka.

Di zaman penjajahan Jepun pula menjadi kediaman antara pegawai tertinggi Jepun memandangkan ianya tidak jauh daripada Banglo Crookshank yang menjadi asrama serta penjara Tentera Jepun.



Hakikatnya ada banyak lagi banglo-banglo Brooke di seluruh Sarawak yang mungkin tidak boleh dijejaki lagi kerana kurangnya informasi mengenainya. Apa yang ditampilkan adalah sedikit sahaja jika dibandingkan jumlahnya yang sebenar.


Dan apa yang lebih menyebabkan ada rasa ralat di hati bagi setiap rakyat Sarawak yang memahami betapa besarnya sumbangan sejarah banglo-banglo ini sudah tentu sedih kerana kebanyakan banglo-banglo ini yang masih ada seumpama kata bidalan hidup segan mati tidak mahu.


Ada antaranya dibiarkan kerana tidak dipulihara atas nama kengkangan peruntukan dan tidak kurang juga sudah dikomersialkan apabila menjadi hak persendirian yang akhirnya menyebabkan ianya lesap dari pandangan bagi membenarkan pembangunan dilakukan.


Apa yang pasti di sebalik cerita sejarah banglo-banglo ini juga turut diwarnai dengan cerita mistik dan paranormal yang boleh menyebabkan bulu tengkok naik meremang apabila kita mendengar orang tua-tua kita bercerita tentang pengalaman mereka apabila melalui ataupun berada di banglo-banglo ini.




Rujukan:


1. Bangunan Bersejarah Di Sarawak – PNM

2. Borneo Post 10 November 2013 – Banglo lama di Santubong Dicadang Jadi Muzium

3. Borneo Post 29 March 2012 - Restoration of Brooke Cottage, Wallace Trail to start in June

4. Banglo “Segu” : More than just a cute heritage building

https://sarawakheritagesociety.com/2015/04/06/kuchings-banglo-segu-more-than-just-a-cute-heritage-building/

5. Sejarah Kedatangan Masyarakat India Ke Sarawak – Borneo Oracle

bottom of page