top of page

PERAHU PERANG IBAN - BANGKONG


PERAHU PERANG IBAN - BANGKONG


“IBAN adalah bangsa yang kuat berperang”, itulah frasa yang sering digunakan oleh kolonial barat suatu waktu dahulu apabila memperkatakan tentang etnik Iban yang merupakan etnik majoriti di Sarawak. Manakan tidak kerana sejak dari zaman sebelum kedatangan Brooke lagi, etnik Iban ini sudah terkenal dengan sejarah perang mereka yang mewarnai lipatan sejarah Sarawak.

Dan apabila berkata tentang sejarah perang etnik Iban jangan pula kita hanya dimomokkan dengan sejarah perang darat mereka sahaja kerana secara realitinya pengangkutan air di Sarawak merupakan adalah nadi untuk sampai ke satu destinasi ke destinasi yang lain. Untuk itu mana mungkin kita menidakkan bahawa disebalik keberanian etnik Iban yang dikatakan mempunyai strategi perang terunik di Sarawak juga terkenal dengan pembuatan perahu perangnya yang dinamakan Bangkong atau Bong.


Perahu Bangkong atau Bong merupakan perahu perang etnik Iban yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu-kayan terpilih yang ada di hutan Borneo. Perahu Bangkong dikatakan berbentuk perahu panjang dengan menggunakan kuasa berdayung oleh lebih daripada 25 pendayung yang tegap dan gagah perkasa daripada pemuda Iban suatu waktu dahulu.


Menurut ceritanya juga adakala perahu Bangkong lebih besar pernah dibuat oleh etnik Iban dan selain daripada menggunakan tenaga pendayung ianya juga dibina dengan menggunakan kain layar dari kajang kanvas seolah-olah menyerupai kapal perang kolonial suatu waktu dahulu.

Perahu besar Bangkong seperti ini dikhususkan untuk pelayaran yang lebih besar seperti mengharungi lautan yang terbuka luas seperti Laut China Selatan, Selat Melaka malah sehingga ke Laut Sulu suatu waktu dahulu.


Dan kenyataan bahawa perahu Bangkong bersaiz besar ini pernah membelah lautan pernah dicatatkan oleh tokoh yang membuka Kuala Lumpur suatu waktu. Di dalam jurnal pengembaraan Munsyi Abdullah mencatatkan dengan teliti bagaimana dayak laut yang bertatu serta tegap-tegap badannya mampu belayar sehingga ke sehingga ke pantai timur Malaya sekitar tahun 1830an dengan kapal mereka yang unik.


Dan apabila berkata tentang keunikan sudah tentu setiap perahu Bangkong juga selain diperbuat daripada kayu-kayan yang terbaik, tidak kurang juga keunikannnya dari segi senibina. Di bahagian haluannya sahaja sudah menunjukkan ianya mampu dikayuh laju dan ditambah lagi dengan adanya layar yang cukup besar untuk menyelaraskan gerakan angin.


Dan kelajuan perahu Bangkung ini pernah dicatatkan oleh pelayar-pelayar kolonial Barat seperti yang dicatatkan oleh Warren (2004) bagaimana perahu Bangkong yang digunakan oleh Iban Saribas. Dikatakan lanun Iranun telah melakukan rompakan di kawasan penempatan mereka di muara Saribas lalu mereka mengejar lanun Iranun yang lepas lari sehingga ke lautan luas dan berjaya menangkap mereka lalu menangkap mereka. Pada masa itu Iban Saribas mampu menghalang lanun Iranun membawa lari wanita-wanita dan anak-anak kecil Iban Saribas daripada dijadikan hamba abdi oleh lanun Iranun.


Selain itu, keunikannya juga terletak pada ukiran-ukiran motif tradisional motif Iban yang sebenarnya dikatakan mempunyai seribu pengertian di dalam kepercayaan orang Iban suatu waktu dahulu. Tidak cukup dengan itu, pembinaan untuk sesuatu perahu Bangkong juga harus dimulai dengan beberapa ritual kerana menurut kepercayaan mereka perahu juga mempunyai semangatnya yang tersendiri.


Dan adalah tidak menghairankan apabila upacara Miring yang diketuai oleh Renong Kayau turut diadakan sewaktu kali pertama perahu Bangkong dilepaskan mencecah air. Ini kerana kepercayaan Iban bahawa “God of War” akan turut bersama dengan kenderaan yang digunakan untuk berperang. Mungkin inilah yang menjadikan setiap pahlawan Iban begitu bersemangat sehingga mendapat jolokan pahlawan yang sangat berani dan ganas sewaktu berperang samada di daratan mahupun air.


Rentetan sejarah perahu Bangkong ini juga turut mempunyai perkaitan dengan sejarah penentangan masyarakat Iban dengan pemerintahan Brooke suatu waktu dahulu. Perahu Bangkong berbentuk lebih kecil yang boleh dimuatkan dengan kira-kira 25 orang pendayung banyak digunakan selain daripada perahu biasa atau canoe.


Perang Beting Maro, perang Rentap ke atas Brooke serta tidak kurang juga perang-perang yang dilakukan oleh masyarakat Iban yang pro-Brooke iaitu memerangi masyarakat Iban lain untuk survival mereka sendiri. Sebenarnya banyak lagi perkaitan sejarah perahu Bangkong ini dan yang dinyatakan adalah hanya suku daripada sejarahnya.


Namun sayang seribu kali sayang, perahu Bangkong bersaiz besar tiada lagi untuk kita saksikan sendiri kerana tidak dipulihara selesai sahaja Sarawak menjadi “aman” dibawah pemerintahan Brooke. Cuma yang tinggal mungkin perahu Bangkong bersaiz kecil seperti yang menjadi teaser artikel yang menjadi hak Muzium Sarawak setelah dibeli dengan seorang individu Sarawak pada tahun 1968. Ianya adalah antara perahu Bangkong yang pernah terlibat dengan ekspedisi Bukit Salong 1915.


Hakikatnya, adanya perahu Bangkong yang menjadi antara pembuatan unik etnik Iban sendiri merupakan satu bukti bahawa etnik Iban ini bukannya hanya hebat sewaktu perang kayau yang menyaksikan kepala musuh sebagai piala kepahlawannya.


Ketahuilah bukan semua orang mampu mempunyai kapal perang buatan sendiri malah terbukti berupaya belayar membelah lautan luas. Ianya bukan perkara biasa kerana sesuatu yang luar biasa seperti ini hanya mereka yang terpilih sahaja mampu melakukannya. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawasanya etnik Iban juga adalah bangsa maritim dan bukannya hanya arif dengan berperang menggunakan parang ilang, sumpit dan tombak sahaja seperti yang pihak kolonial tanamkan di minda kita semua!


‪#‎KamekSayangSarawakBah‬!



Rujukan:


1. The Sea Dayaks of Borneo - Edwin H. Gomes (1954) 2. Iranun and Balangingi: Globalization and Maritime Raiding in Southeast Asia - James Francis Warren 3. A History of Sarawak Under Its Two White Rajah, 1839-1908 - S. Baring Gould 4. A History of Sarawak From 1841 to 1946 - Steven Runciman 5. Dayak Laut “Vikings of The Eastern Seas” - Borneo Oracle

bottom of page